Wednesday, November 29, 2017

Hanifpa Maidin Ingin Bangkit Sebagai Pejuang Ateisme.. -Dr Kamarulzaman

Hasil carian imej untuk DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF 


HEBAT sekali rupanya publisiti yang diperolehi oleh Pengerusi KANUN PAN merangkap Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, di dalam isu ateisme ini sehingga menyebabkan beliau mula diberikan dengan gelaran seperti "seorang pejuang ateisme" pula oleh pihak-pihak tertentu.

Bukan setakat portal berita Malaysia Kini sahaja yang mengeluarkan kenyataan Hanipa Maidin ini, tetapi juga portal berita Free Malaysia Today dan portal Malaysia Today, di bawah tajuk eksklusif, “A Muslim’s Defence of Atheists” (“Pemertahanan Seorang Islam Terhadap Golongan Aties”).

Malah, tindakan Malaysia Kini memberi tajuk yang agak mengelirukan kepadanya, iaitu “Deputy Minister, Please Respect My Religious Right”(“Timbalan Menteri, Sila Hormat Hak Beragama Saya”), yang menggambarkan seolah-olah Hanipa Maidin adalah ateis, juga tidak beliau hiraukan.

Peliknya, kenyataan di dalam Bahasa Inggeris Hanipa Maidin ini tidak pula diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh beliau, malah tidak pun disiarkan oleh mana-mana portal berita Melayu yang pro kepada PAN mahupun oleh laman rasmi PAN, AmanahDaily, sendiri.

Sama ada ini adalah strategi untuk menunjukkan kepada khalayak berbahasa Inggeris mengenai keliberalan PAN dan pada masa yang sama untuk mengelakkan keliberalan ini dari diperbualkan oleh khalayak berbahasa Melayu yang lebih konservatif, hanya Hanipa Maidin sahaja yang tahu.

Apa pun, bagi saya, hujah Hanipa Maidin bahawa ateisme dilindungi oleh prinsip kebebasan beragama di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah menyimpang dari fakta sebenar kerana Mahkamah Persekutuan di dalam beberapa keputusannya jelas tidak berpendapat demikian.

Saya sebenarnya sangat hairan bagaimana seorang peguam berpengalaman seperti Hanipa Maidin, yang sebelum menyertai PAN dahulu selalunya akan mengalaskan pendapat perundangan beliau dengan bukti perundangan, gagal untuk melakukan perkara sama di dalam isu ini.

Beliau bukan setakat gagal menjelaskan kenapa, mengikut beliau, pandangan “ateisme bukan satu agama” adalah asing kepada idea perlindungan keperlembagaan, malah gagal menjelaskan kenapa ia adalah asing dengan konsep kebebasan beragama yang terkandung di dalam al-Qur’an.

Jika dulu, sewaktu masih berada di dalam PAS, beliau kelihatan sering mengalaskan hujah kenapa hukuman bunuh ke atas murtad di dalam Islam tidak bertentangan dengan kebebasan beragama dengan cara memberikan bukti seperti ayat al-Qur’an, kenapa pula kini beliau gagal berbuat begitu?

Membaca tulisan Hanipa Maidin mengenai isu ateisme ini dan membanding tulisan ini dengan pelbagai tulisan beliau sewaktu masih berada di dalam PAS akan membuatkan kita di dalam kebingungan: Apa yang sudah terjadi kepada Hanipa Maidin? Ke mana perginya Hanipa Maidin yang dulu?

Hanipa Maidin bukan tidak tahu bahawa yang mula-mula membangkitkan isu ateisme ini ialah rakan beliau sendiri, iaitu Ketua AWAN PAN, Dr Siti Mariah Mahmud, yang meluahkan kegusaran masyarakat kerana kebanyakan yang terlibat dengannya adalah anak-anak muda Melayu.

Bila, seperti disebut oleh Dr Siti Mariah, kebanyakan yang terlibat dengan ateisme ini adalah anak-anak muda Melayu, ini bermakna bahawa anak-anak muda Melayu ini sudah tidak mempercayai adanya Tuhan (murtad), dan ini juga bermakna bahawa ada penyebaran ateisme di kalangan mereka.

Malangnya, Hanipa Maidin, yang sebelum ini begitu lantang sekali memperjuangkan hukuman bunuh ke atas murtad, kini sudah lagi tidak berani untuk memperkatakan mengenai kemurtadan anak-anak muda Melayu ateis ini mahupun mengenai penyebaran ateisme di kalangan mereka.

Sangat menyedihkan sekali jika perubahan sikap Hanipa Maidin ini adalah berpunca kerana mahu dilihat selari dengan pendirian pemimpin parti seperti DAP, atau semata-mata kerana mahu mengekalkan kerusi PAN yang dimenangi di atas tiket PAS, khususnya kerusi Parlimen Sepang.

Kepada Hanipa Maidin, rakan Hanipa Maidin dan pengikut Hanipa Maidin, eloklah jika dapat dibaca dan dihadam kandungan salah satu tulisan Hanipa Maidin yang dulu ini, semoga ia akan perlahan-lahan menemukan kembali seorang pejuang “hukuman bunuh ke atas murtad” yang hilang.

Berikut tulisan Hanipa Maidin, 
SEORANG PEJUANG “HUKUMAN BUNUH KE ATAS MURTAD”

“Hukuman bunuh ke atas orang murtad dikritik oleh undang-undang barat dan juga sesetengah orang Islam sendiri termasuk di dalam negara ini seperti Sisters in Islam tanpa mereka dalam masa yang sama membisu seribu bahasa terhadap hukuman bunuh di dalam negara ini untuk beberapa kesalahan jenayah tertentu seperti kesalahan membunuh, kesalahan mengedar dadah, kesalahan memiliki senjata api yang tidak berlesen, kesalahan melancar peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong (waging a war). 

Untuk kesalahan melancar peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan, hukuman bunuh boleh dikenakan bukan sahaja ke atas mereka yang melancarkan peperangan tetapi juga mereka yang bersubahat dan mencuba (attempt) untuk melancarkan peperangan...”

“Hujah yang menyatakan bahawa Islam tidak menghormati kebebasan beragama dengan mengenakan hukuman bunuh ke atas murtad adalah tidak tepat dan diukur dengan neraca kebebasan agama menurut pengertian orang-orang barat. Islam sebenarnya menghormati kebebasan beragama dengan Allah melarang di dalam Kitab-Nya untuk kita memaksa penganut agama lain untuk memeluk agama Islam (lihat Surah al-Baqarah: 256)... 

Sebaik sahaja beliau telah memasuki agama (Islam) ini beliau terikat dengan segala peraturan yang mengatur agama ini dan beliau tidak boleh kini mengkritik agama ini dengan sesuka hati atau ingin keluar daripadanya. Islam bukan pakaian yang boleh ditukar ganti jika kita tidak menyukai atau menggemarinya...”

“Hukuman bunuh ke atas murtad juga berperanan sebagai deterrent dan juga sebagai pencegah (prevention) kepada merebaknya gejala murtad. Kita boleh membayangkan dan kini telah dibuktikan bahawa kegagalan pihak berkuasa di negara ini mengenakan hukuman bunuh ke atas murtad telah mengakibatkan orang-orang Islam telah begitu berani keluar daripada agamanya tanpa takut dihukum dengan hukuman yang berat sepertimana yang dinyatakan oleh Islam. 

Beberapa undang-undang yang ada di negara ini akibat terlalu longgar telah digunakan oleh orang Islam malangnya untuk menukar agamanya. Akta Pendaftaran Negara mempunyai peruntukan yang terlalu longgar untuk membolehkan orang Islam menukar nama Islamnya kepada nama bukan Islam. Apa yang diperlukan untuk menukar agamanya hanyalah borang permohonan JPN 3/1 yang boleh didapati secara percuma, salinan surat sumpah yang menyatakan bahawa ia tidak lagi ingin menggunakan nama Islam dan permohonan tersebut akan diluluskan...”

“Jika dilihat kepada Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 tiada peruntukan langsung mengenai kesalahn irtidad di dalam akta, tersebut jauh sekali hukuman ke atas murtad. 

Sebagai seorang peguam yang terlibat mengedalikan kes murtad di negara ini, penulis mendapati lacuna (kekosongan) yang terdapat pada akta inilah sedikit sebanyak menjadi punca kepada keberanian orang-orang Islam untuk murtad daripada agamanya seperti yang berlaku ke atas seorang wanita Islam yang bernama Siti Maryam binti Shaikh Mohd yang telah bertukar ke agama Hindu di Wilayah Persekutuan dan menggunakan nama M Tarini (pihak JPN telah meluluskan pertukaran namanya) tetapi sehingga kini pihak Majlis Agama Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah tidak dapat membicarakan beliau di bawah Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana tiada peruntukan bagi mendakwa beliau melakukan kesalahan murtad...”


Lihat sebelum ini..




2 comments:

  1. Puak munafik mempunyai lidah biawak mendakwa mereka beragama Islam tetapi perjuangan mereka membela kemungkaran dan kesesatan untuk menjaga hati puak kafir. Tindakan mereka bertentangan dengan amar makruf nahi mungkar.

    ReplyDelete
  2. Parti liberal dalam Pakatan Tiada Harapan pimpinan kafir harbi adalah pembela kemungkaran, kesesatan dan murtad. Mereka adalah musuh Islam yang jelas kerana mereka menentang ajaran Islam.

    ReplyDelete