Monday, August 21, 2017

Syuhadak Riau, Hunus Badik Sambil Pegang Kitab..


Monumen Raja Haji Fisabilillah di Tanjung Pinang

CATATAN PERJALANAN IBNU HASYIM
DEMIKIAN kisahku di Batam. Tetapi yang satu ini tidak boleh kita lupakankan, apa lagi hari ini 17 Ogos adalah hari ulang tahun kemerdekaan Indonesia, dari penjajah Belanda. Hari bebaskan diri dari cara hidup penjajah yang mencengkam ganas di negara-negara Asia ini.

Sila lihat sebelum ini..
Untuk kembali kepada cara hidup Islam di Batam ini, kita tidak boleh lupa kepada perjuangan Raja Haji Fisabilillah ibni Daeng Celak (172718 Jun 1784). Atau beliau yang lebih dikenali sebagai Raja Haji adalah seorang pahlawan Bugis dan Yang Dipertuan Muda Kesultanan Johor-Riau-Lingga (1777 - 1784). Raja Haji terkenal dalam melawan pemerintahan Belanda apabila Belanda berusaha untuk menawan Riau, sehingga beroleh syahid.

Disebutkan saat-saat terakhir hidup pahlawan agung ini dalam 'Tuhfat al Nafis' seperti berikut;

"Maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun bangkit menghunuskan badiknya sebelah tangan memegang kitab 'Dala'il al Khayrat'. Maka dipeluk oleh beberapa orang maka di dalam tengah tengah hal yang demikian itu maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun kenalah peluru baris senapang. Maka baginda pun rebahlah lalu mangkat syahidlah ia qalu inalillahi waina ilaihi rajiun..."
Imej yang berkaitan


Mari kita teliti kehidupan beliau..

Raja Haji dilahirkan di Ulusungai, Riau, meninggal dunia di Teluk Ketapang, Melaka pada 18 Jun 1784M dan dimakamkan di Pulau Penyengat Indera Sakti, Kepulauan RiauIndonesia. Raja Haji merupakan adik Raja Lumu yang menjadi Sultan Selangor. Manakala cucu beliau juga terkenal dengan nama Raja Ali Haji.

Rujukan semua ini boleh dilihat, antaranya: Raja Ali Haji dikaji oleh Virginia Matheson Hooker, Tuhfat Al Nafis,Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998, Raja Ali Haji ibn Ahmad (translation by Virginia Matheson and Barbara Watson Andaya), The Precious Gift (Tuhfat al Nafis), Oxford University Press Kuala Lumpur, 1982. Dan Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society (JSBRAS) No.22 December 1890 m.s 178 - 224

Syuhadak Ulung Se Nusantara.

Foto The Patriots.Hasil carian imej untuk ‪perahu bugis‬‏Hasil carian imej untuk ‪perahu bugis‬‏

Kedatangan 5 orang putera Bugis bersaudara yang terkenal dari Sulawesi dan peranan mereka dalam menghangatkan iklim politik kerajaan-kerajaan Melayu di sekitar Semenanjung Tanah Melayu,Sumatera dan Kalimantan sekitar kurun ke 18M dahulu sememangnya adalah satu babak dalam sejarah tamadun Melayu yang sangat masyhur dan tidak mungkin boleh dilupakan begitu sahaja.

Perkahwinan opu-opu Bugis 5 bersaudara tersebut dengan puteri-puteri tempatan telah melahirkan zuriat yang ramai di mana zuriat-zuriat dari benih campuran Melayu dan Bugis inilah yang kemudiannya menyambung semula legasi kekuasaan politik 5 opu-opu Bugis bersaudara tersebut di Alam Melayu, termasuk di Semenanjung Tanah Melayu dalam Kesultanan Johor. Jawatan tertinggi Yang Dipertuan Muda pun dimiliki mereka. 

Sehingga ianya dikatakan menjadi jawatan eksklusif untuk keturunan mereka sahaja di dalam politik kerajaan Johor ketika itu, sebagai membalas jasa putera-putera Bugis tersebut. Jasa yang dahulunya pernah menolong Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1722 - 1760) mendapatkan takhta Johor daripada Raja Kechil dari Siak. Salah seorang Yang Dipertuan Muda Johor-Riau berketurunan Bugis yang cukup terkenal dalam sejarah, tak lain tak bukan ialah Raja Haji bin Opu Daeng Chelak (Yang Dipertuan Muda Johor-Riau IV). 

Nama beliau sebaris dengan beberapa orang tokoh syuhada Alam Melayu terkenal yang lain seperti Tunku Muhammad Saad, Syeikh Abdussamad al Falembani, Tok Janggut dan Ibrahim Libya di Kedah (1985). Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam koleksi penulisan beliau mengenai ulama-ulama Nusantara, menobatkan Raja Haji bin Opu Daeng Chelak sebagai "pahlawan dunia Melayu terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Laksamana Hang Tuah."

Hingga Ke Ayah Beliau.

Ayahnya Opu Daeng Chelak bin Opu Daeng Rilaga. Opu Daeng Chelak (turut dikenali dengan nama Opu Daeng Pali) ialah anak ke 4 daripada 5 Opu Bugis bersaudara tersebut. Selepas abangnya iatu Opu Daeng Marewah (Kelana Jaya Putera) mangkat pada 7 Ogos 1722, beliau terus dilantik menggantikan abangnya sebagai Yang Dipertuan Muda Johor-Riau yang ke 2.

Beliau terlibat mengetuai tentera Johor-Riau dalam Perang Pinang Sekayuk pada tahun 1728M dalam membantu adik beradiknya, Opu Daeng Menambun (pemerintah kerajaan Mempawah) dan Opu Daeng Kemasi (penguasa jajahan takluk kerajaan Sambas) menentang tentera Pangeran Dipati di Kalimantan ketika itu. Beliau juga terlibat dalam mempertahankan ibu negeri Johor di Kepulauan Riau daripada serangan tentera Siak serta dalam perang saudara di negeri Perak yang berlaku sekitar tahun 1740 hingga 1745M.

Opu Daeng Chelak akhirnya mangkat pada 19 Mei 1745M (17 Rabiulakhir 1158 Hijri). Beliau mangkat meninggalkan 2 orang anak perempuan gahara dengan isterinya yang bernama Tengku Mandak iatu Tengku Putih dan Tengku Hitam. Beliau juga meninggalkan 2 orang anak lelaki yang bernama Raja Lumu dan Raja Haji,di mana kedua-dua anak lelaki ini serta keturunan dan anak cucu mereka bakal mewarisi dan menyambung legasi politik yang ditinggalkan oleh bapa mereka di bumi Melayu ini.

Raja Haji sebagai anak lelaki kepada Opu Daeng Chelak masih terlalu muda untuk menggantikan almarhum ayahnya sebagai Yang Dipertuan Muda ketika itu maka Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah melantik sepupu Raja Haji sendiri yang lebih tua iatu Opu Daeng Kemboja bin Opu Daeng Parani sebagai Yang Dipertuan Muda Johor-Riau yang ke 3. Opu Daeng Kemboja pula kemudiannya melantik Raja Haji sebagai timbalan dan wakil kepada Yang Dipertuan Muda atau ketika itu digelar sebagai "Engku Kelana".

Jadi Alat Penjajah.. Siapa?

Pada masa Raja Haji menjawat jawatan 'Engku Kelana' awalnya, beliau dikatakan berkonflik dengan sultan Terengganu. Sultan Terengganu adalah sepupu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sendiri iatu Sultan Mansur Riayat Shah I (1733 - 1794 M) atau digelar sebagai Tun Dalam di Riau ketika itu. Raja Terengganu yang berjiwa muda tersebut tidak senang dengan penguasaan orang Bugis yang dilihat terlalu besar dalam politik kerajaan Johor ketika itu. 

Baginda dikatakan telah mendalangi beberapa kes kekacauan di Riau dan menimbulkan api permusuhan dan perpecahan antara orang Melayu tempatan dengan orang Bugis. Opu Daeng Kemboja bimbang perpecahan tersebut mungkin boleh melanggar sumpah setia yang pernah dibuat di antara Melayu dan Bugis dahulu. Maka Raja Haji ditugaskan oleh Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Kemboja untuk menjaga dan memantau keadaan di dalam negeri Riau, sementara beliau ingin berlayar ke Linggi (kini terletak di Negeri Sembilan).

Apabila Tun Dalam berpakat dengan sebuah kapal Belanda untuk membawa keluar Raja Haji dari Riau, Raja Haji sangat marah! Apa lagi bila sultan Terengganu mengumpulkan tenteranya bergabung dengan tentera Tun Dalam. Mujur tindakan kedua-dua pihak ini berjaya dihentikan oleh baginda Sultan Sulaiman dan puteranya, Raja di Baruh Tengku Abdul Jalil. 

Namun Tun Dalam masih tidak berpuas hati lalu cuba meminta bantuan Belanda di Melaka untuk menangkap Raja Haji serta menyerang Opu Daeng Kemboja di Linggi. Raja Haji yang ketika itu sedang berada di Tanjung Keling sempat diselamatkan oleh abangnya, Raja Lumu yang berkayuh perahu dari Selangor selepas diarahkan oleh Opu Daeng Kemboja yang mengetahui rancangan Tun Dalam itu. 

Tidak lama kemudian iatu pada tarikh 23 Julai 1756M, 20 buah kapal perang Belanda dari Melaka (ada sumber mengatakan sebanyak tujuh buah kapal Belanda) datang menyerang Linggi. Opu Daeng Kemboja kalah teruk dan terpaksa berundur ke Rembau manakala Raja Haji pula cedera di lutut terkena sangkar senapang dalam satu pertempuran dengan tentera Belanda sehingga tidak mampu berdiri dan akhirnya diusung keluar dari medan perang. 

Dari Rembau, Opu Daeng Kemboja dan tentera Bugisnya mengumpul kekuatan dan mendapat bantuan daripada Selangor serta Batu Bahara (terletak di Sumatera Timur) lalu melancarkan serangan balas ke atas Melaka melalui pedalaman bermula pada tarikh 2 November 1756M. Kubu-kubu dibina di Kelebang manakala serangan bertali arus dikatakan dibuat oleh tentera Opu Daeng Kemboja ke atas Tengkera, Peringgit, Bukit Cina (Bukit Gedung) hingga Semabuk. 

Sebelum Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Kemboja memulakan serangan ke 2 ke atas Peringgit, Belanda meminta perdamaian maka serangan pun dihentikan menjelang tahun 1758. Opu Daeng Kemboja kemudiannya menetap di Pedas dan di sana, beliau mengahwinkan Raja Haji dengan anak perempuannya yang bernama Raja Perak. Dari perkahwinan antara Raja Haji dengan Raja Perak binti Opu Daeng Kemboja ini melahirkan seorang puteri gahara bernama Raja Hamidah atau lebih dikenali dengan nama Engku Puteri Raja Hamidah dalam sejarah. 

Raja Haji selepas itu berlayar ke Asahan dan membeli sebuah kapal selub di sana. Kapal itu ditutuhkan lalu ditukarkan menjadi sebuah penjajab perang yang cantik diukir yang beliau namakan sebagai "Bulang Linggi". Ketika Raja Haji berlayar ke Riau dengan kapal Bulang Linggi itu, Tun Dalam (Sultan Mansur Riayat Shah I) serta para pengikut baginda sudah lama berlayar keluar dari Riau. 

Mereka kembali semula ke negeri Terengganu, setelah empat 14 tahun raja Terengganu tersebut bersemayam di Riau dari tahun 1745 hingga tahun 1759. Setelah tiba di Riau, Raja Haji bersama sama dengan Raja Lumu dan Raja di Baruh Tengku Abdul Jalil dititahkan oleh baginda Sultan Sulaiman supaya pergi menjemput Opu Daeng Kemboja supaya balik semula ke Riau.

Perjuangan Islam, Bukan Hanya Kedaerahan.

Menariknya, perjuangan Raja Haji bukan sekadar terbatas di sekitar wilayah Empayar Johor-Riau sahaja,malah meliputi banyak tempat dan kerajaan di serata alam Melayu ketika itu, seperti di utara Semenanjung, Sumatera dan Kalimantan. Pernah terlibat dalam percubaan mempertahankan Linggi dari serangan tentera Belanda pada tahun 1756M. Juga terlibat dalam serangan ke atas Kesultanan Kedah di utara semenanjung sekitar tahun 1770. sehinggakan Sultan Muhammad Jiwa II sendiri dikatakan terpaksa meninggalkan Alor Setar dan berundur ke Kota Kayang (Perlis kini). 

Pernah ke Sumatera di mana beliau dikahwinkan dengan seorang puteri sultan Jambi yang bernama Ratu Mas Deva serta dikurniakan gelaran "Pangeran Suta Wijaya" oleh kesultanan Jambi ketika itu. Kemudiannya terlibat dalam perang di bumi Kalimantan dengan membantu Pangeran Syarif Abdul Rahman al-Qadrie menentang kerajaan Sanggau bermula dari tarikh 24 Februari 1778 (26 Muharram 1192 H), sehinggalah Sanggau tewas pada tarikh 11 Mac 1778 (11 Safar 1192 H). 

Raja Haji selepas perang tersebut menabalkan Pangeran Syarif Abdul Rahman al Qadrie sebagai pemerintah pertama Kesultanan Pontianak pada tarikh 1 September 1778 (8 Syaaban 1192 H). Raja Haji bertindak menolong Syarif Abdul Rahman atas sebab hubungan kekeluargaan di mana Syarif Abdul Rahman berkahwin dengan Utin Candera Midi binti Opu Daeng Menambun, sepupu kepada Raja Haji sendiri.

Menjadi Yang Dipertuan Muda. Makmur Tetapi..

Raja Haji dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Empayar Johor-Riau yang ke 4 selepas Opu Daeng Kemboja mangkat sekitar tahun 1777 ketika berusia sekitar 80 tahun. Dan kemudiannya masyhur digelar sebagai Marhum Janggut selepas ketiadaannya. Pada tahun-tahun awal pemerintahan Raja Haji sebagai Yang Dipertuan Muda, pelabuhan Riau semakin makmur dikunjungi pedagang dari China, Siam, Timur Tengah dan tempat lain di serata Kepulauan Melayu terutamanya dari pulau Jawa.

Pada masa itu, telah berkuasa 2 orang putera Opu Daeng Chelak di dua negeri Melayu yang berbeza iatu Raja Haji menjadi Yang Dipertuan Muda Empayar Johor-Riau manakala Raja Lumu pula mengasaskan kesultanan Selangor dan menjadi Sultan Selangor pertama dengan memakai gelaran Sultan Salihuddin Shah (1742–1778 M).

Namun keadaan aman ini tidak lama apabila pada tahun 1782, Raja Haji dan tentera Riau berperang dengan penjajah Belanda di Melaka. Dikatakan perang tercetus apabila Belanda menyerang dan merampas kapal Betsy milik pedagang Inggeris yang membawa hasil muatan candu di perairan Riau berdekatan dengan Pulau Bayan.

Sebelum ini, Raja Haji dikatakan telah membuat perjanjian dengan Belanda di mana Riau tidak akan memberi kebenaran kepada kapal Inggeris untuk berlabuh di Riau.. dan mana-mana kapal milik musuh Belanda yang dirampas maka sebahagian dari hasil rampasan itu turut diberi kepada Raja Haji sendiri. Belanda ketika itu sedang bermusuh dengan Great Britain.

Tetapi perampasan Kapal Betsy oleh tentera Belanda di perairan Riau tersebut tidak diberi kepada Raja Haji menjadikan kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat. Akhirnya gabenor Belanda di Melaka ketika itu iatu Pieter Gerardus de Bruijn (1775 - 1788) memutuskan untuk menyerang Riau dan menghalang kapal-kapal dagang dari masuk ke pelabuhannya.

Pada tahun 1783, maka berlakulah perang di antara tentera Riau yang berkubu di Tanjung Pinang, Teluk Keriting dan Pulau Penyengat menentang tentera Belanda yang datang dari Melaka menyerang Riau itu. Dalam perang tersebut Raja Haji sendiri berkayuh perahu menyerang kapal ghurab Snelheld milik Belanda pada 23 Jun 1783. Perang berlangsung sehingga akhir bulan Januari 1874 apabila gabenor de Bruijn sendiri memanggil pulang armadanya di Riau balik semula ke Melaka.

Hal ini menyebabkan anak saudara beliu Sultan Ibrahim Shah (1778–1826 M), sultan Selangor ke 2, menyerang Belanda di Melaka melalui jalan darat. Tentera Selangor mendapat bantuan daripada penduduk Rembau dan Pedas dan kemudiannya pada 14 Januari 1784, mereka bergerak membuat kubu di Batang Tiga (kini terletak dalam negeri Melaka, berdekatan dengan Tanjung Keling dan Klebang Besar). 

Raja Haji mengetuai tenteranya sendiri ke Melaka lalu membina kubu di Teluk Ketapang (kini dikenali sebagai Telok Mas di Melaka) pada 13 Februari 1784. Maka berlakulah pertempuran sengit di antara tentera Melayu-Bugis dan Belanda di bumi Melaka. Raja Haji dan pasukannya berjaya menawan banyak tempat di sekeliling kota Melaka menjadikan kedudukan Belanda terkepung di kota Melaka ibarat telur di hujung tanduk. 

Gabenor Pieter Gerardus de Bruijn cuba meminta bantuan daripada kerajaan-kerajaan Melayu lain seperti Kedah, Perak, Terengganu dan Siak namun gagal.

Al-hamdulillah, Beliau Menemui Syahid.

"Maka di dalam hal itu tiada juga mensia-siakan wiridnya dan tiadalah ia berhenti membaca selawat Dala'il al Khayrat dan tiadalah lepas daripada tangannya di dalam hal itu. Maka pada malam Jumaat tiada juga ia berhenti maulud al Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wassalam sebagaimana kedudukan orang yang tiada di dalam kesusahan demikian adanya."

Pada satu malam nan hening pada pertengahan tahun 1784 di Teluk Ketapang berhampiran Melaka, Raja Haji di kubu tentera milik beliau sedang khusyuk sekali membaca selawat-selawat dan doa-doa khas dari dalam kitab Dala'il al Khayrat, yang merupakan sebuah kitab memuatkan himpunan selawat dan doa khas dan dikarang oleh seorang ulama' Sufi dari Maghribi iatu Imam Muhammad Sulaiman al-Jazuli (meninggal dunia pada tahun 1465). 

Ditakdirkan Allah pada masa itu juga, satu pasukan tentera Belanda menyusup masuk dan menyerang kubu beliau di Teluk Ketapang. Tentera Belanda pada masa itu menjadi lebih bersemangat untuk memperhebatkan serangan selepas tibanya pasukan bantuan daripada Gabenor Jeneral Belanda di Betawi iatu 6 buah kapal besar yang diketuai oleh Jacob Pieter van Braam pada akhir bulan Mei. 

Jacob Pieter van Braam kemudiannya mengarahkan pasukan tentera dan armada kapal Belanda yang baru sampai dari Betawi itu untuk menyerang dan membedil kubu Raja Haji di Teluk Ketapang pada awal bulan Jun pada tahun yang sama.

Menurut Tuhfat al Nafis, ketika tentera Belanda telah memulakan serangan serta mengepung kubu milik Raja Haji di situ, tentera Bugis mempamerkan semangat keberanian dan kesungguhan mereka melawan dan mempertahankan kubu tersebut walaupun ramai di kalangan mereka akhirnya gugur. 

Arung Lenga yang merupakan salah seorang menantu Raja Haji pergi menyerang tentera Belanda tersebut dengan menunggang kuda namun akhirnya turut terbunuh diikuti oleh beberapa panglima Bugis yang lain seperti Daeng Saliking dan Haji Ahmad.

Kejadian berdarah yang berlaku pada tanggal 18 Jun 1784M ini berakhir apabila dalam suasana kelam kabut itu, dada Raja Haji terkena tembakan peluru senapang laras Belanda lalu rebah dan gugur syahid di situ juga.

Diceritakan saat-saat terakhir hidup pahlawan agung ini dalam Tuhfat al Nafis seperti berikut;

"Maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun bangkit menghunuskan badiknya sebelah tangan memegang kitab Dala'il al Khayrat. Maka dipeluk oleh beberapa orang maka di dalam tengah tengah hal yang demikian itu maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun kenalah peluru baris senapang. Maka baginda pun rebahlah lalu mangkat syahidlah ia qalu inalillahi waina ilaihi rajiun..."

Beliau kemudiannya masyhur dengan gelaran "Marhum Mangkat di Teluk Ketapang" oleh generasi selepasnya.

Pada esok harinya, berita terbunuhnya Raja Haji disambut dengan gembira oleh gabenor Belanda di Melaka,Pieter Gerardus de Bruijn yang mengarahkan orangnya pergi ke Teluk Ketapang mengucapkan tahniah kepada Pieter Jacob van Braam. Sebanyak 21 das tembakan selepas matahari terbit dilepaskan sekeliling kota Melaka bagi meraikan kemenangan mereka itu. Belanda, kemudiannya menyerang Selangor untuk membalas dendam atas tindakan Sultan Ibrahim yang menyerang Melaka sebelum itu. 

Jenazah Raja Haji dikatakan dibawa ke Melaka dan diuruskan oleh orang-orang Melayu di Melaka yang turut bersedih dengan pemergian pahlawan Melayu-Bugis berjiwa besar itu. Lalu dikebumikan di kaki bukit St.Paul di Melaka. Jenazah almarhum Raja Haji tidak lama dikebumikan di Melaka sebelum akhirnya jenazah tersebut dituntut oleh waris-waris almarhum untuk dibawa pulang ke Riau. 

Lalu akhirnya dimakamkan dengan penuh adat istiadat di Pulau Penyengat Indera Sakti di Riau sehingga kini.

Hasil carian imej untuk ‪makam raja haji‬‏


Hasil carian imej untuk ‪makam raja haji‬‏

Hasil carian imej untuk ‪makam raja haji‬‏
Makam Raja Haji.. Jenazah almarhum Raja Haji tidak lama dikebumikan di Melaka sebelum akhirnya jenazah tersebut dituntut oleh waris-waris almarhum untuk dibawa pulang ke Riau lalu dimakamkan dengan penuh adat istiadat di Pulau Penyengat Indera Sakti di Riau sehingga kini.

keindahan pulau natuna, keindahan alam pulau natuna
Si cantik jadi rebutan. Pulau Natuna berbatasan langsung dengan Laut Cina Selatan. Natuna yang jadi rebutan termasuk ke dalam wilayah Provinsi Kepulauan Riau Ikuti catatan Perjalanan Ibnu Hasyim.

Makam beliau di sana kekal dikunjungi dan diziarahi oleh orang ramai samada dari Riau sendiri atau dari segenap pelusuk alam Melayu termasuklah juga dari Malaysia. 

Jasa beliau sebagai seorang negarawan agung yang membangunkan Riau menjadi pusat perdagangan terkenal, pahlawan gagah berani yang menjelajah hampir seluruh Alam Melayu dan menentang Belanda tidak akan dilupai dengan sebegitu mudah. 

Beliau dinobatkan sebagai salah seorang daripada Pahlawan Nasional Indonesia oleh kerajaan Republik Indonesia berkuatkuasa pada tarikh 11 Ogos 1997. Nama beliau turut diabadikan menjadi nama lapangan terbang utama di Tanjung Pinang Pulau Riau, dengan nama Bandar Udara Internasional Raja Haji Fisabilillah. 

Malah di Malaysia juga, sebuah masjid utama di bandar Cyberjaya yang bercirikan seni bina moden futuristik dinamakan sebagai Masjid Raja Haji Fisabilillah. Masjid tersebut menjadi mercu tanda utama dan daya penarik pengunjung ke Cyberjaya sejak tahun 2015 lagi, selain menjadi pusat perkembangan syiar Islam di bandar moden tersebut.

Al Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh almarhum Raja Haji Fisabilillah dan menempatkan beliau ke dalam golongan syuhada yang berbakti di jalanNya. Amin.

Yang penting, perjuangannya berasaskan jihad fi sabilillah! Itulah yang digeruni oleh musuh-musuh Allah!


Insya Allah, bersambung..

Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com 
Batu Haji, Batam.
17 Ogos 2017

Lihat sebelum ini..

No comments:

Post a Comment