Tuesday, October 17, 2017

Berhijab Bukan Bersifat Jumud, Tapi Membina Penjenamaan Diri. -Aliza Kim



KUALA LUMPUR: Wanita Muslimah perlu buang sifat pemalu, sebaliknya memikirkan cara untuk memartabatkan golongan itu menerusi pelbagai cara.


Bekas model antarabangsa dan mualaf, Aliza Kim,28, berkata, berhijab bukan alasan untuk mereka bersifat jumud sebaliknya perlu membina penjenamaan dan imej diri.

Katanya, wanita khususnya saudara baharu seperti beliau perlu mengubah rentak berfikir daripada seorang yang kurang berkeyakinan menyarungkan hijab dan berbangga dengan penampilannya.

Anak kacukan Thailand-Amerika, Aliza sentiasa berfikir memperbaiki penampilan dan gaya berpakaian yang bukan saja memenuhi tuntutan agama tetapi berupaya memberi inspirasi dan aliran gaya wanita Muslimah seluruh dunia.

ALIZA Kim.

"Saya mempunyai pilihan melantunkan imej mengikut tuntutan agama. Meskipun, pernah bergelar model, bukan semua orang sempat mengenali saya. Ini memudahkan perjalanan saya melakukan perubahan ke arah lebih baik," katanya.

Beliau ditemui ketika menjadi ahli panel jemputan seminar Extract of Women and Confidence-Self Image, persidangan The Muslim World Women's Summit 2017, baru-baru ini.

Aliza yang memeluk Islam 2011, sebelum ini menceburi iklan komersial dan drama TV yang membawanya ke Malaysia dan kini menetap di sini. Bekas penganut agama Kristian mengakui Islam membuatkan dirinya lebih tenang dan penuh keistimewaan.

Ditanya mengenai penghijrahannya memilih Islam, pemegang ijazah Perniagaan Antarabangsa Universiti Denver, Amerika Syarikat itu berkata, beliau melakukan banyak pemerhatian, penyelidikan dan pembacaan berkaitan agama Islam.

"Saya tidak menemui Islam menerusi apa digambarkan di media atau perkongsian cerita mereka yang sudah lama memeluk Islam sebaliknya, belajar melalui sejarah, ilmuwan, tenaga pengajarnya, pemerhatian dan pengalaman rakan beragama Islam sebelum mendekatinya dengan hati nurani," katanya.

Malah, kata bekas peserta pertandingan ratu cantik Amerika Syarikat dan Thailand itu, beliau paling terkesan menghayati kisah pengislaman seorang wanita dari Oklahoma yang dikongsi menerusi cerpen ditulisnya.

"Saya membaca banyak perkongsian tulus mereka yang memilih memeluk Islam dalam kalangan paderi, suri rumah di Jepun, pelajar sekolah di Brazil hingga bakal samseng Amerika," katanya.

Menamakan isteri Rasulullah SAW, Ummul Mukminin Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai ikon Muslimah sejati, Aliza mengaku kagum dengan idolanya itu yang disifatkannya moden dan menebal jiwa kepemimpinan.

"Siti Khadijah memiliki karakter serba-serbi hebat baik sebagai isteri yang alim dan taat mahupun usahawan berkaliber, selain membuktikan wanita mampu setanding lelaki menerusi empayar perniagaan bertaraf antarabangsa yang dibinanya," katanya.

Katanya, isteri Rasulullah SAW yang berfikiran moden dan kritis menyandang jawatan yang boleh disamakan dengan ketua pegawai eksekutif ketika ini, sekali gus mengepalai organisasi didominasi lelaki.

"Ketokohan Khadijah patut dijadikan inspirasi wanita untuk memajukan diri untuk bergelar pemimpin," katanya.

Aliza berkata, tiada kisah begitu menyentap perasaan berbanding ditulis wanita berkenaan yang memperincikan segala pahit getirnya mencari kebenaran dalam Islam.

"Kisahnya itu bagai pantulan diri ini yang sedang berusaha mencari kebenaran dan hidayah Tuhan. Saya menangis dan dalam deraian air mata, saya tahu serta yakin sudah menemui apa yang dicari," katanya.

Perjalanan hidupnya Aliza, anak kelahiran United Kingdom dan bersekolah serta membesar di Amerika Syarikat, sebelum ini penuh dengan glamor kini diteruskan sebagai penceramah bebas dan aktif menulis. - BH

2 comments:

jalilnor said...

Selamat berjaya Eliza Kim dan tahniah kerana telah menemui ugama Allah iaitu Islam.. anda adalah yg terpilih oleh Allah

Anonymous said...

INI AMAT DIBENCI OLEH DAP DAN KHADAM2NYA WALAUPUN ADA KHADAM POMPUAN YG MASIH MENUTUTP AURAT. DIBAWAH NI BUKTI2NYA

http://www.mynewshub.cc/politik/mp-dap-marah-terengganu-kemuka-garis-panduan-aurat/

MP DAP Marah Terengganu Kemuka Garis Panduan Aurat
Published on Mar 2, 2015 in Politik

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membantah langkah kerajaan Terengganu mahu melaksanakan garis panduan pemakaian bagi pelancong terutama wanita.

Beliau menyindir kerajaan Terengganu melaksanakan langkah ekstrem itu berikutan laporan bahawa negeri tersebut mencatatkan bilangan pelayaran tertinggi di laman web lucah sebelum ini.

“Baru beberapa minggu menyatakan akan menangkap mereka yang tidak sembahyang Jumaat dan membawa mereka menaiki van jenazah sebagai hukuman. Kita masih tertanya-tanya tentang mekanisme yang akan digunakan oleh penguatkuasa untuk menangkap mereka yang tidak sembahyang Jumaat sedangkan mereka sendiri sepatutnya hadir solat Jumaat.

“Kini saya amat terkejut dengan laporan bahawa kerajaan Terengganu akan memaksakan garis panduan pemakaian bagi pelancong, terutamanya wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lip Eng berkata, Terengganu negeri yang menarik minat ramai pelancong asing untuk menikmati keindahan pantai dan laut sambil berjemur dengan pakaian renang masing-masing.

Justeru, beliau hairan kenapa Terengganu boleh terfikir untuk melaksanakan dasar sedemikian sedangkan pihak berkuasa negeri itu sepatutnya lebih memikirkan usaha memperbaiki kualiti hidup rakyat, membawa masuk pelaburan asing dan pelancong asing.

Beliau mendesak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan.

“Saya minta kerajaan segera mengekang dasar-dasar keagamaan melampau oleh kerajaan Terengganu ini, kerana jika ia tidak dipantau dan dihentikan segera, barangkali mereka akan mengharamkan penjualan pakaian dalam di pasar malam atau pusat beli-belah atau mengharamkan atlet wanita memakai baju tidak berlengan atau seluar pendek dalam sukan badminton, bola tampar, acara renang dan sebagainya,” katanya. – mynewshub.cc

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails