YANGON – Sekurang-kurangnya 59 pemberontak dan 12 anggota pasukan keselamatan terbunuh di negeri Rakhine semalam apabila pemberontak Rohingya menyerang 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera, kata tentera Myanmar.
Pertempuran itu yang masih berterusan di beberapa kawasan, membayangkan bahawa konflik di Rakhine semakin meruncing.
Serangan serupa pada Oktober lalu mendorong operasi pembersihan oleh tentera yang didakwa dicemari kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia.
Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA), kumpulan pemberontak yang sebelum ini dikenali sebagai Harakah Al-Yaqin mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan awal pagi itu. ARSA memberi amaran bahawa lebih banyak serangan akan berlaku.
Pihak berkuasa berkata, seorang askar, seorang anggota imigresen, 10 anggota polis dan 59 pemberontak ARSA maut dalam serangan itu.
Namun, dua sumber tentera yang dihubungi agensi berita Reuters memberitahu bahawa angka kematian sebenar adalah lebih besar.
“Pemberontak Rohingya menyerang pos polis di rantau Maungdaw, Rakhine dengan meletupkan bom buatan sendiri dan melakukan serangan terancang ke atas beberapa pos polis pada pukul 1 pagi (waktu tempatan),” kata pasukan pemberita kerajaan dalam satu kenyataan.
Etnik Rohingya tidak mendapat kerakyatan di Myanmar. Mereka dituduh sebagai pendatang tapa izin dari Bangladesh walaupun telah menetap di Rakhine sejak beberapa abad lalu. – Reuters
No comments:
Post a Comment