Monday, September 11, 2017

Operasi Besaran 24 Ulama Arab Saudi Ditangkap Kerana..


Dari kiri, Abdulaziz, Salman al-Odah dan Awad al-Qarni.



Ditangkap kerana sokong usaha penyelesaian Arab Saudi-Qatar.
RIYADH, 20 Zulhijjah 1438H, Isnin – Sekurang-kurangnya 24 individu, termasuk putera diraja Arab Saudi dan ulama terkenal ditangkap dalam operasi besar-besaran dalam tempoh seminggu lalu.
Putera Abdulaziz bin Fahd al Saud; ulama terkenal Arab Saudi, Salman al-Odah; dan Awad al-Qarni, ditangkap sejak 24 jam lalu, lapor pelbagai umber termasuk Tweeter oleh wartawan dan pertubuhan hak asasi manusia.
Putera Abdul Aziz adalah anak bekas Raja Arab Saudi, Raja Fahd
Keseluruhannya, kira-kira 20 individu ditangkap dalam tempoh itu, kata sumber.
Salman yang juga ahli Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dikatakan ditangkap kerana mengeluarkan twit menyokong usaha penyelesaian diplomatik antara Arab Saudi dan Qatar, kata pertubuhan hak asasi Arab Saudi (AIQST)
Beliau ditangkap di rumahnya, malam semalam, oleh tiga anggota pasukan keselamatan berikutan twit yang mendoakan Arab Saudi dan Qatar menyelesaikan pertikaian demi negara masing-masing.
Twit itu dihantar bagi merujuk kepada perbualan telefon antara Putera Mahkota Arab Saudi dan Emir Qatar, yang akhirnya menyebabkan Arab Saudi menangguhkan semua perbincangan.
“Semoga Allah membuka hati mereka untuk mengatasi masalah ini demi kebaikan rakyat mereka,” kata Sheikh Salman dalam twitnya.
Sama seperti Salman, Awad juga menyatakan sokongannya kepada penyelesaian diplomatik antara Arab Saudi dan Qatar.
Kedua-dua ulama itu tidak menyatakan sokongan kepada langkah Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik serta mengenakan sekatan terhadap Qatar.
Sementara itu, laporan menyebut bahawa Putera Abdulaziz ditangkap berikutan beberapa siri kenyataan di dalam Tweeter yang mengecam hubungan rapat Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau juga adalah penyokong kuat Putera Mohammed bin Nayef yang menjadi Putera Mahkota, sebelum digantikan oleh Mohammed bin Salman.
Pada 20 Jun, Mohammed bin Nayef, diperintahkan turun takhta Putera Mahkota oleh Raja Salman.
Raja Salman kemudian melantik anaknya, Mohammed bin Salman, 32 tahun, menduduki takhta Putera Mahkota dan dilihat sebagai jalan mudah bagi menjadi Raja Arab Saudi. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails