Friday, November 10, 2017

Bimbang PP Gagal Tangani Banjir, Pengilang Gesa Putrajaya Bertindak -FMM

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan persekutuan dan negeri supaya mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengkaji, menangani dan melaksanakan langkah bersesuaian dan pencegahan bagi meningkatkan program mitigasi banjir dan bencana di negara ini.


Dalam kenyataannya, FMM menyarankan agar dilaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terhadap program berkenaan.
“Bencana banjir menyebabkan kerosakan teruk dan kesukaran kepada rakyat serta perniagaan di utara tanah air khususnya di Pulau Pinang, dan ia menyedarkan pihak berkuasa persekutuan dan negeri agar memberi penekanan dan menambah peruntukan ke arah meningkatkan program mitigasi banjir dan bencana di negara ini.
“Walaupun FMM memuji kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi membantu rakyat di Pulau Pinang, kita juga melahirkan kebimbangan dengan laporan media, termasuk berita kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai tenaga kerja dan peralatan mencukupi untuk menangani banjir.
“Mengenal pasti kekangan ini adalah langkah pertama ke arah meningkatkan sistem mitigasi banjir dan bencana negara pada masa ini, termasuk penambahbaikan kepada Jabatan Meteorologi Malaysia untuk pemantauan dan sistem amaran awal yang lebih berkesan,” katanya.
FMM berkata memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia sudah mengeluarkan makluman mengenai cuaca sejak 1 Nov, 2017, tindakan susulan terhadap perkara itu adalah tidak mencukupi.
“Makluman itu sepatutnya mencetuskan tindakan susulan yang perlu, terutama menubuhkan pusat bantuan dan membuat pemindahan awal bagi kawasan berisiko tinggi.
“Justeru, kita sangat bimbang mengenai penyelarasan dan menggerakkan sumber dengan berkesan,” kata FMM.
Kenyataan itu berkata pelaburan yang lebih besar dalam program mitigasi banjir dan bencana perlu disediakan seiring dengan pembangunan dilakukan, terutama dalam memastikan sistem perparitan dan penyelenggaraan yang baik dan berkesan. – BERNAMA


IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat. Begitu juga mengenai kerja petik buah.

1 comment:

Anonymous said...

Betul kerajaan pusat perlu ambil tindakkan terutamanya menyelesai isu banjir kerana peruntukkan yang sepatutnya untuk tebatan banjir RM2.6 bil tapi hilang separuh entah ke mana. Dengan kehilangan peruntukkan tersebut menyebabkan banyak projek tebatan banjir tidak dibuat yang menjadi mangsa adalah rakyat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails