Sunday, September 17, 2017

Bangladesh Rayu Bantuan Dunia


DHAKA –  Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berlepas ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York semalam untuk merayu bantuan dunia bagi menangani krisis Rohingya.
Perkembangan itu berlaku ketika keadaan kira-kira 400,000 pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh menjadi semakin buruk.
“Sheikh Hasina akan membangkitkan isu Rohingya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung PBB. Beliau mahu keganasan di negeri Rakhine ditamatkan segera dan akan meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menghantar misi mencari fakta ke Rakhine.
“Beliau juga akan menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB memberi tekanan terhadap Myanmar supaya menerima kembali semua pelarian Rohingya,” kata jurucakap Perdana Menteri itu, Nazrul Islam.
Terdahulu, Menteri Luar Bangladesh, A.H. Mahmood Ali memberitahu wartawan bahawa negaranya berdepan krisis di luar jangkaan berikutan kebanjiran begitu ramai pelarian Rohingya sejak tiga minggu lalu.
“Kami juga akan meneruskan tekanan antarabangsa ke atas kerajaan Myanmar supaya segera menamatkan tindakan penghapusan etnik terhadap penduduk Rohingya,” katanya.
Dalam pada itu, keadaan di kem-kem pelarian di bandar Cox’s Bazaar dekat sempadan Bangladesh menjadi bertambah buruk dari hari ke hari.
Ramai pelarian Rohingya yang baru tiba terpaksa berteduh di tepi jalan-jalan berlumpur akibat hujan monsun kerana keadaan kem yang penuh sesak.
Banyak keluarga tidak mempunyai tempat berlindung dengan pelarian Rohingya juga bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan bekalan makanan dan air minuman.
“Penyakit taun turut dikesan. Saya diberitahu bahawa seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat taun.
“Pihak berkuasa perlu bertindak segera sebelum ia merebak menjadi wabak,” kata seorang aktivis tempatan di Cox’s Bazar, Nur Khan Liton.
Sementara itu, kerajaan Bangladesh telah mengarahkan tentera untuk menghantar dan mengagihkan bantuan asing ke Cox’s Bazar.
Dhaka juga akan membina 14,000 tempat perlindungan baharu dengan setiap khemah dapat menempatkan enam keluarga Rohingya. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails