Seronok juga melihat usaha sesetengah pihak memberikan naratif “kejayaan” Himpunan Anti Kleptokrasi di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi dari segi sambutan peserta.
Pada pengamatan saya, walaupun penganjur sendiri mengumumkan pada akhir himpunan bahawa jumlah kehadiran peserta adalah 25,000 orang, himpunan ini adalah satu kegagalan.
Ini kerana acara ini bukan acara biasa tetapi “acara raksasa” yang merupakan kemuncak semua himpunan 1MDB di seluruh negara bermula di Kepala Batas sejak 6 Julai lagi.
Apatah lagi sebelumnya Pengarah Mobilisasi dan Pengarah Teknikal Himpunan, Mohamad Sabu dan Muhammad Faiz Fadzil, yakin mereka akan mencapai matlamat 100,000 peserta.
Jumlah diberikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, pula ialah 4,000 orang manakala portal berita Malaysia Kini pula meletakkan kemuncaknya pada 8,000 orang.
Mohamad Sabu sendiri dalam ucapan beliau malam tadi secara tersirat mengakui bahawa kehadiran peserta adalah tidak memuaskan dengan Padang Timur MBPJ tidak penuh.
Kata Mohamad Sabu: “Padang itu kita tahu ada sedikit basah tuan-tuan lebih rela duduk di luar, bahkan ada yang sewa hotel duduk dalam hotel, mendengar daripada sini”.
Agak kelakar bunyinya memberikan alasan “padang basah” sebagai punca padang tidak penuh sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berucap mengenai tiada hujan.
Lebih kelakar lagi bila disebutkan mengenai peserta himpunan yang datang dari jauh tetapi lebih selesa memilih untuk mendengar ucapan para pemimpin dari dalam hotel.
Sebegini lembikkah para penyokong Pakatan Harapan di dalam menegakkan perjuangan mereka sehingga sudah mengaku kalah walau hanya dengan “padang basah”?
Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad berbunyi “saya dapati bahawa ternampak padang hijau di belakang sana” adalah juga pengakuan bahawa Padang Timur MBPJ tidak penuh.
Begitu juga pengakuan Mohamad Sabu bila himpunan berakhir bahawa “golongan muda lebih berminat dengan demonstrasi jalanan berbanding mendengar ceramah dan ucapan”.
Seperti pernah disebut, himpunan ini sekadar mampu memobilisasikan rakyat yang sudah sedia membenci kerajaan, bukan pengundi baru, untuk meluahkan kemarahan mereka sahaja.
Tumpuan himpunan ini juga pelik kerana kajian INVOKE Malaysia sendiri mendapati bahawa pengundi lima kali lebih risau mengenai kos sara hidup berbanding isu 1MDB.
Tumpuan seharusnya diberi kepada tawaran-tawaran dasar substantif yang boleh menarik pengundi, khususnya Melayu, berbanding berterusan memainkan sentimen kemarahan.
1 comment:
http://www.ismaweb.net/2017/09/dap-mca-pkr-sengaja-cetus-provokasi-terhadap-islam/
DAP, MCA, PKR sengaja cetus provokasi terhadap Islam
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 28 Zulhijjah 1438H, Selasa – Tindakan pihak tertentu yang membantah keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak Better Beer Festival 2017 (pesta arak 17), sekadar mahu mencetuskan provokasi terhadap Islam.
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berkata, mereka sengaja berbuat demikian kerana hendak menilai sejauh mana respon umat Islam.
Katanya, puak-puak ini akan menjadi lebih berani jika umat Islam tidak kuat menentang. Malah, mereka juga jika dibiarkan akan semakin ‘besar kepala’.
“Tindakan ini menunjukkan mereka tidak sensitif dengan hubungan agama dan kaum.
“Ini juga ada elemen berbaur politik untuk menghasut bukan Islam membenci kerajaan dan orang Islam serta agama Islam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau mengulas tindakan pemimpin parti rasis dan cauvinis DAP, disertai PKR serta parti anggota Barisan Nasional (BN) yang anti-Islam, MCA, membantah keras keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan pesta arak yang dirancang pada 6 dan 7 Oktober ini.
Selain itu, beliau berkata, pesta itu juga akan menganggu ketenteraman awam terutamanya apabila pesertanya mabuk.
“Isma gesa rakyat tolak pemimpin berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti,” tegasnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan lima Ahli Parlimen daripada DAP dan PKR – Tan Kok Wai; Teresa Kok; Fong Kui Lun; Lim Lip Eng; dan Tan Kee Kwong – mereka mahu pesta arak itu diadakan dan menggesa DBKL menarik balik keputusan itu.
Kok Wai adalah Ahli Parlimen Cheras daripada DAP; Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputih – DAP); Kui Lun (Ahli Parlimen Bukit Bintang – DAP); Lip Eng (Ahli Parlimen Segambut – DAP); dan Kee Kwong (Ahli Parlimen Wangsa Maju – PKR).
RELATED POSTS
Post a Comment