Wednesday, October 11, 2017

Tahniah KPN,....Tukar Anggota PDRM Lindungi Sindiket Judi. Al-hamdulillah!











Tukar serta-merta anggota PDRM lindungi sindiket judi


KUALA LUMPUR, 21 Muharram 1439H, Rabu — Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bertegas dan memberi amaran akan bertindak menukar mana-mana anggota dan pegawai polis termasuk ketua polis negeri yang terbabit dalam melindungi kegiatan pusat perjudian.
Beliau yang bertekad untuk menghapuskan kegiatan judi di seluruh negara berkata akan mengambil tindakan tegas serta tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu berkenaan.
“Jika saya terpaksa tukar ketua polis negeri (dalam usaha perangi pusat judi), saya akan tukarkan mereka dan saya tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang berselindung dalam perkara ini (judi).
“Ramai (anggota polis) yang berlakon pun ada, main wayang pun ada malah banyak pihak ambil kesempatan terhadap isu ini,” katanya ketika berucap pada program ‘Breakfast Talk Integrity’ di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini.
Mohamad Fuzi yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-11 pada 4 September lepas, menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara, berkata fokus memerangi judi, jenayah bersindiket dan gangsterisme adalah antara empat tumpuan PDRM yang sedang giat dijalankan ketika ini.
Pada 27 September lepas, PDRM menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau kegiatan sindiket judi haram di negara ini.
Jawatankuasa berkenaan diketuai Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim ditubuhkan bagi menangani dan menghapuskan premis-premis judi yang didapati semakin berleluasa di seluruh negara.
Selain itu, Mohamad Fuzi berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang ditubuhkan pada 2014 akan terus aktif bagi meningkatkan reputasi PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang terulung negara.
“Penubuhan JIPS memfokus ke arah pemantapan integriti pasukan demi mempertingkat imej PDRM yang bertujuan mengubah kedudukan PDRM daripada ‘agensi yang berisiko tinggi untuk terlibat salah laku’.
“Bagi menjamin kualiti perkhidmatan terutamanya barisan hadapan, JIPS menjalankan pemeriksaan integriti dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif JIPS memastikan setiap warga PDRM mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan secara berintegriti,” katanya.
Turut hadir pada program itu ialah Noor Rashid, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. Lapor Bernama 

Weblog Ibnu Hasyim mengucap tahniah kepada KPN kerana sanggup tukar anggota PDRM yang lindungi sindiket judi. Al-hamdulillah. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails