Thursday, October 19, 2017

PBB Boneka Amerika Syarikat By QUEBEC



Pada mulanya, mungkin kita boleh menarik nafas lega apabila tertubuhnya sebuah badan yang dapat memperjuangkan keamanan dan hak kemanusian di peringkat global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Tanggal 1945, PBB ditubuhkan di San Francisco, California sejurus selepas berlakunya Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan kira-kira 55 juta kematian sekaligus mencatatkan kemusnahan yang terburuk dalam sejarah dunia. 

Di awal penubuhannya, PBB hanya dianggotai oleh 51 buah negara, kemudian meningkat kepada 193 buah negara anggota di mana keahliannya terbuka kepada semua negara. Pada awalnya matlamat utama PBB ditubuhkan adalah untuk menjamin, menjaga dan memelihara keamanan dan keselamatan dunia serta menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik antara negara. 

Selain itu, PBB juga bertanggungjawab dalam melindungi hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Sekiranya matlamat tersebut dapat diimplementasikan dengan seadilnya, sudah tentu tiada negara yang menjadi mangsa diskriminasi kuasa besar, tiada nyawa yang tidak berdosa tergadai, tiada manusia yang hidup merempat sebagai pelarian dan tiada negara yang dibiarkan menderita tanpa pembelaan. 

Malangnya, PBB gagal berfungsi dengan telus dalam memainkan peranannya sebagai pejuang keamanan dunia apabila mereka terpaksa tunduk dengan telunjuk kuasa veto. PBB mempunyai lima negara anggota tetap yang terdiri daripada negara Amerika Syarikat, Rusia, China, Britain dan Perancis. 

Dengan adanya kuasa veto tersebut, negara-negara ini berkuasa dalam membatalkan sebarang keputusan majlis, undang-undang atau resolusi walaupun keputusan tersebut mendapat persetujuan majoriti ahli dewan. 

Lihatlah, betapa ‘demokrasinya’ PBB sehingga terpaksa menggadaikan prinsip dan matlamat asal yang menjadi nadi penubuhannya. Tahun 2003, jutaan rakyat Iraq telah dibunuh atas alasan ‘Weapon of Mass Destruction’ yang direkayasa oleh Amerika Syarikat ketika itu. Serangan demi serangan dilakukan terhadap Iraq kononya untuk menghapuskan ‘senjata pemusnah besar-besaran’ di negara tersebut. 

Walhal, mereka tiada bukti yang kukuh tentang kewujudan senjata itu. Kejam! Amerika menggunakan alasan tersebut untuk menghalalkan tindakan mereka di mata dunia. Sehingga kini, tiada senjata pemusnah dijumpai seperti yang diwar-warkan walaupun telah diperiksa beratus kali.[1] 

Sejak Iraq dibedil dan diserang bertubi-tubi, sehingga hari ini keadaan di Iraq terus bergolak dan tidak stabil. Inilah bukti PBB gagal bertindak tegas dalam menangani keganasan ini, jauh sekali untuk mengenakan sebarang tindakan terhadap pelopor dana terbesar mereka. Umum mengetahui kekejaman zionis Israel terhadap penduduk Palestin selama berdekad lamanya. 

Sejak berdirinya negara haram Israel secara rasmi pada tahun 1948, rakyat Palestin dihalau keluar dari tanah mereka sendiri dan mula tinggal di kem-kem pelarian sementara yang didirikan di sekitar Palestin seperti di Jordan, Syria, Lubnan dan Mesir.[2] 

Sehingga hari ini, masih ramai yang tinggal di kem-kem pelarian tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya. Walaupun berjuta-juta kematian, rakyat Palestin dibedil saban hari oleh zionis Israel, PPB masih memberikan kerjasama dan mengiktiraf kewujudan Israel. Demikian juga dengan Syria di mana Presiden Bashar Al Assad telah membunuh ribuan rakyatnya sendiri terutama wanita dan kanak-kanak, namun PBB diam tidak berkutik. Hal ini bukan sesuatu yang aneh. 

Lihatlah bagaimana Amerika Syarikat yang merupakan tulang belakang Israel begitu beria-ria mendokong mereka dalam persidangan PPB baru-baru ini. Duta Besar AS, Nikki Harley menegaskan PBB perlu berhenti mensasarkan Israel sebagai objek kritikan dalam konflik Israel-Palestin. Malah, seramai 100 senator AS mendatangani surat yang menggesa Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengambil tindakan terhadap organisasi yang mempunyai “agenda anti-Israel.”[3]

 Komplot Amerika-Israel bukan lagi rahsia. Menurut penulisan salah seorang ahli Pasukan Petugas Kongres PBB, Mr Loconte berkata PBB yang sepatutnya menjadi penyelamat krisis kemanusian telah menjadi tempat perlindungan penyangak untuk mengalihkan perhatian dunia daripada dasar-dasar yang menindas mereka.[4] Dikatakan negara-negara kejam seperti China dan Zimbabwe yang melakukan jenayah genosid dan pembunuhan etnik telah mendapat kedudukan yang baik dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. [5]

Jelaslah, PBB bersikap tidak adil dan bersandiwara dalam mengangkat isu-isu kemanusian ke peringkat antarabangsa. Situasi begitu berbeza apabila kepentingan Amerika dan sekutunya diancam oleh pengganas ISIS. PBB melalui Majlis Keselamatannya begitu pantas bertindak demi ‘anak emas’ mereka dengan mewujudkan resolusi untuk memerangi ISIS.[6] 

Militan ISIS sememangnya harus ditentang. Namun, apa yang ingin ditonjolkan adalah sikap pilih kasih PBB yang bersungguh-sungguh menghapuskan puak pengganas ini tetapi dalam masa yang sama buta mata hati untuk melihat ‘pengganas’ yang jelas di depan mata mereka. Baru-baru ini, Indonesia bercadang untuk merangka undang-undang yang mengharamkan kandungan berunsur lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) dari sebarang siaran TV menjelang akhir tahun ini. 

Malangnya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ‘anti-gay’ Indonesia dengan menjustifikasi keputusan mereka sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.[7] 

Kemunafikan PBB terserlah apabila pengiktirafan mereka terhadap golongan LGBT lebih tinggi dari membela nasib manusia yang dizalimi. Hakikatnya, setiap keputusan PBB adalah berkiblatkan persetujuan Amerika di belakangnya. Kegagalan PBB dalam membawa suara sama rata dalam kalangan negara anggota telah berjaya menyembunyikan penjenayah dunia yang sebenar. 

Sikap hipokrasi dan ‘double standard’ yang diamalkan ini telah merendahkan kredibiliti PBB sekaligus mengkhianati matlamat sebuah badan yang berperanan memelihara keamanan sejagat. Sekiranya PBB terus menjadi boneka kepada kuasa besar dunia terutamanya Amerika, kezaliman dan keganasan akan terus berlaku dan tidak berpenghujung. 

[1] https://www.theguardian.com/ world/2004/oct/07/usa.iraq1 
[2] http://eprints.um.edu.my/2004/ 1/05_Bil_5_Konflik_Palestin_ dan_Harapan_Masa_Depan_Dr_ Roslan.pdf 
[3] https://www.haaretz.com/us- news/1.786229 
[4] http://www.heritage.org/civil- society/commentary/end-the- uns-human-rights-hypocrisy 
[5] http://www.heritage.org/civil- society/commentary/end-the- uns-human-rights-hypocrisy 
[6] http://www.independent.co.uk/ news/world/politics/isis- world-powers-plan-united- nations-security-council- resolution-to-declare-war- against-group-in-a6741181.html 
[7] https://www.reuters.com/ article/us-indonesia-lgbt/ indonesia-considers-ban-on- destructive-lgbt-related-tv- content-idUSKBN1CL0MZ



IKLAN:
Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.


No comments:

Post a Comment