KUALA LUMPUR – PAS kesal dengan sikap sebilangan umat Islam negara ini kerana bersedia menjadi khadam kepada sesiapa sahaja termasuk musuh agama mereka yang sentiasa cuba menipu dan memporak-perandakan demi mencapai cita-cita mereka memerintah Malaysia.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam terbabit sanggup menawarkan apa sahaja khidmat sebagai khadam kepada musuh Islam yang memonopoli undi satu kaum itu termasuk menjadi penyapu, tukang pukul, tukang maki hamun dan tukang cuci kotoran.
Beliauturut melahirkan rasa kesal diatas sikap `marahkan nyamuk kelambu dibakar’ sebilangan umat Islam Malaysia kerana sanggup merobohkan akidah dan jati diri dalam keadaan kaumnya masih ketinggalan ekoran terpengaruh dengan dakyah salah laku yang menyakitkan hati.
Lebih malang, kata beliau, umat Islam terbabit sanggup menempah kemusnahan lebih besar dan mudarat yang lebih parah dengan tidak sabar terhadap mudarat lebih ringan yang boleh diselesaikan selepas menangani mudarat lebih besar terlebih dahulu.
“Apa yang patut menjadi kewajipan sebenarnya ialah melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam yang dilaksanakan walau sesiapa pun yang ada dikerusi Putrajaya.
“Kalau tidak bersedia berubah maka kerusi itu wajib diambil alih bagi menunaikan kewajipannya, bukan mengambil peluang sahaja dengan meletakkan Islam dan umatnya di belakang.
“Inilah pendekatan yang dinyatakan dalam semua perutusan Rasulullah S.A.W. kepada raja-raja dan pemimpin di zamannya: “Terimalah Islam nescaya kamu selamat”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi dalam pada itu membidas sebilangan pihak dalam negara yang memperjuangkan hak sama rata dan mahu menghapuskan konsep Islam didahulukan di Malaysia atas alasan keadilan.
Kata beliau, mereka terlupa Islam yang berjaya membentuk kerajaan dan tamadun berasaskan iman dan ilmu di rantau ini bermula dengan Kerajaan Islam di Melaka, bukan tamadun batu yang dibina menjadi berhala atau tamadun membina kota yang memaksa rakyat.
Tegas beliau, hakikatnya umat Islam adalah warga teras kepada negara ini yang perlu dihormati, malah umat Islam selama ini menerima masyarakat majmuk tanpa paksaan beragama dan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, bukan setakat memberikan kerakyatan.
Justeru, katanya, rakyat wajib menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai Perlembagaan Negara laksana tikus membaiki labu, bukannya penambahbaikan ke arah memperkasakan Islam dan syariatnya.
“Rakyat juga wajib menolak mana-mana parti atau sesiapa sahaja yang sanggup menjadi khadam kepada pihak yang mahu meruntuhkan asas Perlembagaan Negara atau menjadi khadam kepada penjajah atau menjemput penjajah datang semula.
“Oleh itu, tiada kompromi terhadap mereka yang menghalang perjalanan Islam atau mereka yang bersekongkol dengan penghalang itu dan tiada kompromi juga dengan mereka yang sekadar mengkhadamkan Islam atau memainkan sentimen perkauman dengan niat mahu meminggirkan umat Islam tanpa menghormati dan mengenang budinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment