Wednesday, June 21, 2017

Marawi Minggu Ke5, Serangan Bom &Darat Sebelum Aidilfitri.


 ANGGOTA tentera Filipina menaiki trak menuju ke Marawi bagi meneruskan serangan menentang militan Maute di selatan Filipina kelmarin. - REUTERS
MARAWI – Pesawat Filipina mengebom kedudukan pemberontak Maute di bandar Marawi, selatan negara itu semalam, manakala tentera darat melancarkan operasi baharu dengan matlamat menamatkan pertempuran sebelum sambutan Aidilfitri pada hujung minggu ini.
Serangan itu dibuat ketika kebimbangan tercetus pejuang tambahan akan tiba di Marawi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pertempuran di bandar Marawi memasuki minggu kelima dengan hampir 350 orang telah terkorban, demikian menurut angka rasmi.
Penduduk yang melarikan diri berkata, mereka melihat mayat bergelimpangan di bawah runtuhan kediaman yang musnah akibat pengeboman dan tembakan.
“Kami berhasrat membersihkan Marawi menjelang akhir Ramadan,” kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Restituto Padilla ketika komander tentera dan polis bertemu di bandar Cagayan de Oro bagi menilai semula strategi dan operasi menentang militan Maute yang melafazkan taat setia kepada kumpulan Daesh.
“Kami tidak boleh mengatakan bila semua ini akan berakhir kerana kami bertempur dari rumah ke rumah dan terdapat jerangkap samar yang boleh membahayakan nyawa anggota tentera.” tambahnya.
Penguasaan Marawi oleh pemberontak telah mengejutkan negara-negara Asia Tenggara yang bimbang militan Daesh dari Iraq dan Syria cuba bertapak di selatan Filipina sekali gus mengancam seluruh rantau Asia Tenggara.
Padilla berkata lagi, pihak tentera mahu mencegah konflik berkenaan daripada berlarutan selepas berakhirnya Ramadan.
“Kami memantau beberapa kumpulan secara dekat dan kami berharap mereka tidak akan menyertai pertempuran di Marawi,” katanya.
Sementara itu, beberapa penduduk Islam di Marawi berkata, kumpulan-kumpulan pembe­rontak lain mungkin akan menyertai pertempuran di bandar itu selepas Ramadan.
“Sebagai penganut agama Islam, kami dilarang berperang semasa bulan Ramadan, jadi selepas ini, mungkin ada kumpulan baru akan tiba,” kata Faisal Amir yang tinggal di bandar Marawi.
Kelmarin, pihak tentera mengesahkan seramai 257 militan, 62 anggota tentera dan 26 penduduk terbunuh sepanjang pertempuran tercetus di bandar itu. – Reuters
Imej yang berkaitan
Pihak kami sanggup pergi ke Sabah &Sarawak memberi maklumat lengkap mengenainya.

No comments:

Post a Comment