Saturday, March 18, 2017

Rasuah Jatuhkan Wanita Paling Berkuasa Korea Selatan.















PARK Geun-hye melambai tangan sambil meninggalkan Parlimen.

DALAM tempoh dua minggu berturut-turut lelaki itu berdiri di Gwanghwamoon, pusat bandar Seoul.
“Saya berdiri bersama lebih sejuta rakyat di negara ini yang berkumpul untuk menuntut pemecatan Presiden Park Geun-hye. Saya pernah melihat agenda sama sebelum ini tetapi pada kali ini, saya diselubungi perasaan sedih yang terlalu mendalam.
“Bayangkan, ufuk pandangan 360 darjah anda dipenuhi dengan penunjuk perasaan,” ujar penulis buku Without You, There Is No Us: Undercover Among the Sons of North Korea’s Elite, Suki Kim.
Tambahnya, protes di Korea Selatan selalunya tidak berlaku dalam keadaan aman. Pada tahun 1960, seorang pelajar telah dibunuh oleh pihak polis semasa protes antikerajaan, yang kemudiannya menyebabkan 100,000 pelajar berarak ke Rumah Biru untuk menjatuhkan autokratik Lee Syng-man (juga dikenali sebagai Syngman Rhee).
Perkara sama berulang apabila dua penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran dengan polis selepas Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memecat Geun-hye pada 10 Mac baru-baru ini.
Penyelewengan
Seorang daripada yang mati itu ialah lelaki tua yang cedera di kepala sementara kematian kedua masih disiasat.
Kejadian itu berlaku apabila Geun-hye, 65, pemimpin wanita pertama Korea Selatan yang dipilih secara demokratik dipecat dan didakwa di Parlimen kerana skandal rasuah. Skandal berkenaan telah membuatkan berjuta rakyat di Korea Selatan berang.
Menurut portal The Guardian, Oktober lalu Geun-hye mengakui bahawa dirinya memberi akses kepada Choi Soon-sil untuk mengedit pidato-pidato kenegaraannya walhal, Soon-sil tidak memiliki jawatan atau kebenaran rasmi untuk melakukan itu.
“Geun-hye juga melakukan penyelewengan kekuasaan dengan membiarkan sahabatnya ikut campur dalam urusan pemerintah, termasuk memilih pejabat dan membentuk kebajikan.
“Malah, didakwa memaksa konglomerat-konglomerat Korea Selatan untuk memberi sejumlah wang kepada yayasan milik Soon-sil yang digunakan untuk kepentingan peribadi.
“Menurut tuduhan, Soon-sil menerima wang hingga 70 juta dolar Amerika dan salah satunya daripada Samsung,” kata seorang sumber.
Geun-hye bersahabat dengan Soon-sil selama empat dekad. Soon-sil ialah anak seorang pemimpin persekutuan Kristian Korea Selatan yang bernama Church of Eternal Life.
Soon-sil dipercayai banyak mempengaruhi Geun-hye. Pengaruh Soon-sil meliputi ekonomi, luar negeri dan sehingga pertahanan. Menurut media setempat, Soon-sil bahkan berperanan sebagai guru spiritual kepada Geun-hye sejak ayahnya meninggal dunia empat dekad lalu.
Sejak pintu skandal itu terkuak, semakin ramai warga Korea Selatan yang keluar melakukan demonstrasi menuntut Geun-hye mengundurkan diri dan dipenjarakan. Ia merupakan demonstrasi terbesar dalam sejarah Korea Selatan.
Mati dibunuh


PERTEMUAN hubungan dua hala antara bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Geun-hye pada Oktober 2015.



Geun-hye dilahirkan di Daegu, Korea Selatan. Beliau merupakan anak sulung kepada pasangan Park Chung-hee dan Yuk Young-soo. Dia mempunyai seorang adik lelaki, Park Ji-man dan adik perempuan, Park Guen-ryeong.
Bapanya merupakan Presiden Korea Selatan yang ketiga bermula dari tahun 1963 hingga 1979. Kisah peribadi Geun-hye boleh diklasifikasikan sebagai luar biasa kerana membesar tanpa ibu bapa.
Ibunya, Young-soo, mati dibunuh pada tahun 1974 oleh penyokong Korea Utara atau mungkin juga ejen negara itu yang bertindak atas arahan dari Pyongyang. Pada ketika itu, Geun-hye baru berusia 22 tahun.
Lebih tragis, lima tahun selepas itu bapanya yang merupakan seorang anggota tentera berkuasa juga individu penting yang membawa Korea Selatan ke arah perindustrian moden mati dibunuh oleh ketua perisikan ketika sedang minum.
Anak yatim piatu akibat keganasan politik itu kemudian menyertai politik dengan penuh onak duri tanpa bantuan orang tua. Malah, dia juga hampir menjadi mangsa bunuh selepas hampir dikelar semasa menghadiri mesyuarat awam.
Bangkit
Memenangi jawatan tertinggi dalam Pilihan Raya tahun 2012, Geun-hye yang fasih berbahasa Inggeris dengan lancar berkata, “Semasa saya berusia 22 tahun, saya mengambil alih tugas sebagai pemangku Wanita Pertama negara. Itu adalah kerana saya mempunyai tanggungjawab untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan akibat kematian ibu saya di tangan pengganas Korea Utara.
“Apabila saya terfikir yang saya telah kehilangan semua harapan, saya termenung dan memilih untuk bangkit di atas penderitaan dan kesakitan yang telah saya harungi,” tutur graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Sogang, Seoul, Korea Selatan.
Sepanjang pemerintahannya sejak tahun 2013, wanita itu tidak hanya duduk dalam kepompong politik semata-mata. Pada tahun sama, beliau telah ke Beijing, China dan berbahasa Mandarin dengan wakil pemimpin. Media tempatan melaporkan, Geun-hye belajar Mandarin sendiri.
“Seperti yang anda tahu, Geun-hye tidak minum arak atau bermain golf, oleh itu dia mempunyai banyak masa untuk belajar bahasa asing sebelum masuk ke pejabat. Dia juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik,” lapor media tempatan itu.
Pada tahun 2013 dan 2014 beliau disenaraikan dalam majalah Forbes sebagai 100 wanita paling berkuasa di dunia. Pada tahun 2014 dia menduduki tangga ke-46 daripada 100 pencalonan berkenaan.
Walaupun begitu, Hakim Lee Jung-mi yang mengetuai panel hakim berpendapat, Geun-hye te­lah melanggar Perlembagaan dan Undang-Undang sepanjang penggal perkhidmatannya meskipun terdapat ban­tahan daripada Ahli-Ahli Parlimen dan media.
“Kami mengumumkan ke­pu­tusan secara sebulat suara semua hakim. Kami memecat defendan, Presiden Park (Geun-hye).
“Pemecatan beliau akan memberi manfaat besar bagi melindungi Perlembagaan. Oleh yang demikian, kami menyingkirkan Presiden,” katanya semasa mengumumkan keputusan itu yang disiarkan secara lang­sung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan.
Hasil kajian baru-baru ini juga menunjukkan lebih 70 peratus rakyat Korea Selatan menyokong pendakwaan ke atasnya. Perdana Menteri, Hwang Kyo-ahn yang dilantik memangku tugas presiden akan kekal memegang jawatan itu sehingga pilihan raya yang dijangka diadakan pada 9 Mei 2017.
Sementara itu, di Pyongyang, media Korea Utara menyambut baik keputusan mahkamah itu dengan menyifatkan Geun-hye sebagai penjenayah.
Selepas Geun-hye diusir dari Blue-House perhimpunan protes bertukar menjadi meriah dengan beribu-ribu masyarakat sanggup berada dalam keadaan cuaca beku untuk mendengar pengisytiharan kemenangan kuasa rakyat. Perhimpunan tersebut diterangi cahaya lilin, laungan muzik dan pertunjukan bunga api.
Kim Hye-in yang sudah berada di lokasi demonstrasi sejak enam hari lalu berkata, pemecataan berkenaan hanya merupakan langkah pertama. Kenyataan itu dipersetujui oleh seorang pemilik kafe kopi, Kim In-sook.
“Geun-hye perlu dibicarakan, dia perlu dimasukkan ke dalam penjara,” katanya sambil mengedarkan kopi percuma kepada penunjuk perasaan. (Kosmo!)

2 comments:

Anonymous said...

Korea Selatan jer ke? Bagaimana dengan PAS? Bagaimana dengan UMNO-BN?

Jauh benor tu, Hj? Dlm negeri tak nak komen, ke? Oh! Lupa lak... bagi PAS dan UMNo, bukan rasuah tapi derma

Harez said...

Ambil yg baik sebagai teladan yg buruk sebagai sempadan. Sedikit sebanyak kita tahu kenapa korea utara itu agak hebat walaupun tanpa parti islam. Adakah korea utara memerlukannya? Atau malaysia memerlukannya?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails