Friday, July 28, 2017

Zailah Membela Kebajikan Pemandu Teksi. Ucapan MP Rantau Panjang


Hasil carian imej untuk RUU Pengangkutan Awam Darat: Ucapan MP Rantau Panjang
TERIMA kasih Tuan Yang Dipertua kerana turut memberi peluang kepada saya untuk sama-sama membahaskan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017.
Tuan Yang Dipertua, kita bersetuju di atas cadangan kerajaan untuk meminda akta ini dan kita mengharapkan pindaan ini akan meningkatkan lagi kualiti kebajikan terutama kepada semua pemandu teksi di seluruh negara kita. Kalau kita melihat isu yang ada di depan kita, bukan sahaja berkaitan dengan kereta sapu domestik ataupun yang kita sebut hari ini Uber ataupun Grab dan sebagainya, tetapi kita juga berdepan dengan kereta sapu asing terutama dari negara jiran. Ini terutama berlaku di kawasan sempadan. Saya kira ini banyak berlaku terutama di Kelantan, Perlis, Perak dan sebagainya. Jadi ini merupakan satu cabaran terutama kepada pemandu-pemandu teksi.
Jadi saya ingin penjelasan, daripada akta yang telah digubal ini, apakah jaminan kerajaan untuk memastikan terutama kebajikan pemandu-pemandu teksi di sempadan yang berdepan dengan cabaran yang cukup sengit, berdepan dengan pemandu pemandu kereta sapu daripada negara Thailand yang menjadi persaingan kepada pemandu-pemandu teksi tempatan?
Jadi saya harap perkara ini diambil kira dalam penggubalan ini untuk memastikan tidak berlaku kezaliman ataupun penganiayaan terutamanya kepada pemandupemandu teksi tempatan kita di sempadan. Saya ingin penjelasan juga ialah sejauh mana perundingan telah dibuat oleh pihak kerajaan ataupun agensi-agensi terlibat dengan agensi yang terlibat di negara jiran untuk memastikan tidak ada pencerobohan atau perlanggaran peraturan.
Oleh sebab sebelum ini di kawasan saya sendiri kerajaan telah mengarahkan supaya kerajaan menarik balik pemberian permit CIP ini kepada teksi ataupun kereta daripada asing yang akan masuk negara kita tetapi yang nyata sebaliknya berlaku semakin banyak kereta-kereta asing masuk dan mereka masuk dengan membawa penumpang direct daripada negara jiran terus ada sampai ke Johor ada yang sampai ke Kuala Lumpur melalui pintu masuk negara kita. Perkara ini tidak memberi kesan yang positif terutama kepada pendapatan pemandu teksi tempatan. Akan tetapi sebaliknya kalau rakyat kita hendak buat seumpama mereka buat dalam negara mereka tidak boleh.
Jadi itulah yang menjadi ketidakpuasan hati terutamanya di kalangan pemandu-pemandu teksi di sempadan. Jadi saya ingin tahu sejauh mana perundingan dibuat dan kajian yang telah dibuat untuk memperkasakan lagi, untuk memastikan tidak ada perlanggaran peraturan terutamanya yang melibatkan sempadan negara.
Seterusnya, saya ingin tahu seberapa jumlah kah pemandu teksi yang berlesen sehingga hari ini dan adakah kerajaan mencadangkan bilangan ataupun had jumlah teksi yang beroperasi di seluruh negara untuk memastikan supaya tidak berlaku lambakan teksi yang boleh menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi. Begitu juga adakah kerajaan mencadangkan untuk menetapkan jenis-jenis terutama kenderaan pelancongan untuk memastikan supaya ia selaras di seluruh negara dan begitu jugaberapa kah usia kereta yang dicadangkan oleh pihak kerajaan untuk memastikan kenderaan-kenderaan yang digunakan ini selamat ataupun boleh menjamin keselamatan semua penumpang.
Begitu juga saya ingin penjelasan tentang kebajikan para pemandu teksi terutama di sebelah Pantai Timur. Didapati stesen-stesen minyak atau stesen-stesen gas yang sepatutnya yang boleh dimanfaatkan oleh pemandu-pemandu teksi terutama di sebelah Pantai Timur, Terengganu, Kelantan amat berkurangan. Bayangkan di seluruh Kelantan hanya ada satu dan saya di fahamkan di Terengganu pun ada satu sahaja stesen gas. Jika kita tengok dengan kenaikan harga minyak di pasaran sudah tentu lah kos operasi yang menggunakan diesel ataupun petrol ini jauh lebih mahal berbanding menggunakan gas, bayangkan pemandu teksi yang berada di pendalaman yang jauh di sana yang kedudukannya jauh kalau di Kelantan hanya ada satu stesen gas iaitu di Pengkalan Chepa. Bayangkan pemandu teksi di Rantau Panjang, Tanah Merah, di Jeli, kedudukannya begitu jauh jadi ia tidak memberi manfaat yang terbaik untuk pemandu-pemadu teksi di sebelah Pantai Timur. Jadi apakah perancangan pihak kerajaan untuk memastikan supaya setiap daerah ada stesen-stesen gas yang boleh digunakan untuk manfaat kepada semua pemandu-pemandu teksi kita. Begitu juga saya ingin penjelasan...
Dato’ Dr. Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Yang Berhormat Rantau Panjang
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Parit Sulong berdiri di belakang.
Dato’ Dr. Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tertarik Yang Berhormat ada memaklumkan mengenai cadangan-cadangan untuk kebaikan pengguna-pengguna ataupun driver teksi-teksi ini, walaupun Yang Berhormat tadi mengutarakan perbincangan mengenai teksi yang berada di kawasan Yang Berhormat dan juga di Kelantan. Akan tetapi saya hendak bertanya juga kepada Yang Berhormat mengenai pandangan Yang Berhormat mengenai kalau kita tengok sekarang teksi ini dia merata sama ada Kelantan ataupun Malaysia dan bila kita menggunakan teksi kita kena surcaj RM3 bagi permulaan.
Jadinya mungkin adakah- mungkin Yang Berhormat boleh bertanyakan juga kepada Yang Berhormat Menteri kalau hendak menyebabkan persaingan secara sihat mungkin boleh tengok semula mengenai perkara ini, sedangkan yang lain-lainnya kita tidak ada caj seperti ini dan itu secara tidak langsung akan menambahkan lagi kos untuk menggunakan perkhidmatan teksi. Jadinya persaingan itu tidak akan menjadi lebih sihat, apa pandangan Yang Berhormat mengenai perkara ini? Terima kasih.
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Yang Berhormat Parit Sulong. Saya setuju pada pandangan Yang Berhormat dan saya minta perkara ini diberi penjelasan masuk sebahagian daripada pertanyaan dalam ucapan saya. Jadi kalau kita lihat perkara-perkara inilah yang menjadi penghalang, menjadi kekangan kepada pemandu-pemandu teksi.
Begitu juga sebagaimana yang disebut oleh ramai rakan-rakan kita dalam Dewan ini berkaitan dengan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM yang mana kita lihat kita sudah sampai masanya sistem monopoli PUSPAKOM ini hendaklah di hapuskan. Apa yang berlaku kebanyakan saya rasa banyak berlaku di negeri-negeri terutama di kawasan pendalaman kedudukan yang terlalu jauh kalau pemandu-pemandu teksi dalam kawasan saya kena pergi ke Pengkalan Chepa untuk hendak periksa kenderaan, apa lagi orang yang duduk jauh di Gua Musang, di Jeli, Kuala Kerai, Tanah Merah jauh.
Jadi maknanya sepatutnya PUSPAKOM ini diwujudkan di setiap daerah untuk memudahkan pengurusan, memudahkan pemeriksaan kenderaan, tidak beratur panjang sebagaimana yang disebutkan oleh Ahli Yang berhormat kita. Jadi kena bagi ruang yang luas supaya kemudahan yang disediakan ini memudahkan rakyat. Jadi saya harapkan sistem monopoli ini dihapuskan dan di perbanyakan lagi kaunter-kaunter PUSPAKOM ini di seluruh daerah-daerah yang terpencil untuk memudahkan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan daripada PUSPAKOM ini.
Saya juga mengharapkan daripada penggubalan undang-undang yang ada ini kita hendak memastikan bahawa kebajikan pemandu-pemandu teksi kita tidak kira di bandar ataupun luar bandar benar-benar terjaga.
Saya tertarik dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat iaitu geran tunai yang akan diberi oleh kerajaan kepada pemandu-pemadu teksi untuk menukar kenderaan baru. Saya mendapat komen daripada pemandu-pemandu teksi, dia kata macam mana kami hendak beli kenderaan baru sedangkan kadang-kadang kita hendak dapat belanja dapur pun tidak cukup, kalau beli kenderaan baru kami hendak ambil duit daripada mana hendak bayar bulanan ansuran kereta baru. Jadi untuk hendak sara hidup pun tidak cukup. Jadi dengan keadaan yang ada, suasana yang ada pada hari ini di mana peruntukkan geran itu tidak memberi kesan terutama kepada pemandu-pemandu teksi kecil yang berada di kawasan pedalaman yang pendapatan yang amat terhad, lain lah di kawasan bandar.
Jadi apa penyelesaian pihak kementerian dalam menghadapi isu-isu sebegini dan saya harap segala keluhan, segala permasalahan yang dikemukakan oleh rakyat hendaklah diberi perhatian sebelum sesuatu perkara itu digubal. Kita tidak mahu beban ini akan menyebabkan mereka akan merasa terus tertekan. Saya ingin tahu adakah kajian dibuat oleh pihak kerajaan berapa peratus di kalangan pemandu-pemandu teksi ini mereka yang berada di bawah tahap pendapatan di bawah paras kemiskinan. Ramai yang kita dapat tahu mereka ini dalam keadaan yang sangat daif terpaksa mencari pekerjaan yang kedua ataupun pekerjaan alternatif. Kalau harapkan hanya hendak dapatkan sara hidup melalui pemanduan teksi, mereka tidak cukup makan. Jadi sejauh mana perhatian dibuat dalam isu ini. Jadi kata-kata itu Tuan Yang Dipertua saya ucapkan terima kasih.

Ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff semasa membahaskan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2017.

IKLAN IH
Hasil carian imej untuk tukang gunting rambut lelaki
Dikehendaki Segera!! Tukang Gunting Rambut Lelaki 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails