Monday, October 09, 2017

Tebang Semua Pokok, Mana Pihak Bertanggung Jawab?



TRAGEDI malang yang berlaku tengah hari semalam, dahan pokok besar tepi jalan merekah menyebabkan jatuh di atas dua buah kereta yang kebetulan melalui jalan Mengabang Lekor- Pengkalan Atap menyebabkan dua orang meninggal dunia dan tiga orang mengalami kecederaan teruk.

Peristiwa ini sangat menakutkan penduduk yang mana mereka sudah lama menaruh kebimbangan kepada pokok-pokok besar yang berada di tepi jalan itu. Kejadian ini bukan setakat bahaya kepada penduduk bahkan merbahaya kepada pengguna jalan raya.

Sebelum ini sudah ada yang berlaku dahan besar patah dan jatuh di atas rumah kedai penduduk di situ.
Akibat daripada keadaan yang membimbangkan, ada sebahagian mereka yang membuat laporan kepada MBKT, YB dan JKKK setempat supaya mereka mengambil tindakan menebang semua pokok yang membahayakan mereka terutama di musim tengkujuh.
Malangnya, pihak berkuasa tidak menghiraukan laporan dan desakan penduduk. Bahkan ada yang memberi jawapan supaya mengambil tindakan atau mereka perlu keluar kos sendiri untuk kerja ini. Jawapan seperti ini sangat mengecewakan penduduk.
Justeru, tragedi yang baharu sahaja berlaku ini menaikkan amarah penduduk di situ, rata-rata dari kalangan mereka meminta supaya mendesak pihak berkuasa menebang pokok-pokok besar di sepanjang jalan.
Saya mewakili penduduk Batu Rakit mendesak pihak berkuasa mengambil tanggungjawab menebang semua pokok dan diharapkan wakil rakyat yang kebetulan tinggal di kampung bersebelahan dan semua JKKK berganding bahu mendesak pihak berkuasa bertindak segera sebelum datangnya musim hujan akhir tahun ini.
Jika tindakan masih belum diambil, kami tidak teragak-agak meneruskan usaha dan desakan untuk mengatasi masalah ini demi keselamatan nyawa dan harta rakyat. 
Mohd Shafizi Ismail
Ketua Pemuda PAS Dun Batu Rakit.
8 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 8/10/2017

1 comment:

  1. Kalau PBT tidak mengambil tindakan jugak ...InsyAllah apabila PAS menang nanti tindakan bersegera akan diambi...

    ReplyDelete