Firman Allah:
﴿وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ١٠٨﴾ [الأنعام: 108]
- “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”[Surah al-An’am: 108]
Inilah petunjuk Al-Quran kepada penganut Islam yang beriman kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya apabila bersama penganut agama lain yang juga percaya kepada Tuhan dengan bahasa masing-masing tetapi melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah mengikut kepercayaan mereka. Walaupun mengikut kepercayaan penganut Islam adalah sesat dan dosa paling besar, namun Islam mewajibkan konsep tiada paksaan dalam beragama dan wajib memberi hak beragama yang wajib dilindungi.
Ayat Al-Quran tersebut menunjukkan bahawa Islam menetapkan sempadan menjaga sensitiviti dalam hubungan dengan penganut agama lain, sehingga dilarang memaki tuhan-tuhan yang dipuja oleh penganut agama lain dihadapan mereka sehingga menyebabkan mereka boleh mencela Allah Tuhan Yang Maha Esa yang juga menjadi kepercayaan semua manusia mengikut nalurinya. Allah berfirman:
﴿وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٢٥﴾ [لقمان: 25]
- “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).”[Surah Luqman: 25]
Peristiwa membunyikan hon keretanya ketika sembahyang jumaat di Johor menunjukkan bahawa perlunya masyarakat berbagai agama menjaga sensitiviti ini. Bukan sahaja penganut Islam, termasuk juga penganut agama lain terhadap yang tidak seagama dengannya.
Perkara yang berlaku secara sepontan menyebabkan seseorang itu melakukan sesuatu kerana kepentingan dirinya tanpa mengira orang ramai dikelilingnya, dalam masa yang sama berlakulah juga tindak balas secara spontan tanpa dapat dikawal. Hal yang seperti ini boleh mencetuskan ketegangan dengan segera.
Kehidupan bermasyarakat madani mewajibkan dijaga hubungan di antara satu sama lain walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya, kerana titik persamaan dalam kehidupan bermasyarakat dalam banyak aspek perlu dijaga terlebih dahulu dengan keharmonian bagi kehidupan manusia yang lebih luas lapangannya di atas muka bumi yang wajib dimakmurkan bersama, mestilah juga saling mengerti dalam perkara yang berbeza.
Sejarah menunjukkan betapa penganut Islam menunjukkan sikap damai tersebut apabila berkuasa memerintah negara, yang sangat berbeza dengan agama lain apabila berkuasa terhadap penganut tidak seagama dengannya. Inilah petunjuk Al-Quran. Firman Allah:
Sejarah menunjukkan betapa penganut Islam menunjukkan sikap damai tersebut apabila berkuasa memerintah negara, yang sangat berbeza dengan agama lain apabila berkuasa terhadap penganut tidak seagama dengannya. Inilah petunjuk Al-Quran. Firman Allah:
﴿وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾ [الحج: 40]
- “Kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), sembahyang-sembahyang dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [Surah al-Hajj: 40]
Sejarah menunjukkan seringkali berlakunya ketegangan sesama manusia apabila adanya perbezaan khususnya dalam beragama, bahkan dalam satu agama yang berbeza mazhab. Namun Islam mewajibkan konsep damai tanpa paksaan. Inilah yang menjadikan masyarakat majoriti Islam boleh bersama bukan Islam yang berada ditengah-tengah mereka, keadaan yang sangat berbeza apabila segelintir penganut Islam berada ditengah majoriti bukan Islam.
Bahkan Islam memberi perlindungan kepada bukan Islam yang dizalimi dinegaranya. Mengikut firman Allah:
﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾ [التوبة: 6]
- “Dan jika seseorang dari kaum musyrik (bukan Islam) meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah yang tersebut adalah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).” [Surah at-Taubah: 6]
Ini menunjukkan Islam mendahului Piagam Geneva dan undang-undang antarabangsa terhadap pelarian daripada negara lain.
Apabila pihak bukan Islam pula menceroboh terhadap penganut Islam, maka Allah mengharamkan tindakan melampau. Firman Allah:
﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾ [البقرة: 190]
- “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Firman Allah:
فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ١٩٤﴾ [البقرة: 194]
- “Barangsiapa yang menceroboh kamu, maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohannya terhadapmu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” [Surah al-Baqarah: 194]
Tegasnya, Islam juga melarang penganutnya bertindak secara melampau yang boleh menjadikan keadaan yang lebih buruk dan besar mudaratnya, sehingga luas lapangan kesannya. Bukan sahaja wajib ditangani oleh pihak yang berkuasa dan pemimpin masyarakat yang disebut Uli Al-Amri (para pemimpin dan ulama), bahkan diwajibkan menjaga perasaan diri masing-masing daripada tindakan melampau terhadap pihak lain, walaupun telah berlaku melampau terhadapnya dengan Firman Allah juga:
﴿وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨﴾ [النحل: 126-128]
- “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. (127) Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.(128)” [Surah An-Nahl: 126-128]
Apa yang sepatutnya diberi perhatian adalah apabila orang melakukan ketelanjuran membunyikan hon meminta maaf dan kalangan Islam pula memaafkannya. Melakukan sifat yang dipuji Allah:
﴿ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٣٤﴾ [آل عمران: 134]
- “Orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” [Surah Ali-Imran: 134]
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Syaaban 1438H / 13 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 13/5/2017
No comments:
Post a Comment