"I'm impressed by your hospitality and further impressed to know a lot of professionals are with PAS Youth. And most of you have a good command of and fluent in English!"
Terjemahan: "Saya teruja dengan layanan mesra dan lebih lagi saya teruja apabila mengetahui ramai golongan profesional dalam saff Pemuda PAS. Dan kebanyakan kamu juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik!".
Begitulah lebih kurang rumusan komentar Michelle kepada kami semasa minum-minum petang tadi usai urusan temuramah. Beliau yang merupakan wartawan Sin Chew Daily bersama jurugambarnya telah menemuramah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkenaan isu politik semasa dan prospek PAS dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.
Kebetulan selepas selesai temuramah ada beberapa orang Exco di Pejabat Pemuda yang sama-sama berbincang santai bersama beliau. Dalam hati berbunga-bunga juga apabila beliau memberi penghargaan dan pandangan positif kepada Pemuda PAS! Beliau menyebut bahawa Pemuda PAS juga memberi kerjasama baik kepada beliau.
Bangga bukan kerana riak, tapi kerana mungkin ramai yang berpersepsi tidak positif terhadap Pemuda PAS (mungkin akibat kesan pemberitaan negatif media beragenda yang semenangnya anti agenda Islam yang diperjuangankan oleh PAS), namun bila mereka mendekati Pemuda PAS baru mereka memahami. Sungguh, tak kenal maka tak cinta! Dah kenal imej Pemuda PAS pasti jatuh cinta.
Pemuda PAS sesi 2017-2019 sebagaimana sesi sebelumnya adalah gabungan profesional dari pelbagai jurusan termasuk yang berkelulusan agama, kelulusan perubatan, kelulusan kejuruteraan, kelulusan IT, kelulusan ekonomi, kelulusan sains sosial juga tidak ketinggalan dalam kalangan aktivis. Semuanya bahu-membahu dan seiring sejalan membangunkan jamaah tercinta liridhalLah tanpa ada dikotomi.
Dalam DPPM kali ini ada Profesor, Profesor Madya, Dr PhD, Dr Perubatan, Jurutera, Penganalisis Ekonomi, murabithun yang teruji istiqamahnya dan pastinya Ulama' yang berusaha mengembangkan agama. Semoga kami dan kita semua terus bermotivasi serta beristiqamah dalam perjuangan ini selari dengan motto "Mara Menuju Cita" dan "Sejahtera Bersama Islam". Alhamdulillah!
Nasihat Imam Hassan Al-Banna rahimahullah berikut cukup terkesan di hati saya. Semoga saya dan anda juga berusaha sebaik mungkin menjadi pekerja dakwah yang serius bekerja dan bukan sekadar menjadi burung kakak tua yang sering sembang kemas!
Kata Imam Hassan Al-Banna:
“Rijalul qaul (orang yang pandai berbicara) tidak sama dengan rijalul ‘amal (orang yang pandai bekerja) dan rijalul ‘amal tidak sama dengan rijalul jihad (orang yang optimal dalam bekerja). Rijalul jihad pun tidak sama dengan Rijalul jihad yang muntij (produktif) wal hakim (bijaksana) iaitu orang yang mampu memberikan hasil yang optimal dengan pengorbanan yang paling kecil.”
“Sesungguhnya orang yang pandai berbicara itu banyak, tetapi sedikit di antara mereka yang tetap konsisten ketika bekerja. Dan banyak orang yang pandai bekerja tetapi sedikit yang mampu mengembangkan amanah jihad yang berat dan mahu bekerja keras (bersungguh-sungguh).”
Ustadz Fathi Yakan pula menukilkan di dalam buku “Abjadiyyat Al-Tasawwur Al-Haraki Li Al-‘Amal Al-Islami (Tasawwur Asasi Gerakan Islam)”:
“Pendidikan jihad ialah pendidikan yang menjadikan insan itu satu makhluk, apa juga kerjanya dan ikhtisasnya sebagai mujahid di jalan Allah, menjadikan manusia yang mempergunakan ikhtisasnya untuk jihad di jalan Allah. Oleh itu, di samping ia seorang ‘alim ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang doktor ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang jurutera ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang guru ia juga seorang mujahid dan seterusnya jihad itu menjadi satu simbol yang istimewa di kalangan mereka.
Pendidikan jihad perlu diberi perhatian lebih kepada dua perkara asas yang penting:
Pertama: Perhatian terhadap jiwa yang ada hubungan dengan Allah, rindu untuk menemuiNya serta mati di jalanNya. Seterusnya menjaganya dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkannya dan menjaga nafsunya sekalipun perkara yang halal dan baik. Dengan ini terbentuk jiwa mujahid.
Kedua: Perhatian terhadap jasad supaya ia sihat dan kuat, memiliki setiap kemampuan untuk bertahan, menyerang dan memiliki pengalaman bertahan dan menyerang, lebih-lebih lagi di zaman yang terdapat pelbagai pengalaman dan keilmuan.”
Demikianlah sewajarnya... Piawaian yang wajar untuk dijadikan sandaran para dae’i dalam dirinya ialah bahawa dia hendaklah mempertahankan iman dan bukan sekadar beriman, serta dia memahami akan kepentingan dirinya untuk berkorban dan bukan sekadar menyumbang. Sama-sama kita ikhtiarkan in shaa Allah.
Bagi mengakhiri posting ini, sama-sama hayati Sabda Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, maksudnya:
“Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah berlintas dalam dirinya untuk berperang(berjihad), maka dia mati atas satu cabang kemunafikan."
(Riwayat Muslim dalam al-Imarah, al-Nasai dalam al-Jihad dan Abu Daud dalam al-Jihad). –HARAKAHDAILY 15/7/2017
Penulis merupakan Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Juga merupakan AJK PAS Pusat, Setiausaha PAS Negeri Sarawak dan Jurutera Kanan di sebuah Syarikat Minyak dan Gas Antarabangsa.
No comments:
Post a Comment