Sunday, November 05, 2017

Jom Lawat Lombok, Kereta Kuda Jadi Sumber Pendapatan..


PERKHIDMATAN cidomo sangat popular di Lombok.
BOLA mata bertumpu pada segerombolan kuda yang dilengkapi dengan ruang gerabak berbumbung dan beroda kecil di sepanjang jalan utama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok (LIA) ke bandar Mataram, Lombok di Indonesia.
Kelihatan wajah anak-anak muda berusia dalam lingkungan 20-an duduk dalam posisi mengiring di belakang kuda sambil tangan pantas menggerakkan tali yang disambungkan pada badan haiwan tersebut.
Suasana di bandar Lombok agak sesak apabila kenderaan awam seperti kereta, bas pelancong dan teksi memperlahankan pemanduan gara-gara bagi memberi laluan kepada perjalanan haiwan itu.
Ibarat mengiringi orang kenamaan, cidomo atau kereta kuda yang dijadikan sebagai kenderaan alternatif dalam kalangan penduduk Lombok sejak berdekad lalu.
Cidomo merupakan singkatan daripada perkataan cikar (ditarik oleh kuda), dokar (badan berkayu) dan mobil (tayar kenderaan) manakala penunggang atau pemandunya pula dipanggil kuser.
Seorang pemandu pelancong, Uji Gafar, 49, berkata, cidomo telah membuktikan keunikan budaya masyarakat Lombok serta kehidupan sebenar penduduk setempat wilayah berkenaan yang majoritinya beragama Islam.
“Orang Lombok juga memiliki nilai-nilai budaya unik dengan adanya kemudahan perkhidmatan darat itu. Dahulu, cidomo hanya dapat dilihat di desa-desa seperti di sawah sebagai kenderaan untuk mengangkut padi dan petani.
“Hari ini, ia dijadikan pengangkutan alternatif buat penduduk setempat termasuk kepada pelancong ke Lombok. Cidomo turut menjadi kenderaan utama di Gili Trawangan, Gili Air dan Meno kerana kepulauan kecil ini tidak mempunyai kenderaan selain basikal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Gili Trawangan baru-baru ini.
Menurut Uji, sebahagian masyarakat Lombok yang bekerja sebagai petani, peniaga, pedagang dan pegawai kerajaan kini lebih selesa menggunakan khidmat cidomo kerana harganya lebih murah berbanding kenderaan lain iaitu antara 50,0000 rupiah (RM16) hingga 300,000 rupiah (RM100) bergantung pada jarak perjalanan.
“Setiap cidomo boleh membawa muatan antara dua ataupun tiga penumpang sahaja manakala jarak perjalanannya dianggarkan sejauh satu hingga dua kilometer pada satu-satu masa dan mengikut keadaan kuda.

Kesabaran
 LOMBOK terkenal dengan keindahan panorama pantai dan laut.


“Selain penumpang, kenderaan ini juga digunakan untuk membawa penumpang bersama barangan pertanian, bahan pertukangan seperti batu bata, kayu, pasir dan berupaya menarik sampan dari pesisiran pantai ke darat,” jelasnya.
Tambah beliau, pengangkutan alternatif itu kini menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan penduduk Lombok sekali gus meningkatkan sektor pelancongan Indonesia.
Dalam pada itu, seorang kuser di Gili Air, Asrul Hadi, 27, menceritakan, setiap penunggang kuda perlu mempunyai minat dan kepakaran mengendalikan sekurang-kurangnya seekor kuda.
Dia yang baru setahun bekerja berkata, pekerjaannya itu sememangnya mengajar erti kesabaran dan nilai kehidupan sebenar sebagai seorang pencinta haiwan tersebut.
“Saya dibesarkan dengan kuda sejak usia tiga tahun. Di rumah sehinggalah ke sekolah, saya dibawa menunggang kuda. Tanyalah apa sahaja tentang kuda mahupun kecederaan akibat ditendang kuda, saya sudah mengalaminya banyak kali.
“Selain minat, dengan pekerjaan ini saya dapat menyara keluarga yang kini menetap di Mataram,” ujarnya yang pulang ke kampung setiap hujung bulan.
Menurut Asrul, dia memperoleh pendapatan sekitar kira-kira 300,000 rupiah (RM100) sehari. Namun, dia perlu berkongsi bersama majikan dan kuda tunggangannya yang diberi nama Jaguh.
Ubah kehidupan

 KHIDMAT Abdul menukar pelapik kaki kuda ditagih oleh kebanyakan kuser di Lombok.


“Pendapatan harian atau bulanan juga bergantung kepada jumlah pelancong yang datang ke Gili Air. Kadang-kadang, saya dapat RM15. Itu pun perlu dibahagi tiga termasuk membeli makanan kuda iaitu rumput setiap hari.
“Ramai anak muda yang berasal dari Lombok bekerja sebagai kuser dan mereka menganggap pekerjaan ini dapat mengubah kehidupan mereka dan keluarga,” ujar lelaki berbadan kecil dan berambut panjang itu.
Beritahu Asrul lagi, perkhidmatan cidomo kini menjadi pilihan pelancong sebagai kenderaan utama membawa mereka ke hotel mahupun bersiar-siar mengelilingi pulau berkenaan.
“Memang terdapat beratus-ratus cidomo dengan pemilik yang berbeza-beza di Gili Air tetapi ia rezeki masing-masing. Lombok merupakan pulau tanpa kenderaan dan terdapat cidomo dan basikal sewa sahaja. Justeru, perkhidmatan cidomo sentiasa menjadi pilihan pelancong dan penduduk setempat dalam menjalani rutin harian mereka,” tambahnya.
Menurut seorang lagi rakan Asrul, Bahari Abdullah, 27, sebelum ini dia pernah bekerja di ladang kelapa sawit di Malaysia iaitu di Negeri Sembilan selama setahun.
Bagaimanapun, dia terpaksa pulang semula ke kampung halamannya di Lombok Tengah menggunakan ‘laluan gelap’ berikutan ketiadaan permit pekerjaan yang sah.
“Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang kuser kerana saya langsung tidak pandai menunggang kuda. Pendapatan yang saya peroleh juga agak kecil berbanding ketika bekerja di Malaysia. Tetapi, saya mula meminati kerjaya ini setelah mengikuti kenalan saya ke Gili Air.
“Selepas seminggu menumpang di rumah sewa seorang rakan, saya mula belajar menunggang kuda. “Pekerjaan ini memang agak mencabar selain terpaksa berdepan dengan kerenah kuda dan penumpang,” katanya yang sudah lima tahun bekerja sebagai kuser.
Sementara itu, cerita seorang tukang sepatu kuda, Abdul Hanan, 60, kehadirannya ke Gili Air setiap seminggu dalam sebulan semata-mata untuk memberi perkhidmatan membaiki kaki kuda termasuk memotong kuku haiwan tersebut.
Bapa kepada enam cahaya mata itu dikatakan menjadi individu terpenting kepada kuser-kuser di kepulauan berkenaan sejak dua dekad lalu kerana tidak ramai yang mempunyai kepakaran membaiki kuda sepertinya.
“Kerja saya bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Saya hanya mengambil masa selama lima minit untuk membaiki kaki kuda dengan upah 40,000 rupiah (RM13). Kaki seekor kuda perlu dibaiki enam kali sehari.
Pakar


MATARAM adalah bandar utama di Lombok.

“Saya bersyukur dikurniakan kepakaran dalam bidang ini kerana ia dapat menambah sumber pendapatan demi membesarkan anak-anak,” ujarnya yang berbekalkan peralatan seperti tukul, kacip, pisau dan besi kaki kuda untuk melunaskan tugasnya.
Bercerita mengenai kerjayanya itu, Abdul Hanan menjelaskan, pelbagai cabaran pernah ditempuhinya sepanjang berkhidmat sebagai tukang sepatu kuda.
“Selain perlu banyak bersabar dengan kerenah kuda, kita juga mesti bijak mengawal perasaan haiwan itu. Lihat kedua-dua tangan saya ini, ada banyak kesan parut jahitan akibat cedera ditendang kuda.
“Bukan itu sahaja, saya pernah terpelanting sejauh tiga meter semasa hendak memotong kuku kuda. Namun, saya tidak serik dengan kerjaya ini dan menganggap ia adalah sumber rezeki yang halal,” katanya. (Kosmo!)



giant-hypermarket5 Pasaraya Giant 
Akan Ditutup Serentak 5 November Ini..
Ini Solosi pekerjanya!
Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat. Begitu juga mengenai kerja petik buah.

No comments:

Post a Comment