Sunday, August 27, 2017

Demonstrasi Aman Kutuk Kekejaman Ke Atas Etnik Rohingya.

 ETNIK Rohingya berarak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini bagi membantah kezaliman yang berlaku ke atas etnik Rohingya di Myanmar. - Foto Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: Hujan lebat tidak menghalang lebih 600 etnik Rohingya beragama Islam bersama gabungan 42 Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di negara itu.
Perarakan kumpulan itu bermula dari Masjid Menara Tabung Haji, sejurus selesai solat Jumaat dan berjalan lebih dua kilometer menuju ke pejabat Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir, di sini.
Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan apabila cubaan mereka untuk masuk ke perkarangan pejabat kedutaan dihalang anggota polis malah, ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat menahan emosi dan cuba merempuh sekatan tetapi, berjaya dihalang.
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama empat lagi wakil daripada kumpulan NGO lain turut menghantar satu memorandum kepada pejabat kedutaan bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya.
 WARGA Indonesia turut melakukan tunjuk perasaan bagi membantah kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di luar kedutaan Myanmar di Jakarta, Indonesia, hari ini. - Foto Reuters
"Saya amat sedih dengan apa yang berlaku di sana (Myanmar) apabila umat Islam dibunuh dengan begitu kejam.
"Justeru, saya selaku wakil kepada rakan-rakan NGO dan umat Islam Rohingya yang turut bersama pada demonstrasi hari ini, mahu kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Myanmar," katanya.
Selain kumpulan NGO itu, turut dilihat menghantar memorandum sama adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang mewakili pergerakan Pemuda UMNO.
Kumpulan demonstrasi itu bersurai pada jam 3 petang tadi.
 AKTIVIS Malaysia dan etnik muslim Rohingya berarak di depan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto EPA
Sementara itu, di Jakarta, ratusan rakyat Indonesia, yang berang dengan kekejaman terhadap penduduk Islam Rohingya di Myanmar, membuat bantahan hari ini di luar Kedutaan Myanmar di ibu kota Indonesia itu.
Jurucakap polis ibu kota ini, Awi Setiyono, berkata sekurang-kurangnya 200 orang menyertai bantahan itu. Mereka berarak dalam tiga kumpulan ke kedutaan, yang dikawal berpuluh anggota polis serta melancarkan bantahan aman namun bingit.
Penunjuk perasaan memegang sepanduk besar bertulis, "Hentikan pembunuhan orang Islam di Myanmar" dan melaungkan "Selamatkan Rohingya."
Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia, adalah penyokong kuat Rohingya, etnik minoriti Islam dalam kalangan majoriti penduduk Buddha Myanmar.
Satu bantahan anti-Myanmar turut dirancang esok oleh kumpulan belia Islam di Malaysia malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut menggesa negaranya menarik diri daripada perlawanan bola sepak Asia Tenggara yang disertai Myanmar.
ANTARA rakyat Indonesia yang membuat bantahan di luar Kedutaan Myanmar di Jakarta, hari ini. - Foto AP
Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyatnya, walaupun mereka hidup di negara itu selama beberapa generasi.
Penindasan ke atas Rohingya memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mereka berdepan keganasan dihasut penganut tegar Buddha dan diskriminasi institusi.
Imej satelit definisi tinggi dianalisis pertubuhan hak asasi Human Rights Watch (HRW) menunjukkan kemusnahan 1,250 kediaman di lima perkampungan Rohingya di Rakhine, di mana tentera menjalankan operasi anti-keganasan.
Ko Ko Linn, seorang aktivis daripada Pertubuhan Nasional Arakan Rohingya berkata, lebih 100 orang terbunuh dan lebih 1,000 rumah dimusnahkan dalam tindakan keras itu. - AP

Lihat juga artikel ini...
Presiden PAS Wajar Jadi PM M'sia.


Pihak kami sanggup pergi ke Sabah &Sarawak memberi maklumat lengkap mengenainya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails