Sunday, September 03, 2017

Seorang Gadis Muslim Di China Bercerita, Umur 60 Baru Boleh Ke Haji..


Etnik Uighur terpaksa mencari cara lain untuk mengerjakan haji, Bagaimana?

URUMQI (CHINA), 11 Zulhijjah 1438H, Sabtu – Aisyah baru 16 tahun apabila dia menyelesaikan ibadah haji. Datang dari China, dia melakukan perjalanan ke Makkah dengan bapanya.
“Ia menyekat nafas saya bila kali pertama memandang Kaabah. Saya bersolat menghadapnya sepanjang hidup saya. Ia tidak sama dengan melihat di kaca televisyen. Lalu saya menangis,” kata Aisyah, etnik muslim Uighur dari wilayah Xinjiang, China.
Untuk ke Tanah Suci Makkah, Aisyah melakukannya dengan cara yang berbeza sedikit. Untuk menunggu sehingga usia 60 tahun baharu dibenarkan oleh kerajaan komunis China melakukan haji, dia ke Arab Saudi di mana bapanya bekerja di negara itu, menggunakan visa bekerja empat bulan sebelum musim haji.
Tapi, segala-galanya dibayar dengan harga yang tinggi. Selepas kembali ke China, bapanya menerima kunjungan anggota polis rejim komunis China.
“Pihak berkuasa China datang ke rumah kami di Urumqi bertanya di mana saya berada. Mereka mengambil pasport bapa saya dan membatalkan permit untuk kembali semula ke Arab Saudi,” katanya.
Ketika itu, Aisyah tidak berada di kampungnya dan kemudian meninggalkan negara itu.
“Ayah menyuruh saya kembali ke Arab Saudi. Saya ke Arab Saudi dan kemudian ke Turki. Sejak itu saya tidak pernah bertemu keluarga saya lagi,” katanya.
Aisyah adalah antara jutaan umat Islam China yang menerima tekanan daripada pemerintahan komunis yang kini berusaha memperluaskan pengaruhnya ke seluruh dunia dengan memperkenalkan One Belt One Road (OBOR) – laluan sutera baharu.
Seperti jutaan muslim Uighur yang tinggal di Xinjiang, larangan dikuatkuasakan oleh Beijing, termasuk apabila berusia 60 tahun baharu boleh ke Arab Saudi, menyebabkan ramai yang mencari jalan lain untuk mengerjakan haji.
Tahun lalu, lebih 100 muslim Uighur terkandas di Istanbul, Turki, selepas mereka dihalang memasuki Arab Saudi bagi mengerjakan haji kerana menggunakan pasport palsu dari Kyrgyzstan.
Ramai yang disangka bersembunyi di Turki, namun tidak terkira juga jumlahnya yang telah dihantar pulang ke China dan berdepan pelbagai tindakan kejam rejim komunis Beijing.
Lebih 10 juta umat Islam Uighur yang sebahagian besarnya tinggal di wilayah majoriti muslim di Xinjiang atau Turkestan Timur.
Walaupun, muslim Uighur membentuk komuniti terbesar di wilayah berkenaan, mereka berdepan dengan kawalan dan larangan ketat kerajaan komunis China, yang mengehadkan perjalanan dan amalan agama.
Ibadah haji adalah salah satu Rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam yang mampu. Dan, seperti kebanyakan negara lain, China diberi kuota haji berdasarkan jumlah umat Islamnya.
Bagaimanapun, masalah utama yang dihadapi oleh umat Islam Uighur ialah untuk mendapatkan pasport. Tahun lalu, rejim komunis China memberitahu warga Xinjiang supaya menyerahkan pasport mereka.
Aktivis masyarakat memberitahu, pasport itu tidak pernah dipulangkah kepada mereka.
Beijing memberi alasan langkah itu bertujuan menjaga keamanan selepas rusuhan beberapa tahun lalu dan tindakan tegas terhadap amalan agama, khususnya Islam.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia, China mengarahkan pasport dirampas daripada orang Tibet, Hui dan muslim Uighur, kerana bimbang belajar agama di luar negara membuka potensi kepada melindungi kegiatan subversif politik.
Sejak lewat 1970-an, selepas China mula membuka pintu dan mengeluarkan pasport kepada rakyatnya, muslim Uighur boleh melawat Makkah dan Madinah, walaupun mereka tidak dibenarkan mengerjakan haji sehingga 1980-an, kata penduduk tempatan.
Naib Presiden Kongres Uighur Sedunia, Omer Kanat berkata, ramai umat Islam di China terpaksa menunggu lama dan berdepan kesukaran untuk mengerjakan haji.
“Sesetengahnya terpaksa menaiki kereta api ke Moscow, Russia dan dari sana terus ke Istanbul. Dari Turki mereka memperoleh visa haji daripada kedutaan Arab Saudi.
“Mereka yang melalui jalan darat akan bergerak dari Kashgar ke Tashkurgan dan melintasi sempadan ke Pakistan. Dari situ ribuan umat Islam Uighur terus ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji,” katanya.
Bagaimanapun, cara itu katanya, tidak lagi dilakukan selepas pihak berkuasa China mula memenjara muslim Uighur dan Hui yang ke Makkah tanpa melalui Beijing.
Dengan kebanyakan umat Islam Uighur yang mengerjakan haji berusia lebih 60 tahun, kerajaan komunis China tidak membenarkan ahli keluarga mengiringi mereka.
Komunis China hanya membenarkan seorang sahaja daripada satu keluarga untuk mengerjakan haji. – Agensi
 Ini muslimah di kota Urumqi. Gambar diambil oleh Ibnu Hasyim 10 tahun lalu. Gambar di bawah, hanya ini yang boleh mereka lakukan menyambut tetamu sesama Muslim dari luar negara, di China..
 

No comments:

Post a Comment