Saturday, October 07, 2017

Bangladesh Bina Kem Pelarian Terbesar Dunia


DHAKA – Bangladesh bakal membina sebuah kem pelarian terbesar di dunia untuk menempatkan lebih 800,000 pelarian Rohingya yang meminta perlindungan politik dari keganasan di Myanmar.


Ia susulan ketibaan lebih daripada setengah juta pelarian Rohingya dari Myanmar sejak 25 Ogos sehingga memberi tekanan besar terhadap banyak kem di Bangladesh ekoran kebimbangan akan menularnya wabak penyakit.
Seorang menteri Bangladesh mendedahkan butiran kem mega itu ketika tentera Myanmar pula lebih sibuk tuduh militan Rohingya sengaja bakar rumah di Rakhine yang memperhebatkan lagi situasi pelarian rentas sempadan.
Pihak berkuasa Bangladesh dalam pengumuman pada Khamis, berhasrat mengembangkan kem pelarian dekat bandar sempadan Cox’s Bazar, iaitu Kutupalong bagi menampung semua pelarian Rohingya dalam satu kawaan.
Kira-kira 790 hektar tanah di sebelah kem itu sudah diwartakan bagi pelarian Rohingya. Namun, memandangkan bilangan pendatang baharu bertambah melebihi 500,000 orang, satu lagi tapak seluas 404 hektar akan dibuka.
Mofazzal Hossain Chowdhury Maya, menteri bagi pengurusan dan bantuan bencana, berkata semua pelarian Rohingya akan dipindahkan dari 23 kem di sepanjang sempadan dan kem-kem sementara di sekitar Cox’s Bazar.
“Semua pelarian tinggal di kem yang bertaburan… akan disatukan. Justeru, lebih banyak tanah diperlukan. Lambat-laun, mereka akan datang,” kata menteri itu kepada agensi berita antarabangsa AFP di sini.
Beliau menambah ada sesetengah keluarga sudah mula berpindah ke lokasi baru yang dikenali sebagai Kutupalong Extension. Mofazzal turut mengumumkan bahawa dua daripada kem sementara yang sedia ada sudah ditutup.
Minggu ini, hampir 5,000 pelarian Rohingya menyeberangi sempadan setiap hari dengan 10,000 lagi menunggu di perbatasan. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memuji “sifat murah hati luar biasa” Dhaka dalam buka sempadan.
Namun, Ketua UNICEF, Anthony Lake dan penyelaras bantuan darurat PBB, Mark Lowcock memberi amaran bahawa “kadar keperluan pelarian Rohingya meningkat lebih cepat daripada yang kita mampu berikan.”
“Tragedi manusia berlaku di selatan Bangladesh sangat mengejutkan dari segi skala, kerumitan dan kepantasannya,” menurut kenyataan PBB turut menyifatkan krisis sebagai “kecemasan pelarian paling pesat berkembang di dunia”.
Krisis pelarian itu meletus selepas Tentera Penyelamat Rohingya Arakan atau ARSA, menyerbu beberapa buah balai polis Myanmar pada 25 Ogos lalu. Ini menghasilkan tindak balas yang kejam daripada pasukan tentera Myanmar.
PBB menyifatkan kempen ketenteraan junta Naypyidaw itu sebagai usaha “pembersihan etnik” manakala para pemimpin tentera pula menuduh Rohingya konon sebagai bertanggungjawab atas krisis pelarian tersebut.
Waima keganasan kian berkurangan, rasa tidak selamat, kekurangan makanan dan ketegangan dengan jiran beragama Buddha masih mendesak ribuan Rohingya membuat perjalanan sukar ke Bangladesh. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails