Thursday, March 16, 2017

Wanita Iran Tunggang Motosikal. Sukan, Aurat& Adab Dijaga..


BEHNAZ berjaya mendesak kerajaan Iran supaya memberikan kebenaran kepada penunggang wanita untuk berlatih motorcross secara terbuka.


SUKAN
KEMAMPUAN wanita berusia 27 tahun itu melompat setinggi 15 meter bersama motosikal jenis Scrambler di sebuah litar perlumbaan motorcross berhampiran Teheran, Iran cukup mengagumkan.
Behnaz Shafie melakukan aktiviti lasak itu selepas dia mendapat pengecualian daripada undang-undang pada tahun ini. Juara motorcross wanita itu merupakan simbol kepada perubahan norma-norma hidup wanita di negara Asia Barat tersebut.
Ini kerana sejak sekian lama Iran melarang kaum wanita menaiki kenderaan di atas jalan raya awam. Sejak enam bulan lalu, kerajaan membenarkan golongan Hawa berlatih di litar motorcross persendirian di negara itu.
Rentetan daripada itu, sebuah litar motorcross untuk wanita dibuka di luar ibu negara, Teheran sejak dua bulan lalu.
“Sebelum ini, aktiviti ini menyalahi undang-undang tetapi pada hari ini, terdapat sedozen wanita menunggang secara profesional,” katanya sambil bersandar di tepi motosikal Suzuki 250X miliknya.
Di litar itu, satu kain rentang dipasang bagi mengingatkan bahawa kaum lelaki tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut. Begitupun, Behnaz masih berlatih dengan seorang pelumba veteran motorcross lelaki iaitu Javad Zanjani.
“Ia amat baik apabila wanita menunggang motosikal. Sudah 35 tahun saya terlibat dalam sukan motorcross dan saya tidak pernah terfikir ia mampu menarik hati wanita,” katanya.
Kini, terdapat dua buah pertandingan motorcross melibatkan wanita di Iran dan salah satunya dimenangi oleh Behnaz. Sehingga kini, dianggarkan 50 orang wanita terlibat secara aktif dalam sukan itu.
“Mereka datang dari seluruh Teheran dan sekitar rantau ini. Ada seorang wanita berusia 60 tahun yang datang ke sini bersama anak perempuannya berumur 40 tahun untuk berlatih,” katanya.
Behnaz menunggang motosikal buat pertama kali sejak 15 tahun lalu di sebuah kampung kecil berhampiran Zanjan di utara Iran.
“Saya terkejut dan bertanya kepadanya sama ada wanita mempunyai hak menunggang motosikal. Selepas dia menunjuk aksi menarik, saya terus sukakannya,” ujar seorang pengawal keselamatan.
Dia membeli motosikal pertama ketika berusia 22 tahun, namun dia terpaksa menunggang secara rahsia.
“Selama dua tahun, saya menunggang motosikal pada waktu malam di belakang rumah dengan berpakaian seperti lelaki.
“Apabila orang sedar saya adalah seorang wanita, ramai yang memberi galakkan. Namun, ada segelintir orang berkata, tempat saya adalah di dapur,” katanya sambil ketawa.
Sekatan


IMEJ wanita Iran seiring dengan arus pemodenan dunia.


Kemudian, dia mengambil keputusan untuk terlibat sepenuh masa dengan motorcross bersama Zanjani.
Behnaz juga merupakan individu bertanggungjawab yang mendesak kementerian sukan di negara itu memberi kebenaran kepada wanita berlatih secara terbuka.
“Ramai wanita tempatan mengadu mengenai sekatan yang menghalang mereka daripada melakukan beberapa perkara di negara ini.
“Kekangan ini bukan halangan kepada kami untuk berjaya dalam sukan,” katanya.
Wanita Iran diwajibkan oleh undang-undang untuk menutup rambut dan leher mereka di khalayak ramai. Justeru itu, Behnaz terpaksa memasukkan rambutnya dengan kemas ke dalam topi keledar untuk mengelakkan sebarang kritikan daripada golongan konservatif.
Dia juga cukup berbesar hati kerana dapat menjadi contoh kepada anak-anak gadis di negaranya untuk menentang tradisi lapuk. Kaum Hawa di Iran masih lagi mempunyai status yang masih rendah daripada lelaki dalam beberapa hal terutamanya berkaitan pertikaian undang-undang terhadap harta pusaka dan penceraian.
Begitupun, sekatan yang dihadapi wanita di Iran masih minimum berbanding di negara konservatif lain. Mereka dibenarkan memandu di jalan raya dan jumlah wanita di universiti juga lebih ramai berbanding lelaki.
Daripada aspek pakaian, wanita di negara Syiah itu mula beralih daripada berjubah hitam kepada jean ketat, bersolek dan mengenakan tudung berwarna-warni terutamanya di kawasan yang dihuni golongan kaya.
Sekatan wanita untuk terlibat dalam aktiviti lasak masih dikekalkan terutamanya dalam sukan renang. Namun, wanita masih lagi diberi dibenarkan untuk terlibat secara aktif dalam sukan seperti karate, olahraga dan bola tampar.
Behnaz berharap, suatu hari nanti kerajaan akan membenarkan wanita menunggang motosikal di bandar.
“Jika kita berjuang untuk idea ini, kita pasti akan menang,” katanya. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails