Wednesday, November 29, 2017

Ruang PKR Untuk Kembali Bersama PAS?



SEHINGGA kini, PAS masih dengan keputusan Majlis Syura Ulamak dan sokongan sebulat suara ahli dalam Muktamar 2017, bahawa tiada apa-apa lagi di antara PAS dan PKR. Tiada sebarang perubahan strategi yang diumumkan oleh PAS berkenaan hubungan dengan PKR selepas daripada itu, sama ada di peringkat nasional, negeri ataupun parlimen tertentu.


Namun di pihak PKR, masih terdapat beberapa pihak yang melihat keperluan untuk bersama PAS. Mereka mengakui kekuatan PAS yang kian meningkat terutama di kalangan pengundi muda dan pengundi atas pagar kalangan kaum melayu. Dapatan-dapatan Merdeka Centre, IDE dan kajian dalaman setiap parti membuktikan perkara sedemikian. Membuatkan mereka mahu tidak mahu terpaksa mendekati PAS kembali akhirnya.

KEMELUT PKR

Kini, PKR berbelah bahagi. Anggota mereka pening dalam menentukan hala tuju PKR. Jika mereka masih dengan PH, mereka akan kehilangan banyak sokongan muslim kerana DAP yang menunjukkan sikap anti-Islamnya membuatkan melayu semakin menjauhi semua yang bersekongkol dengan DAP. Kemasukan ahli-ahli melayu kepada DAP tidak mampu menjelirakan orang melayu untuk menerima DAP melainkan 2 ke 3 peratus mereka yang berfikiran liberal sahaja.

Anggota PKR sedar hakikat ini, tetapi pucuk pimpinan parti itu kini dikuasai oleh kem yang telah dipegang oleh DAP. Mereka cuba sedaya upaya menyingkirkan pihak yang sanggup menjadi kuda DAP ini, tetapi sistem pemilihan kepimpinan PKR yang terlalu pelik (satu ahli satu undi) menyebabkan manipulasi pemilihan berlaku.

Kepimpinan yang ada sekarang adalah kepimpinan yang dilantik sejak 2014, yang menyaksikan proses pemilihan berjalan hampir setahun kerana terlalu banyak kepincangan berlaku sepanjang proses pemilihan. Sehingga kini, mereka belum berani membuat pemilihan bimbang kedudukannya tergugat.

Secara mudah, kita boleh bahagikan PKR kepada dua kem. Kem yang menyebelahi DAP dan kem yang menyebelahi PAS. Sebenarnya di bawah setiap kem ini masih terdapat klik-klik kecil yang lain. Di samping itu, terdapat juga PKR yang independen, tidak PH dan tidak PAS. Lebih memihak kepada PSM tetapi terlalu minoriti.

APA PERLU PKR BUAT?

Khusus bagi pihak yang masih menyedari kepentingan untuk bersama PAS, mereka sebenarnya masih ada jalan. Jika dilihat antara punca PAS berputus dengan PKR adalah kerana mereka lebih menyebelahi DAP daripada PAS, sehingga merugikan PAS. Presiden PAS juga telah menegaskan, PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP dan mana-mana pihak yang bersekutu dengan DAP. Maksudnya, DAP menjadi sebab kenapa PAS dan PKR berpecah.

Kalau PKR yang pro-PAS setakat berjumpa dengan PAS untuk mengadakan kerjasama atas alasan-alasan kebaikan dua penjuru semata-mata, mustahil PAS akan menerima. PAS sudah mempertimbangkan kemungkinan tiga penjuru sebelum daripada memutuskan tahaluf dengan DAP lagi tahun 2015.

Apa yang perlu mereka lakukan, adalah bersikap lebih vokal untuk memberikan pandangan kontra kepada kepimpinan tertinggi mereka. Nyatakan dengan berani bahawa mereka tidak bersetuju untuk terus mengadakan hubungan DAP. Gerakkan akar umbi yang banyak kecewa dan menjadi pasif selepas pemilihan 2014. Bina jatidiri PKR sebagai parti independen dan memiliki kekuatan teras.

PKR juga perlu dilihat tegas dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam supaya tidak dilihat terikut dengan ideologi DAP. Perlu berani nyatakan pandangan tersendiri, walaupun berbeza dengan DAP. PKR bukan seperti PAN yang ditaja oleh DAP. Justeru apa yang perlu ditakutkan sangat sampai semua pendirian mereka perlu mengikut telunjuk parti cauvinis itu.

NYAHKAN PRO-DAP

Mungkin mereka memikirkan sukar untuk berbuat demikian kerana mereka juga menumpang sokongan DAP terutama kalangan non-muslim. Tetapi sedarkah mereka, sokongan non muslim kini semakin lemah kepada DAP?

Strategis DAP, Liew Chin Tong sebelum ini menyatakan bahawa sokongan cina kepada DAP kini sudah jatuh sehingga ke 65%. PRU13 Dahulu mereka capai sehingga 85-90% sokongan. Kenyataan Liew Chin Tong itu adalah sebelum berlaku tanah runtuh dan banjir besar di Pulau Pinang. Sekarang, kemungkinan besar tidak sampai 65% pun.

Justeru PKR perlu mengkaji kembali apakah masih relevan untuk terus bergayut kepada DAP. Kalau cina pun sudah menolak DAP, apa lagi yang masih diharap kepada parti tersebut? Silap haribulan, PKR akan ikut lingkup sekali dengan DAP.

PKR masih ada kelebihan tersendiri. Mereka lebih dilihat parti yang multi-racial berbanding parti-parti lain. Walaupun PAS tidak memilih kaum, tetapi persepsi kaum Cina majoritinya masih negatif kerana diracun oleh DAP. DAP pula walaupun bukan parti kaum, dominasi Cina di dalamnya menyukarkan masyarakat membuang stigma perkauman.

Kini PKR perlu meneroka segmen pengundi tersendiri. Mereka perlu mengambil peluang merebut kira-kira 30% cina yang sudah hilang sokongan dari DAP. Jika tidak, kemungkinan cina ini akan kembali kepada BN, ataupun berkecuali.

MAHATHIR LIABILITI

PKR juga perlu mengambil peluang merebut sokongan melayu di kalangan bekas penyokong Umno. Sikap mereka yang berbaik dengan Mahathir adalah satu kesilapan besar. Bekas ahli Umno yang pro-reformasi menolak parti tersebut kerana Mahathir. Semakin mereka merapati Mahathir, semakin orang melayu menjauhi PKR.

Kenyataan terbaru Mahathir yang negatif terhadap Anwar mungkin menjadi turning point yang baik untuk PKR mengkaji kembali hubungan mereka dengan Mahathir. Orang tua itu sehingga kini masih tidak mengakui kesalahannya terhadap Anwar. Jangan sampai Najib pula yang memanipulasi isu ini untuk menarik Anwar dan otai-otai reformasi.

Muhyiddin juga perlu berani bertindak sekarang. Kita tahu sehingga kini beliau dan penyokongnya masih tidak senang dengan hegemoni Mahathir di dalam parti tersebut. PPBM sepatutnya lebih independen, tidak tunduk di bawah PH yang dikuasai DAP. Idea Mahathir ini hanya akan menjauhkan PPBM daripada orang melayu. Lihatlah sekarang, seorang demi seorang penaja parti tersebut meninggalkan.

Mahathir dah mula cari pasal dengan semua orang. Sampai memainkan sentimen kabilah. Kerana nak serang Najib, habis semua Bugis dihalaunya dari Malaysia. Sultan Selangor murka. Sultan Johor terasa. Bukankah Muhyiddin juga Bugis? Bukankah kubu kuat PPBM di Johor, di mana ramai mereka adalah Bugis? Kenapa sampai ke situ menghina Bugis?

Mahathir kini bukan setakat buat orang melayu marah, tetapi cina juga menjauhi PH. Lupakah kisah bagaimana perwakilan DAP dalam perhimpunan mereka tahun lepas menghentam Lim Kit Siang yang cuba rapat dengan Mahathir? Kini, seorang demi seorang anggota DAP melarika diri.
DAP liabiliti dalam konteks melayu. Mahathir liabiliti dalam konteks Cina.

POLITIK WANG

Walau bagaimanapun, kita sangat memahami sekatan untuk mereka memulakan langkah berani itu. Semuanya hanya kerana fulus. Kalau mereka lawan Mahathir, mereka akan kehilangan sumber dana. Samalah kalau lawan DAP, mereka hilang dana. Bila tiada dana, tiadalah lagi umpan mereka untuk mempengaruhi jentera di bawah.

Nak buat macam mana. Negara sudah diajar terlalu lama dengan politik wang ini. Sampai bila jadi pembangkang pun masih tak dapat nak kikis perangai itu dalam politik. Inilah ujian sebenar siasah. Harta dan takhta.

Sebab itulah, PAS bersungguh bawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Untuk buang budaya politik jahiliah yang sudah berpuluh tahun menguasai Malaysia. Politik sebegini tidak ada untungnya kepada demokrasi. Politik jahiliah hanya akan menyuburkan politiking, membelakangi kepentingan agama dan rakyat.

Sudah sampai masanya Malaysia keluar dari kepompong politik konvensional. Rakyat sekarang semakin meluat dengan politik disebabkan budaya-budaya tidak sihat dalam politik. Bukan salah politik kerana politik juga sebahagian dari ajaran Islam. Tapi salah orang politik yang tidak mengamalkan Islam dalam berpolitik.

PAS SUDAH SELESA DENGAN KEADAAN

Kesimpulannya, sebelum mendekati PAS, jauhi diri dahulu daripada DAP. Bina kekuatan sendiri dan belajar untuk menyokong perjuangan PAS. Barulah ada modal untuk berunding dengan PAS. Jika setakat bergantung kepada status-quo sekarang, atau bermodalkan kenangan-kenangan manis lama yang sudah jauh ketinggalan dengan perkembangan semasa, tidak ada apa-apa yang mampu merasionalkan PAS untuk kembali bekerjasama.

Jangan bimbang. Seperti yang ditegaskan oleh Presiden dan juga Majlis Syura, PAS masih sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, asalkan menguntungkan Islam. PAS dilihat positif kepada Umno dalam beberapa sudut adalah atas isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam. Maka tidak mustahil parti-parti lain juga boleh bersama PAS, jika mereka meletakkan kepentingan kepada Islam. PAS menolak DAP pula kerana mereka merugikan dan menghalang agenda Islam Maka kerana itulah PAS menolak semua pihak yang bersekongkol dengan DAP.

Walau bagaimanapun, seperti ditegaskan di awal tulisan ini, setakat ini PAS masih belum punya apa-apa pendirian yang berbeza dari keputusan muktamar dan Majlis Syura. Dan PAS cukup selesa dengan keadaan sekarang. Membina kekuatan tersendiri atas muafakat GAGASAN. Berkecuali dari BN dan PH. Fokus untuk mencapai misi King-Maker menerusi PRU14. Tidak terikut dengan rentak BN mahupun PH.

Dengan pendekatan baru politik tanah air ini, penerimaan awam kalangan orang melayu kepada PAS meningkat dengan mendadak mengatasi BN. Dan graf sokongan PAS semakin meningkat hari demi hari. Bermakna langkah yang PAS ambil sekarang adalah tepat.

Justeru, PKR perlu bekerja lebih gigih supaya dilihat ada nilai dalam politik Malaysia. PKR yang tidak dibayangi DAP. PKR yang berdiri atas ideologi perjuangan sendiri. PKR yang memiliki penyokong teras tersendiri. Nilai-nilai inilah yang mungkin boleh digunakan sebagai bargaining power untuk berbincang dengan PAS.

Jumpa lagi PKR. Semoga berjaya.

Alang Ibn Shukrimun
9 Rabiul Awwal 1439 / 28 November 2017

Lihat sebelum ini..

4 comments:

Quantum Metal Consultant said...

Siapa merayu siapa ni?
Siapa pancing siapa ni?

Alang ni pun lebai slow learner jugek ko?

Anonymous said...

Kalau makan dedak roket , otak barua terus mati jadi zombie.

capriokerr said...

saya sangat suka dgn bahasa indah oleh org pas.ini adalah ajaran ustaz2 yg suci murni.

baguslah bahasa begini patut ramai anak pentaksub disekolah guna bahasa yg indah seperti diatas.
ini anak pas yg kurang di ajar.

Anonymous said...

Saya sangat kagum membaca komen-komen tulisan macai-macai ternakan pakatan haprak pimpinan kafir harbi yang penuh dengan bahasa maki hamun dan fitnah terhadap ulama Islam dan parti Islam. Oleh sebab itu macai dedak roket 4:01 pm janganlah berpura-pura terkejut jika bahasa longkang kamu dijawab dengan bahasa sastera. Memberi sejambak bunga kpd kamu macai adalah seperti memberi bunga kepada kera.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails