Wednesday, September 13, 2017

Tangani Free Thinkers Dg Perundangan Islam Bawah Raja-Raja.



















BANGI, 21 Zulhijjah 1438H, Selasa – Kedaulatan perundangan Islam di bawah naungan Raja-Raja Melayu perlu diperkasa bagi mengelakkan golongan Free Thinkers menyebar dakyah mereka dengan mudah.
Gerakan Free Thinkers adalah kumpulan libertarian yang menolak kebenaran agama dan mahu menjadi kuasa kelima dalam menentukan agenda Islam di Malaysia.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hassan Tan Abdullah berkata, golongan Free Thinkers ini kerap kali mempersoal kedaulatan perundangan Islam dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Katanya, ia berlaku mungkin disebabkan kedaulatan perundangan Islam di bawah naungan Raja Melayu mempunyai jurang.

“Jadi kita perlukan pemimpin negara yang berani dan jujur untuk merapatkan jurang tersebut. Kepimpinan negara perlu menyatakan apa yang berlaku tanpa mempolitikkan hubungan raja dan rakyat.

“Jika ia tidak mampu dilaksanakan, golongan Free Thinkers akan mengambil kesempatan dan menyalahkan nilai Islam di bawah naungan Raja, tidak mustahil mereka akan mempersoal kewajaran pasak negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk ‘Pemikiran Politik Semasa Malaysia: Isu dan cabaran kepada Agenda Islam’ menerusi Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah di Universiti Malaya, hari ini.

Jelas Dr Iskandar, golongan Free Thinkers ini melihat nilai Barat lebih mulia daripada nilai Islam dengan matlamat memisahkan agama daripada politik, kehidupan dan nilai Islam.

“Mereka mahu amalan budaya kehidupan di negara ini dinilai semula. Termasuk amalan ‘bin Abdullah’ kepada anak luar nikah, wanita jadi imam, kewujudan golongan aties dan LGBT.

“Malah bagi mereka, budaya seks luar nikah bagi golongan remaja 12 tahun ke atas adalah satu kebiasaan. Mereka menganggap ia naluri manusia untuk lebih matang.

“Lebih teruk, mereka anggap Tuhan tidak wujud kerana tidak dapat dibuktikan dalam Kuantum Sains. Inilah bahana golongan Free Thinkers, sangat bahaya kepada masyarakat kita jika dibiarkan tanpa perundangan untuk pulihkan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Iskandar berkata, seperti yang pernah diberitahu Dr Kamarul Yusoff, di Malaysia golongan Free Thinkers dipelopori pertubuhan tertentu dan mendapat sokongan dari kumpulan G7 yang menamakan diri mereka sebagai RMP.

“Ia dianggotai Dr Chandra Muzaffar, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Prof Dr Tan Chong Tin, Prof Madya Madeline Berma, Datin Paduka Marina Mahathir, Zainah Anwar dan Firdaus Husni.

“Jadi inilah punca perjuangan gerakan Free Thinkers semakin mendapat tempat yang akhirnya hanya memberikan kesan buruk kepada agenda Ialam di Malaysia,” katanya. (ismaweb.net/IH)

No comments:

Post a Comment