AP - GAMBAR fail bertarikh 29 Mac 2014 menunjukkan seorang aktivis wanita memandu kereta di sebuah lebuh raya di Riyadh, Arab Saudi.
RIYADH – Arab Saudi berkata kelmarin bahawa ia akan membenarkan golongan wanita memandu sekali gus menjadi negara terakhir di dunia berbuat demikian.
Pengumuman bersejarah itu merupakan antara transformasi Arab Saudi dalam menempuh era pascaminyak di samping memperbaiki reputasinya di mata dunia.
“Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud mengeluarkan perintah supaya wanita di negara ini dibenarkan memandu.
“Perintah ini akan berkuat kuasa pada Jun 2018,” kata pengumuman oleh stesen televisyen kerajaan.
Arab Saudi akan menggunakan ‘tempoh persediaan’ sebelum tarikh tersebut untuk menambah fasiliti perlesenan di samping membina lebih banyak infrastruktur bagi menampung jutaan pemandu wanita, tambah pengumuman sama.
Barisan ulama Arab Saudi, sebuah negara monarki berpandukan undang-undang syariah, sudah lama menyokong larangan memandu terhadap wanita dan berhujah pembatalannya akan mendorong kepada maksiat.
Salah seorang daripada mereka juga mendakwa bahawa memandu boleh menjejaskan rahim wanita.
Sebelum ini, ramai aktivis hak wanita dipenjarakan kerana melanggar larangan tersebut.
Namun, pengumuman mengejutkan itu dialu-alukan di Arab Saudi dan di negara luar.
“Hari yang gemilang. Sukar untuk saya menahan air mata ini,” kata ahli majlis syura, Latifah Alshaalan di laman Twitter
Aktivis Manal Al-Sharif yang mengetuai protes Women2Drive pada tahun 2011 pula menyatakan di Twitter: “Hari ini, negara terakhir di dunia membenarkan wanita memandu, kita berjaya.”
Bagaimanapun, masih samar sama ada wanita memerlukan kebenaran mahram mereka untuk memohon lesen memandu.
Pengumuman bersejarah itu juga mendorong hashtag “Wanita Arab Saudi Boleh Memandu” menjadi viral di media sosial.
Dalam perkembangan sama, pakar-pakar berkata, dasar baharu Riyadh itu memberi kelonggaran kepada wanita yang selama ini bergantung kepada pemandu warga asing dan aplikasi perkongsian kenderaan sebagai kaedah pengangkutan.
Perubahan itu, kata mereka, dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan sekali gus membantu menjana ekonomi negara ketika harga minyak dunia merudum.
Langkah itu juga selaras dengan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi bagi menjana transformasi sosial dan ekonomi.
Dekri diraja itu diumumkan ketika lebih separuh daripada populasi Arab Saudi berumur bawah 25 tahun. Pewaris takhta, Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga arkitek Wawasan 2030 dilihat cuba merintis aspirasi golongan muda.
Terdapat lebih lapan juta wanita dalam usia layak mendapatkan lesen memandu daripada kira-kira 32 juta rakyat Arab Saudi. Lapor AFP.
Sedangkan menurut Reuters pula..
Saudi jimat berbilion bila benarkan wanita memandu
Sedangkan menurut Reuters pula..
Saudi jimat berbilion bila benarkan wanita memandu
RIYADH/DUBAI: Keputusan Arab Saudi menamatkan larangan wanita untuk memandu boleh membantu isi rumah negara itu berjimat berbilion dollar, merancakkan pertumbuhan pelbagai industri termasuk automotif dan insurans.
Keadaan itu sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur bahawa Arab Saudi akan mampu mempelbagaikan kegiatan ekonomi selain minyak.
Ia juga menggalakkan lebih ramai wanita ke dalam sektor pekerjaan dan meningkatkan produktiviti ekonomi, walaupun penganalisis menjangka pertumbuhan awal adalah sederhana.
Namun ratusan ribu pemandu lelaki yang membawa wanita ke mana-mana, kebanyakannya dari Asia Selatan dan Filipina, berisiko kehilangan pekerjaan.
Selasa lalu, Raja Salman mengarahkan wanita dibenarkan memandu, menamatkan larangan berunsur agama yang menjadikannya sukar buat wanita bekerja dan memaksa ramai keluarga Arab Saudi menggajikan sekurang-kurangnya seorang pemandu.
Dekri itu menjanjikan perubahan gaya hidup terhadap jutaan rakyat. Kira-kira 10 juta wanita berusia lebih 20 tahun termasuk warga asing, tinggal di Arab Saudi. Hampir 1.4 juta warga asing bekerja sebagai pemandu peribadi, memperoleh pendapatan kasar AS$500 (RM2,111.25) sebagai tambahan kepada tempat tinggal dan makanan.
Larangan itu mungkin tidak ditarik balik hingga Jun 2018, dan kerana tradisi konservatif, ia mungkin mengambil masa bertahun berbanding bulan buat wanita memandu di sesetengah kawasan.
Lebihan pendapatan keluarga kemungkinan meningkat ketika mereka memberhentikan pemandu.
Perkhidmatan berita ekonomi Arab Saudi, Maaal, menganggarkan pemandu kini secara bersama memperoleh pendapatan AS$8.8 bilion (RM37.16 bilion) setahun. Lapor Reuters
(IH)
Pasarkan kereta buatan Malaysia kesana
ReplyDelete