MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam memberi amaran bahawa beliau akan bertindak keras terhadap militan selepas mengisytiharkan undang-undang tentera di Pulau Mindanao susulan kegagalan serbuan ke atas kubu pemberontak yang dikaitkan dengan militan Daesh.
Duterte memendekkan lawatannya ke Rusia dan menguatkuasakan undang-undang tentera di pulau yang dihuni 22 juta penduduk itu kelmarin.
Presiden Filipina itu berkata, beliau akan mengekalkan undang-undang tentera di Mindanao sehingga setahun jika perlu, malah akan menguatkuasakan undang-undang tentera ke seluruh Filipina
Perkembangan itu susulan pertempuran di bandar berpenduduk Islam, Marawi apabila pihak tentera cuba menghapuskan berpuluh-puluh pemberontak Maute. Mereka bagaimanapun melepaskan diri daripada serbuan tentera kelmarin dan menguasai jalan raya, jambatan dan bangunan di Marawi.
Duterte yang merupakan anak kelahiran Mindanao sudah lama mengugut mahu melaksanakan undang-undang tentera untuk menghapuskan dua kumpulan yang dikaitkan dengan Daesh.
Militan Daesh kini cuba bertapak di Filipina. Duterte berkata, situasi di Mindanao akan menyerupai undang-undang ketat yang dilaksanakan oleh diktator Ferdinand Marcos dalam tahun 1970-an.
“Kepada rakyat negara ini yang pernah merasai undang-undang tentera, ia tidak akan berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Presiden Marcos. Saya akan bertindak keras.
“Jika ia mengambil masa setahun untuk melakukannya, kita akan melakukannya. Sekiranya ia berakhir dalam masa sebulan, saya akan gembira.
“Kepada semua rakyat, janganlah terlalu takut. Saya dalam perjalanan pulang. Saya akan menangani masalah ini apabila tiba di tanah air,” kata Duterte di dalam pesawat dari Rusia.
Sebanyak dua askar dan seorang anggota polis terbunuh, manakala 12 orang cedera di Marawi di mana pejuang-pejuang Maute menawan beberapa bangunan dan membakar sebuah sekolah, gereja serta penjara.
“Bandar itu masih di bawah kawalan kumpulan bersenjata. Mereka berada di semua jalan utama dan dua jambatan menuju ke Marawi,” kata pelajar, Rabani Mautum kepada agensi berita Reuters di bandar berdekatan, Pantar. – Reuters
No comments:
Post a Comment