Wednesday, September 13, 2017

Rohingya Mangsa Penghapusan Etnik.


RUMAH penduduk Rohingya rentung akibat dibakar di sebuah kampung dekat Maungdaw, Rakhine kelmarin. - REUTERS
COX’S BAZAR, Bangladesh – Situasi di Myanmar merupakan “penghapusan etnik seperti yang dipaparkan dalam buku teks” kata ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein kelmarin.
Beliau menuduh Myanmar melancarkan serangan sistematik terhadap bangsa Rohingya dan memberi amaran bahawa penghapusan etnik sedang berlaku.
“Situasi semasa di Rakhine belum dapat dinilai sepenuhnya berikutan Myanmar enggan membenarkan kemasukan pasukan penyiasat hak asasi manusia tetapi keadaannya merupakan contoh penghapusan etnik seperti yang disebut dalam buku teks,” kata Zeid kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Katanya, keganasan terbaharu di Myanmar menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh, kebanyakannya etnik Islam Rohingya.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi pela­rian PBB berkata, sekurang-kurangnya 313,000 penduduk Rohingya tiba di Bangladesh dari Rak­hine sejak 25 Ogos lalu, menyamai satu pertiga daripada 1.1 juta populasi Rohingya di negeri itu.
Etnik minoriti Islam Rohingya ditindas selama beberapa dekad di mana mereka dianggap sebagai pendatang tanpa izin.
Namun, gelombang keganasan di Rakhine pada 25 Ogos lepas menyaksikan ratusan ribu penduduk Rohingya menyeberang sempadan menuju ke Bangladesh.
Pelarian Rohingya itu memberitahu, kampung-kampung mereka hangus dibakar oleh penduduk beragama Buddha dan askar Myanmar, manakala ramai antara mereka dibunuh. – AFP


Klik di sini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails