Sunday, October 15, 2017

Pastikan Rohingya Selamat Pulang -Kofi Annan. Boleh Percaya Ke?



REUTERS - SEBAHAGIAN pelarian beratur dalam hujan untuk menerima bantuan kemanusiaan di kem Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh pada Khamis lalu.
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (Pbb), New York – Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menggesa Majlis Keselamatan memastikan beratus-ratus ribu etnik Islam Rohingya yang melarikan diri susulan kempen tentera dapat kembali semula ke Myanmar.
Annan yang mengetuai Suruhanjaya Penasihat untuk kerajaan Myan­mar berkata, kuasa-kuasa dunia perlu berunding dengan tentera dan pemimpin awam untuk menamatkan krisis pelarian terbabit.
Majlis Keselamatan sedang me­nimbang tindakan tegas dan kemungkinan membentangkan satu resolusi di PBB tetapi diplomat berkata, China yang menyokong bekas pemimpin junta Myanmar dan Rusia menentang langkah itu.
“Saya harap resolusi yang diputuskan mampu memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi membenarkan pelarian kembali secara bermaruah dan selamat.
“Rohingya tidak sepatutnya kembali ke kem. Mereka patut membantu membina semula kehidupan pelarian terbabit,” kata Annan selepas satu mesyua­rat tertutup di sini.
Lebih 500,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos lalu apabila tentera Myanmar melaksanakan operasi tentera di Rakhine yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.
Pihak berkuasa Myanmar berkata, mereka sedang menghapuskan militan Rohingya susulan serangan ke atas pos polis pada Ogos lalu.
Isu masyarakat Rohingya mahu kembali ke negara asal kini menjadi halangan utama.
Satu laporan oleh pejabat hak asasi manusia PBB baru-baru ini menuduh Myanmar mahu menyekat penduduk Rohingya daripada kembali dengan menanam periuk api di sempadan Bangladesh.
“Komuniti antarabangsa kini mula memberikan tekanan kepada tentera,” kata Annan. – AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Boleh percaya ke?

No comments:

Post a Comment