Thursday, May 25, 2017

Pemimpin Kuda Tunggang DAP


Oleh
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF 
Hasil carian imej untuk DR. KAMARUL ZAMAN YUSOFF
SAYA tertarik untuk mengulas tulisan Naib Pengerusi 1 AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam, bertajuk “Sukarnya berwacana jika bahasa kita berbeza” yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada pukul 12:58 tengahari tadi, 24 Mei 2017, sekaligus mengulas tulisan beberapa orang pemimpin AMANAH lain.
Di antara lainnya, Dr Muhaimin Sulam menulis begini:
“Kamarul Zaman adalah seorang penutur bahasa politik yang baik. Adalah tidak benar jika beliau dituduh sebagai sarjana bodoh. Lebih daripada itu, jangan diheret sama universiti yang menaunginya dalam perbahasan wacananya.”
“Universiti itu tidak bersalah dan tidak perlu dihukum kerana bahasa Kamarul Zaman.”
“Pihak yang menuduh beliau sebagai bodoh - pada mata saya - adalah pembaca suatu doktrin politik juga.”
“Noam Chomsky membahagikan bahasa kepada dua; bahasa mengikut kamus dan bahasa mengikut doktrin. Mana mungkin graduan Indiana University dengan pointer tinggi, serta anak didik Prof Dr Redzuan Othman di Universiti Malaya (UM) boleh dihukum bodoh semudah itu?”
Sambung Dr Muhaimin Sulam lagi:
“Bagi saya Kamarul Zaman bijak menggunakan bahasa sebagai modal sosial yang berharga bagi Umno dan PAS. Gagasannya mudah difahami oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu. Sikit atau banyak yang faham, itu persoalan lain.”
“Hampir keseluruhan tulisan Kamarul Zaman cuba membina persepsi bahawa pembangkang - terutamanya Pakatan Harapan - sebagai bermasalah dan salah. Itu objektifnya. Itu motif akhirnya.”
“Sepintas lalu, beberapa terma digunakan Kamarul Zaman seperti, bacul, bodoh, ekstrim, hipokrasi, rakus, dominan, tidak siuman dan lain-lain bolehlah saya kategorikan sebagai persoalan seputar isu Melayu dan Islam yang bersifat etniksiti dan agama. Inilah dogma yang hendak dikemukakan oleh beliau kepada khalayak.”
“Khalayak yang memiliki tahap bahasa yang selari dengan bahasa yang digunakan oleh Kamarul Zaman akan mudah menerima hujah pensyarah universiti itu.”
Terima kasih kepada Dr Muhaimin Sulam kerana masih berfikiran rasional, walaupun sebahagian besar pemimpin AMANAH lain sudah kelihatan dibawa oleh arus emosi, dengan menegur para pemimpin AMANAH, para pemimpin DAP dan para penyokong mereka yang menyifatkan saya sebagai bodoh, atau, di dalam bahasa Khalid Samad, bodoh tahap maksima, walaupun beliau sendiri adalah seorang pemimpin AMANAH.
Walaupun begitu, perlu dinyatakan bahawa saya adalah seorang individu yang suka bercakap atau menulis secara terus-terang, iaitu “straight to the point”, dan bukannya seorang individu yang suka bercakap atau menulis secara puitis dan bombastik sehingga kadangkala terlalu sukar sekali difahami apa isi sebenarnya seperti Dr Muhaimin Sulam.
Perlu diakui bahawa saya, tanpa sebarang provokasi, pernah menggunakan istilah keras seperti “kelentong” di dalam tulisan saya pada 8 April lalu bagi merujukkan kepada Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; “tohmahan” di dalam tulisan saya pada 25 April lalu bagi merujukkan kepada Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan; dan “hipokrasi” di dalam tulisan saya pada 10 Mei lalu bagi merujukkan kepada DAP. Bagaimanapun, penggunaan istilah keras tersebut, pada hemat saya, ada justifikasinya.
