Tuesday, June 20, 2017

Cabaran M'sia Bermula Di Brussels Esok


SUKAN
KUALA LUMPUR – Keengganan kuasa besar hoki dunia mengadakan perlawanan persahabatan tidak mematahkan semangat Malaysia bagi menghadapi tugas getir untuk layak ke Piala Dunia 2018 dalam kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) bermula di Brussels, Belgium, esok.
Skuad wanita negara di bawah bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah berlepas ke Amsterdam, Belanda, pada 12 Jun lepas untuk tiga perlawanan persahabatan sebelum ke Brussels pada Sabtu lepas untuk satu lagi perlawanan persahabatan dengan pasukan tuan rumah.
Walaupun tiba awal di Brussels, Muhammad Dharmaraj kecewa apabila pasukannya tidak dapat mengadakan perlawanan persahabatan dengan Belgium, sebaliknya hanya diberi peluang menentang skuad bawah 21 tahun negara itu.
“Sejak tiba di Brussels, kami mendapati banyak perlawanan persahabatan antara pasukan-pasukan utama dunia tetapi tiada siapa hendak bermain dengan kita,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Bernama hari ini.
Dalam perlawanan dengan skuad Belgium bawah 21 tahun itu,Malaysia menang 4-1.
Pengalaman dipandang sepi oleh pasukan utama dunia telah menguatkan semangat jurulatih itu untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai sebuah pasukan yang handal dan pemain bertaraf antarabangsa.
“Kami akan menampilkan aksi yang berani dan tidak peduli dengan pandangan pasukan lawan yang boleh menanggap kami sebagai pasukan belasahan. Kami juga tidak akan bermain secara defensif,”katanya,
Dalam saingan Kumpulan B, Malaysia akan membuka kempen dengan menentang naib juara Piala Dunia 2014, Australia, esok pada jam 4 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) diikuti Sepanyol pada Khamis, Belgium (Sabtu) dan New Zealand pada 27 Jun.
Mengikut ranking dunia, Australia berada di tangga keempat, New Zealand (5), Sepanyol (10), Belgium (14) dan Malaysia menduduki ranking ke-22.
Skuad wanita negara harus mendapatkan sekurang-kurangnya satu kemenangan di peringkat kumpulan untuk membolehkan mereka melangkah ke saingan suku akhir.
Kejayaan melangkah ke saingan suku akhir bermakna peluang Malaysia untuk beraksi dalam Piala Dunia tahun depan lebih terjamin. – BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, sukan tidak menghalang pemainnya menutup aurat. Hendak 1,000 daya, tak nak 1,000 dalih.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails