ISU Rohingya ini sebenarnya rumit. Sangat rumit. Tapi ramai yang main bedal saja mengulas isu ini tanpa membuat penyelidikan secara menyeluruh.
Ilmu yang sedikit membawa kepada fitnah. Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq yang patut menyatukan kita menjadi hari berbalah dan menyebar dusta.
Apa benda. Ada tulisan tular yang kata Rohingya ini tidak ‘deserve’ bantuan kita kerana mereka berperangai buruk.
“Kalau etnik lain boleh hidup aman damai di Myanmar kenapa Rohingya tak boleh? Mesti perangai Rohingya sendiri yang suka duduk dalam kepompong sendiri menolak asimilasi kan? Cuba tengok perangai mereka dekat Selayang!”
Benda ini bukan boleh pakai logik sahaja bang.
Rohingya dibenci pun bukan kerana faktor agama atau Islamofobia semata-mata. Bukan hitam vs putih. Bahaya jika isu ini dibahaskan melalui kerangka konflik agama.
Isu Rohingya adalah contoh klasik kegagalan ethno-nasionalisme yang membawa kepada kegagalan ‘nation-building’. Rohingya merupakan kumpulan yang dikambinghitamkan dalam masalah ini dan mereka menghadapi penghapusan etnik atau ‘genocide’.
Rohingya bukanlah pendatang Bangladesh yang sombong seperti yang didakwa. Keadaan Rohingya dan Bangladesh ada persamaan dengan Alam Melayu juga.
Pada asalnya negeri Rakhine (atau Arakan, tempat duduk orang Rohingya) dan Bengal (Bangladesh hari ini) dekat dari segi geografi dan politik, maka berlaku interaksi budaya. Selepas tahun 1785, Arakan ditawan oleh Burma (Myanmar) dan kekal berada di bawah Burma selepas Burma merdeka daripada Britain pada tahun 1948, maka muslim Arakan dipisahkan daripada muslim Bengal.
Muslim Arakan atau Rohingya ini pada asalnya boleh hidup dengan etnik Rakhine yang menganut Buddhisme. Namun dasar British yang membawa masuk buruh Bengali menyebabkan Rakhine rasa terancam. Malah semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945), Rakhine menyokong Jepun dan Rohingya setia dengan British. Maka berlakulah permusuhan dan episod bunuh-membunuh seperti 14 hari pemerintahan Bintang Tiga di Tanah Melayu.
Rohingya pernah menuntut kemerdekaan agar disatukan dengan Bangladesh. Mereka berjuang secara bersenjata di bawah nama Mujahideen (1947-1961), Rohingya Liberation Party (1972-1974), Rohingya Patriotic Front (1974-1982), Rohingya Solidarity Organization (1982-1998), Arakan Rohingya Islamic Front (1986-1998) dan Arakan Rohingya National Organization (1998 sehingga kini).
Dan bukan Rohingya saja yang tak mahu berasimilasi, berpuluh-puluh etnik yang lain seperti Karen, Mon, Shan, Kachin dan Wa telah mengangkat senjata menentang dasar asimilasi “Burmanization” yang bermula sejak 1960-an selepas kudeta tahun 1962. Nama saja Burmanization tapi pemerintah tentera berat sebelah kepada budaya etnik Bamar dan agama Buddhisme.
Untuk mengambil hati Rakhine (salah satu daripada 4 etnik penganut Buddhisme bersama-sama orang Bamar, Shan dan Mon), Jeneral Ne Win memberi taraf autonomi kepada Rakhine dan tidak mengiktiraf Rohingya sebagai penduduk Rakhine. Malah, sejak tahun 1982 Rohingya dilucut kewarganegaraan di bawah Undang-Undang Kewarganegaraan. Rohingya menjadi ‘stateless people’.
Pendemokrasian Myanmar sejak tahun 2011 tidak mengubah nasib Rohingya. Parti yang anti-Rohingya, Rakhine Nationalities Development Party (RNDP) memenangi majoriti kerusi di Rakhine. Presiden Thein Sein tiada pilihan selain mengambil hati RNDP dengan membuat cadangan agar orang Rohingya ditempatkan semula, satu cadangan yang ditolak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) kerana menzalimi hak orang Rohingya sebagai penduduk asal.
Thein Sein disokong oleh gerakan sami pelampau seperti Ashin Wirathu, pemimpin Gerakan 969 yang menyebarkan sentimen Islamofobia. Gerakan 969 inilah tukang penyebaran propaganda bahawa orang Rohingya adalah pendatang Bangladesh dan menghasut orang Rakhine membunuh orang Rohingya.
Sejak itu pembantaian ke atas Rohingya berlaku pada Jun 2012, Mac 2013 dan Oktober 2016 sehingga kini. Semakin ramai yang meninggalkan Rakhine dan semakin banyak tragedi kemanusiaan yang dilaporkan. Kebanyakan mereka sama ada mati lemas di tengah laut, atau dirogol dan dibunuh oleh pedagang manusia di Chittagong Hill Tracts di sempadan Rakhine-Bangladesh.
Apa yang berlaku ke atas orang Rohingya menepati ciri-ciri ‘genocide’ yang sistematik:
Ia bermula dengan ‘classification’ (identiti Rohingya diasingkan daripada rakyat Myanmar), kemudian ‘dehumanization’ (969 panggil Rohingya sebagai anjing), ‘organization’ dan ‘polarization’ (orang Rakhine dihasut dan diberi senjata), ‘extermination’ (bantai) dan ‘denial’ (penafian berlakunya pembantaian).
Apa yang berlaku ke atas Rohingya sama seperti apa yang berlaku ke atas kaum muslim Bosniak di Bosnia (1995), kaum Darfur di Sudan (2003-kini), Tutsi di Rwanda (1994), Yahudi dan Gypsy di Jerman (1942-1945) dan Armenia di Turki (1915-1917).
Situasi ini berbeza dengan Selatan Thailand atau Selatan Filipina di mana genocide tidak berlaku. Keadaan Rohingya berada di tahap kritikal, di ambang pembinasaan (annihilation).
Bermula tahun 2016 Rohingya menubuhkan tentera mereka sendiri, Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) untuk melindungi mereka. Maka bertambah kukuh lah dakyah 969 bahawa muslim Rohingya ini golongan teroris. Lagi senang tentera Myanmar dan militia Rakhine menjalankan kerja mereka. Pada 25 Ogos 2017 baru-baru ini, ARSA diisytiharkan sebagai kumpulan teroris oleh kerajaan Myanmar dan itu menjadi antara punca kemarahan orang Rohingya baru-baru ini.
Siapa kata Rohingya tak berusaha untuk mengubah nasib sendiri? Tapi mereka ni tak lawan mati, lawan pun mati. Nasib orang Rohingya baru betul-betul tersepit.
Fakta-fakta ini boleh diperolehi daripada dokumen-dokumen UN, UNHCR, Amnesty International, Human Rights Watch dan banyak lagi. Jenayah terhadap Rohingya dibentangkan dalam sesi demi sesi di UN.
Tan Sri Razali Ismail, wakil Malaysia di UN adalah antara sosok yang aktif dalam aktiviti ARNO yang berpangkalan di London. Jadi, apa yang cuba dinafikan tentang genocide ke atas Rohingya di Myanmar? Ada ke patut mangsa genocide dipersalahkan?
Kenapa dunia tidak mahu bersuara membela Rohingya?
Kerana Myanmar ini negara yang sensitif. Kedudukannya strategik dari segi geo-politik. Myanmar pro-China, jadi kuasa-kuasa Barat (US, EU) dan India cuba kurangkan kritikan terhadap Myanmar agar ia berpaling tadah daripada China. Tapi kalau semua kuasa-kuasa besar termasuk China, hatta ASEAN kutuk Myanmar sekali pun, Myanmar boleh saja tutup pintu dan amalkan dasar isolasi. Masalah tetap tidak selesai malah lagi mudah mereka nak bantai Rohingya sampai habis.
Keadaan ini berbeza dengan krisis di Bosnia atau Sudan di mana kerajaan mereka lebih ‘vulnerable’ dengan kecaman kuasa-kuasa besar.
Nak harapkan Bangladesh yang ‘serumpun’ dengan Rohingya? Bangladesh antara negara termiskin di dunia. Kecil dari segi ekonomi dan ketenteraan. Tak mampu nak melindungi Rohingya secara infiniti.
Dan kita pun tak mampu untuk membantu pelarian Rohingya buat selama-lamanya. Mereka yang menyuarakan keresahan tentang kehadiran Rohingya pun tidak salah sepenuhnya. Tak salah juga kalau nak mendahulukan kepentingan negara lebih daripada kemanusiaan. Tak salah.
Pada asalnya tak timbul isu pun. Orang Rohingya tak minta bantuan tambahan. Orang Rohingya tak minta nak jadi warganegara Malaysia. Orang Rohingya cuma membantah kekejaman ke atas mereka di hadapan Kedutaan Myanmar. Keadaan hilang kawal sedikit, tapi tak seteruk perhimpunan yang dibuat oleh rakyat tempatan.
Ia menjadi isu apabila ada orang cuba menghasut agar membenci Rohingya. Kalau tak nak bantu pun tak apa, tapi amat zalim jika ‘whitewash’ jenayah kemanusiaan yang dilakukan ke atas Rohingya dengan ‘half-knowledge’.
Kalau betul-betul prihatin dengan isu ini, baik consult pakar seperti Dr Jatswan Singh (guru saya) di Universiti Malaya yang lebih 20 tahun mengkaji politik Myanmar dan masalah Rohingya.
Kalau setakat mengulas dengan emosi dan ‘half-truth’, atau nak mengaitkan pengalaman ‘saya dan Rohingya’ masing-masing, sampai kiamat pun tak selesai.
Ayman Rashdan Wong
Rujukan:
— United Nations High Commissioner for Human Rights, “Situation of Human Rights of Rohingya Muslims and other Minorities in Myanmar” (20 Jun 2017)
— United Nations Human Rights Office of the High Commissioner, “Report of OHCHR Mission to Bangladesh: Interviews with Rohingyas Fleeing from Myanmar since 9 October 2016” (3 Februari 2017)
— Azeem Ibrahim, “The Rohingyas: Inside Myanmar’s Hidden Genocide” (2016).
— Human Rights Watch, “All You Can Do is Pray: Crimes Against Humanity and Ethnic Cleansing of Rohingya Muslims in Burma’s Arakan State” (2013)
— Su-Ann Oh, “Rohingya or Bengali? Revisiting the Politics of Labelling” (Insitute of Southeast Asian Studies, 2012).
No comments:
Post a Comment