Istilah-istilah keras lain seperti “bacul”, “bodoh” dan “ekstrim” yang disebutkan oleh Dr Muhaimin Sulam pula sebenarnya hanyalah pemulangan kembali istilah-istilah keras tersebut yang dilemparkan kepada saya sebelumnya oleh para pengkritik saya. Ini pun sebenarnya tidak bersalahan dengan ajaran Islam sendiri yang di antara lainnya menyebut bahawa “Dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang)” dan bahawa “Maka balaslah pencerobohan itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu”.
PEMIMPIN AMANAH TIDAK MAMPU BERHUJAH
Apapun, isu-isu yang membabitkan saya dengan Hannah Yeoh dan DAP beberapa hari kebelakangan ini sekadar menjelaskan lagi kepada masyarakat umum mengenai hakikat bahawa AMANAH adalah sebuah parti politik yang diisi oleh segerombolan manusia yang sebahagian besarnya tiada kemampuan untuk berhujah secara intelektual tetapi hanya sekadar tahu menggunakan bahasa kasar untuk menyerang individu lain yang “menyentuh” DAP.
Seperti ramai yang mengikuti isu-isu ini sedia maklumi, para pemimpin AMANAH sangat terkehadapan di dalam mempertahankan Hannah Yeoh dan DAP sehinggakan ada masanya belum pun para pemimpin DAP sempat menjawab apa-apa kritikan yang diberikan ke atas mereka, para hulubalang AMANAH sudah terlebih dahulu keluar berpencak silat di gelanggang bagi menepis kritikan terhadap DAP.
Apabila saya membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh pada 17 Mei lalu, terus sahaja para pemimpin AMANAH keluar mempertahankan Hannah Yeoh.
Khalid Samad mem“bodoh tahap maksima”kan saya kerana kononnya menghujahkan menghujahkan bahawa “tak boleh ada apa-apa buku tulisan mengenai agama lain yang dijual di Malaysia”. Bila saya jelaskan bahawa tiada sepatah pun di dalam laporan polis ayat yang menggambarkan saya mahu buku Hannah Yeoh diharamkan dan betapa sejak 17 Mei lagi telah terpapar di dalam portal berita NST Online kenyataan saya bahawa buku Hannah Yeoh sepatutnya tidak dijual di rak terbuka tetapi dijual di rak Kristian, tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.
Salahudin Ayub pula mendakwa Hannah Yeoh diberi kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengamalkan agama pegangan beliau dengan aman dalam negara kita. Bila saya jelaskan bahawa kebebasan beragama ini adalah dibataskan oleh Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “Undang-undang Negeri dan, berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam” dan oleh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di peringkat negeri yang memperuntukkan bahawa “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seseorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu”, tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Zolkharnain Abidin pula mempersoalkan mengapa saya tidak terlebih dahulu mengajak Hannah Yeoh berwacana mengenai kandungan buku beliau. Apabila saya jelaskan bahawa lontaran begini patut ditujukan kepada Hannah Yeoh, bukan kepada saya, kerana beliaulah yang pertama sekali membuat laporan polis terhadap saya sebelum saya membuat laporan polis terhadap beliau, tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.
Punca sebenar isu buku Hannah Yeoh timbul ialah kerana tiga pengakuan beliau sendiri, iaitu mengenai betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda; mengenai betapa beliau menyeru agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; dan mengenai betapa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam. Bagaimanapun, sehingga kini Hannah Yeoh sendiri mahupun para pemimpin AMANAH dan para pemimpin DAP serta para penyokong mereka gagal membuat apa-apa penjelasan yang memuaskan mengenai pengakuan Hannah Yeoh ini, yang menjadi intipati kepada tulisan awal saya pada 10 Mei lalu bahawa Hannah Yeoh adalah contoh hipokrasi terbesar DAP.
Begitu juga bila saya umumkan pada 22 Mei lalu bahawa saya telah memulakan inisiatif untuk menyediakan satu memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan, dan bahawa setakat itu sudah lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, termasuk 18 Profesor dan 24 Profesor Madya, yang bersetuju, di atas kapasiti peribadi mereka, untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini, terus sahaja para pemimpin AMANAH keluar mempertahankan DAP.
Pengumuman tersebut saya buat pada pukul 7:06 pagi.
Pada pukul 3:06 petang, Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, terus keluar menyatakan saya tidak cerdik dan tindakan saya memang tidak cerdik, kononnya kerana bersusah-payah hendak membuat benda yang tidak perlu dibuat.
Pada pukul 6:39 petang, Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim, mengeluarkan satu kenyataan rasmi di atas nama KANUN mendakwa bahawa tindakan saya membuat memorandum terhadap DAP adalah salah satu tindakan bagi mendapatkan publisiti murahan semata-mata dan bahawa sekatan ke atas kebebasan berpersatuan hanya boleh dilakukan jika ada ancaman keselamatan ke atas Persekutuan atau ketenteraman awam. Tambah beliau lagi, KANUN juga melihat tindakan saya lebih berbentuk hasutan kepada orang ramai khasnya orang-orang Melayu untuk membenci DAP dan seterusnya menolak untuk mengundi Pakatan Harapan di dalam PRU 14.
Pada pukul 7:38 petang pula, Ketua Pemuda AMANAH Perak yang juga seorang peguam, Mohd Fitri Asmuni, pula berpencak dengan menuduh saya sebagai cybertrooper bertaraf Doktor, penulisan saya tidak lebih dari sampah yang tidak mempunyai nilai akademik sekalipun saya bertitle Doktor dan penulisan saya memenuhi ciri-ciri untuk tindakan saman fitnah difailkan terhadap saya.
Bandingkan kekerasan dan kekerapan tindakan para pemimpin AMANAH membela DAP dalam isu memorandum ini dengan hanya satu kenyataan rasmi dari DAP pada hari itu, yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada 23 Mei, iaitu oleh Ketua Pemuda Kebangsaan DAP, Wong Kah Woh, yang berbunyi: “One do not need a PhD, or a Bachelor of Arts with Double major from Indiana University at Bloomington (IUB), or to be a Senior Achievement Award winner, to understand the 51-years-struggle of DAP for a better Malaysia. Kamarul Zaman just need to get hold of a copy of the DAP Constitution and read it through if he is reluctant to dig into the historical profiles and struggles of DAP in the archives.”
Kepada Wong Kah Woh, suka saya maklumkan bawa saya telah lama mengkaji Perlembagaan DAP dan telah kerap kali membuat komentar mengenainya, termasuk di dalam akhbar Berita Harian sejak 26 Jun 2015 lagi. Kamulah yang sebenarnya tidak cerdik kerana tidak memahami Perlembagaan DAP walaupun kamu sendiri bergelar Ketua Pemuda Kebangsaan DAP.
Kepada Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, kamulah juga yang sebenarnya tidak cerdik dan tindakan kamulah yang sebenarnya memang tidak cerdik kerana sebab yang akan saya nyatakan selepas ini.
Kepada Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim, bagaimana seorang peguam seperti kamu boleh menyatakan bahawa sekatan ke atas kebebasan berpersatuan hanya boleh dilakukan jika ada ancaman keselamatan ke atas Persekutuan atau ketenteraman awam sedangkan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 Akta Pertubuhan terang-terang memberikan kuasa kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan?
Suka juga saya mencabar Wan Anwar Wan Ibrahim supaya membuat laporan polis kepada saya di bawah Akta Hasutan jika benar tulisan saya adalah berbentuk hasutan.
Suka juga saya mencabar Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni, supaya mengambil tindakan saman fitnah terhadap saya jika benar tulisan saya mengandungi fitnah.
MENGAPA SAYA KATAKAN PEMIMPIN AMANAH BODOH?
Saya katakan pemimpin AMANAH bodoh kerana mereka sendiri sering menyatakan kebimbangan mengenai kurangnya sokongan orang-orang Melayu Islam terhadap Pakatan Harapan.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, malah pernah secara terbuka berucap di hadapan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, begini pada 7 Februari lalu: “Isu yang kita bawa ini, iya, banyak. Tapi kalau jatuh BN, apa nak jadi pada orang Melayu? Ini tanggapan persepsi, bukan satu fakta. Tapi inilah yang dihadapi oleh kita menjelang pilihan raya yang akan datang. Memang pilihan raya yang ke 2013 kita janji nak hapuskan PTPTN, nak hapuskan tol, nak beri elaun kepada wanita yang tidak bekerja. Cukup menarik Buku Jingga kita. Tetapi orang Melayu bertanya, kalau jatuh BN, apa nasib pada orang Melayu? Inilah kita kena bina persepsi ini, terutama sekali rakan-rakan daripada DAP jugak kena membantu nak mengubah persepsi ini.”
Persepsi DAP anti Melayu anti Islam ini sudah lama tertanam di kalangan orang-orang Melayu Islam. Kalau persepsi ini dibuat-buat takkanlah dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan milik Kerajaan Selangor, yang DAP sendiri sebahagian daripadanya, antara 13 hingga 15 November 2015 mendapati 64 peratus daripada 1,716 respondennya di Selangor bersetuju DAP anti Islam. Kalau persepsi ini dibuat-buat takkanlah sampai sekarang Penasihat DAP, Lim Kit Siang, tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana menyebut bahawa DAP anti Islam walaupun menyebut mahu berbuat demikian sejak 28 Januari lagi.
Kita pergi kepada kandungan memorandum yang kami, lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, ingin kemukakan bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan.
Hakikat betapa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP adalah berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia” seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 2A (1)(b) Akta 335 terbukti kerana induk yang mendasari aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP, iaitu Perlembagaan DAP, hanya menyebut mengenai “Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi” (Fasal II (4)) tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia”.
Hakikat betapa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP adalah berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak” seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 2A (1)(d) Akta 335 terbukti kerana induk yang mendasari aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP, iaitu Perlembagaan DAP, hanya menyebut mengenai “Memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia” (Fasal II (2)), atau mengenai “Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama” (Fasal II (10)), atau mengenai “Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan peringkat tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu” (Fasal II (11)), tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak”.
Jika DAP mahu terus bernyawa setelah diberikan surat tunjuk sebab oleh Pendaftar Pertubuhan, maka sudah tentulah DAP di antara lainnya perlu meminda perlembagaannya bagi memasukkan pengiktirafan ke atas “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia” dan bagi memasukkan pengiktirafan ke atas “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak”. Jika ini berlaku maka sudah tentulah serangan bahawa DAP anti Melayu anti Islam akan berkurangan, jadi tidakkah ini akan membantu kamu, para pemimpin AMANAH, untuk membantu menarik sokongan orang-orang Melayu Islam terhadap Pakatan Harapan?
MENGAPA PULA SAYA KATAKAN PEMIMPIN AMANAH KUDA TUNGGANGAN DAP?
Saya katakan pemimpin AMANAH kuda tunggangan DAP kerana tindak-tanduk mereka dan tindak-tanduk pemimpin DAP sendiri sering memperlihatkan bahawa pemimpin AMANAH diperkudakan oleh pemimpin DAP.
Seperti disebutkan di dalam tulisan ini sebelum ini, para pemimpin AMANAH sangat terkehadapan di dalam mempertahankan Hannah Yeoh dan DAP sehinggakan ada masanya belum pun para pemimpin DAP sempat menjawab apa-apa kritikan yang diberikan ke atas mereka, para hulubalang AMANAH sudah terlebih dahulu keluar berpencak silat di gelanggang bagi menepis kritikan terhadap DAP.
Seperti disebutkan di dalam tulisan lain sebelum ini, setelah pemimpin PAS yang kalah di dalam pemilihan PAS pada tahun 2015 keluar dari PAS dan menubuhkan AMANAH, rekod menunjukkan pemimpin DAP-lah yang memberi nyawa kepada mereka melalui pelbagai cara, sama ada melalui saluran parti atau Kerajaan Pulau Pinang yang dimiliki DAP.
Belum pun AMANAH dilancarkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sudah mengumumkan di Gelang Patah pada 5 September 2015 bahawa keutamaan terbesar selepas 16 September (pelancaran AMANAH) adalah merangka rencana terperinci bagi merampas Johor.
Pada saat ada pemimpin pembangkang, khususnya dari PKR, yang belum bersetuju Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September 2015, pemimpin DAP-lah yang bekerja keras bagi meyakinkan mereka supaya menubuhkannya segera demi kelangsungan AMANAH.
Sehari selepas Pakatan Harapan diwujudkan, Setiausaha Agung DAP selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengumumkan keputusan mesyuarat bahawa kerajaan itu digelar sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, bersama jawatan untuk AMANAH.
Dari sudut ideologi pula, Liew Chin Tong sejak awal-awal lagi mewajibkan AMANAH supaya memenuhi mandat progresif/sederhana dan mengemukakan satu wacana menyeluruh post-Islamis mengenai maqasid syariah bagi memenangi sokongan lebih ramai rakyat Malaysia.
TAKTIK DAP MEMPERKUDAKAN PARTI LAIN DIAKUI LIM KIT SIANG
Untuk makluman para pemimpin AMANAH, taktik DAP memperkudakan parti lain untuk kepentingan DAP ini pernah diakui oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, sendiri di dalam kenyataan yang diberikan oleh beliau kepada Andy Mickey Choong Tek Choy pada 20 Mac 2006. Kenyataan Lim Kit Siang ini dimuatkan oleh Andy Mickey Choong Tek Choy di dalam tesis sarjana beliau bertajuk “Democratic Action Party of Malaysia and the Politics of Opposition Coalition Building” dengan National University of Singapore.
“DAP strategy within the opposition grouping was to buttress the young party and hoped that a prolonged opposition cooperation may be sustained and the PKR may come to maturity and lead the opposition forces not in the coming general election but the next. Hence, the DAP were willing to extend the level of cooperation from the various loose alliances with political parties and CSAs and took the next step of transforming the cooperation to a structured opposition coalition for electoral contestation. By doing so, the DAP viewed that it was able to fulfill their long term commitment to Malaysian society and at the same time checking on the expansion of PAS by supporting the development of PKR, which lacked the political machinery and resources as compared to the established political parties.”
“Furthermore, the DAP in the acknowledgement of political realities, attempted to use PKR and Anwar as a counter balance to PAS growth in the Malay political cleavage... In supporting the growth and development of PKR and the cultivation of Anwar supporters, the DAP was able to check on the growth and influence of the PAS in the opposition camp from within a structured coalition.”
Kenyataan Lim Kit Siang ini menggambarkan betapa liciknya strategi DAP, berkawan dengan PAS di dalam satu pakatan politik, tetapi di dalam masa yang sama berusaha keras untuk memastikan PAS tidak terlalu kuat dengan membantu perkembangan PKR bagi memastikan PKR boleh digunakan untuk menghalang perkembangan PAS.
Kini apakah tidak mungkin strategi sama sedang digunakan oleh DAP, iaitu berkawan dengan PKR di dalam satu pakatan politik, tetapi di dalam masa yang sama berusaha keras untuk memastikan PKR tidak terlalu kuat dengan membantu perkembangan AMANAH bagi memastikan AMANAH boleh digunakan untuk menghalang perkembangan PKR? – HARAKAHDAILY 24/5/2017

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails