MANILA, 27 Muharram 1439H, Selasa – Ketua kumpulan militan Daesh, Isnilon Hapilon, dan sekutunya, Omar Maute terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Mindanao.
Perkara itu disahkan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana sambil menegaskan tenteranya berjaya membunuh Hapilon dan Omar Maute dalam satu serangan, semalam.
Katanya, ujian DNA akan dilakukan bagi mengesahkan identiti mereka.
“Tentera Filipina melancarkan serangan terhadap militan di Marawi, kami berjaya membunuh Hapilon dan Omarkhayam Maute.
“Nampaknya, krisis di Marawi semakin berakhir dan kami mungkin akan tamatkan operasi ketenteraan dalam beberapa hari lagi,” katanya.
Militan Daesh termasuk Abu Sayyaf telah menawan Marawi sejak 23 Mei lalu.
Pertempuran berlaku sehingga menyebabkan lebih 1,000 terbunuh, dan ratusan ribu penduduk lain dipindahkan.
Dalam perkembangan sama, tentera Filipina kini sedang memburu rakyat Malaysia, Mahmud Ahmad.
Difahamkan Mahmud turut bertempur di Marawi kerana dia adalah pengantara militan Filipina dengan Daesh. – Agensi
No comments:
Post a Comment