BERNAMA - PEMANDANGAN dari udara menggambarkan kepadatan khemah pelarian Rohingya di Kem Ghundum, Ukhiya semalam.
DHAKA – Bangladesh mengumumkan rancangan untuk membina sebuah kem pelarian yang boleh menampung kira-kira 800,000 etnik Islam Rohingya dari Myanmar.
Rancangan membina kem pelarian terbesar di dunia itu mencetuskan kebimbangan mengenai risiko penempatan sebegitu ramai pelarian seperti wabak penyakit.
Kira-kira 582,000 etnik Rohingya telah melarikan diri daripada pertumpahan darah di Myanmar sejak keganasan baharu tercetus pada 25 Ogos lepas.
Walaupun sebahagian mereka telah menyertai kira-kira 33,000 pelarian Rohingya lain yang menetap di beberapa kem rasmi di Kutupalong dan Nayapara sejak tahun 1990-an lagi, kebanyakan pelarian baharu itu terpaksa mendirikan penempatan sendiri lagi daif di luar kem tersebut.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan terdapat keseluruhan 65.5 juta pelarian di seluruh dunia yang bergantung hidup di sejumlah kem rasmi dan penempatan lain di seluruh dunia. – AFP
No comments:
Post a Comment