▼
Friday, October 06, 2017
Kebebasan Beragama Bukan Kebebasan Murtad – Dr Kamarul Zaman Jawab Dr Mujahid.
Sintok, Kedah: “Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan sekadar memberikan hak kepada tiap-tiap orang untuk menganuti, mengamalkan dan mengembangkan agamanya (tertakluk kepada kawalan atau sekatan ke atas pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dikalangan orang yang menganuti agama Islam) sahaja.”
Demikian, menurut Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM). Kenyataan tersebut dibuat beliau bagi menjawab dakwaan Naib Presiden AMANAH Dr Mujahid Yusof,
“Setiap tindakan atas apa pun alasan yang tidak munasabah, tidak boleh sewenang-wenang menjejaskan dan menafikan hak dan peruntukan yang telah sedia diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan”.
Menulis di Facebook beliau, Dr Kamarul Zaman menegaskan, “Ini berbeza dengan takrif kebebasan beragama dalam Perkara 18 daripada the Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) dan Perkara 18 daripada the International Covenant on Civil and Political Rights 1966 (ICCPR) yang menyebut bahawa ia merangkumi kebebasan untuk menukar agama (“this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance” dan “this right shall include freedom to have or to adopt a religion or belief of his choice, and freedom, either individually or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in worship, observance, practice and teaching”).”
Dr Kamarul Zaman menambah bahawa Dr Mujahid perlu sedar Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan sekadar mentakrifkan “undang-undang” sebagai “termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuasa dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya” sahaja.
Beliau memberi contoh kes Merdeka University Bhd v. Government of Malaysia [1981] CLJ (Rep) 191, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa UDHR adalah “merely a statement of principles devoid of any obligatory character” (“hanya satu pernyataan prinsip dan tidak mengandungi sebarang watak kewajiban”) dan “not a legally binding instrument as such” (“bukan satu alat yang mengikat dari segi undang-undang”).
“Sama halnya dengan kes Bato Bagi & Ors v. Kerajaan Negeri Sarawak and another appeal [2011] 8 CLJ 766 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa “we should not use international norms as a guide to interpret our Federal Constitution” (“kita tidak perlu menggunakan norma antarabangsa sebagai satu panduan untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan kita”).”
“Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia & Ketua Pengarah Pendaftaran Negara pada 30 Mei 2007 juga telah memutuskan: “Kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memerlukan Perayu mematuhi amalan-amalan atau undang-undang agama Islam khususnya mengenai keluar dari agama itu.
Apabila ketentuan-ketentuan agama Islam dipatuhi dan pihak berkuasa agama Islam memperakukan kemurtadannya barulah Perayu dapat menganuti agama Kristian. Dengan lain perkataan seseorang tidak boleh sesuka hatinya keluar dan masuk agama. Apabila ia menganuti sesuatu agama, akal budi (common sense) sendiri memerlukan dia mematuhi amalan-amalan dan undang-undang dalam agama itu.”
Manakala “Mahkamah Persekutuan dalam kes ZI Publications Sdn Bhd & Anor v. Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Malaysia & Anor (Interveners) pada 28 September 2015 juga telah memutuskan bahawa seseorang Islam di Malaysia bukan hanya tertakluk kepada undang-undang umum yang dikuatkuasakan oleh Parlimen tetapi juga oleh undang-undang berbentuk keagamaan yang dikuatkuasakan oleh Dewan Undangan Negeri kerana Perkara 74(2) membenarkan Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut dalam Senarai Kedua Jadual Kesembilan yang, terpentingnya ialah mengenai “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan”, asal sahaja ia tidak melebihi bidang kuasa yang ditetapkan oleh Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”
Oleh yang demikian, Dr Kamarul Zaman menegaskan bahawa kebebasan beragama di Malaysia adalah tertakluk kepada takrifan seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan adalah unik, tidak seperti negara-negara lain.
(www.menara.my)
Kalau Cina dan India boleh kafir, kenapa melayu tak boleh kafir?
ReplyDelete