Monday, December 04, 2017

13 Perkara, Bila A/Hadi, K/Ulama Islam Sedunia, I/Muslimin Dilebel Pengganas..'

'Bahaya Menanti Ikhwan Muslimin'


1. MENGEJUTKAN sekali tidak sampai tiga hari Arab Saudi mengisytiharkan Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang turut dipimpin Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pertubuhan pengganas, serangan bom berskala besar telah meledak di bumi Mesir.

2. Pada hakikatnya, serangan berdarah di Mesir ini hanyalah satu daripada lapan peristiwa geopolitik semasa yang boleh mengundang fitnah dan bencana besar ke atas gerakan Islam yang berpengaruh di dunia, iaitu Ikhwan Muslimin. 

Ikhwan Muslimin sememangnya sejak sekian lama terkenal sebagai gerakan Islam yang dimusuhi Arab Saudi kerana perjuangan politik Islam tanpa kompromi terhadap order ‘Petrodollar’ yang didominasi Amerika Syarikat.

3. Selain peristiwa tindakan Arab Saudi melabel Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengganas dan peristiwa pengeboman di Mesir, enam peristiwa lain yang boleh menggugat Ikhwan Muslimin ialah pengukuhan kuasa Putera Mahkota Mohammad Bin Salman di Arab Saudi, ura-ura kerjasama Arab Saudi-Israel, broker perdamaian Hamas-Fatah di Palestin yang dilakukan oleh sekutu Arab Saudi iaitu UAE, penerusan pemulauan Qatar oleh Arab Saudi dan sekutunya, serangan peluru berpandu Houthi yang disokong Iran ke Riyadh, serta masalah dalaman di Turki yang menanti masa menggugat Erdogan.

4.Mesir ialah antara destinasi di mana pengaruh Ikhwan Muslimin kuat bertapak, selain daripada di beberapa negara lain seperti Qatar, Turki, dan Palestin. Maka tidak menghairankan sebenarnya apabila serangan sewaktu Solat Jumaat yang mengorbankan lebih 200 nyawa di Mesir Jumaat baru-baru ini segera dituduh sebagai didalangi ‘pengganas’ – suatu istilah yang kini secara langsung ditujukan kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia. 

Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dituduh sebagai pertubuhan pengganas pada hakikatnya turut dianggotai sarjana terkemuka Ikhwan Muslimin seperti Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

5. Perlu diketahui sebelum ini gelaran ‘pengganas’ serta ‘pemberontak’ sering digunakan pemerintah Mesir semasa terhadap Ikhwan Muslimin selepas tentera pimpinan Jeneral al-Sisi merampas kuasa daripada Presiden Mohammed Morsi yang memenangi pilihan raya secara demokratik atas tiket dan sokongan Ikhwan Muslimin.  Mesir pada hari ini adalah sekutu kuat Arab Saudi.

6. Qatar yang juga merupakan antara sekutu Arab Saudi dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebelum ini telah dipulau kerana melindungi beberapa tokoh gerakan Ikhwan Muslimin, termasuklah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

7. Apabila Arab Saudi menekan Qatar, maka secara tidak langsung Ikhwan Muslimin telah turut terjejas.  Siapa individu di sebalik dasar luar Arab Saudi ini? Tidak lain tidak bukan Putera Mohammad Bin Salman yang kini telah mengukuhkan kuasanya di istana Arab Saudi. 

Beliau bukan sahaja menyingkirkan beberapa putera yang boleh menyaingi beliau untuk mewarisi takhta pemerintahan Arab Saudi kelak, bahkan sudahpun berjaya menguasai pelbagai posisi strategik seperti sektor keselamatan dan ekonomi.

8. Pastinya sebagai bakal pewaris takhta Arab Saudi, Putera Mohammad Bin Salman akan melihat gerakan seperti Ikhwan Muslimin sebagai ancaman pada masa hadapan di mana anak muda Saudi kini terdedah dengan idea-idea politik luar menerusi perkembangan teknologi semasa. 

Ikhwan Muslimin bukan sahaja berpengaruh dari segi gerak kerja di lapangan, tetapi juga dalam ‘berdakwah’ menyebarkan idea perjuangan mereka dalam pelbagai saluran media.

9. Sememangnya ada khabar yang bertiup kencang bahawa Arab Saudi kini mulai bekerjasama dengan musuh ketat dunia Arab, dunia Islam, dan Ikhwan Muslimin sendiri, iaitu Israel. 

Meskipun tuduhan sedemikian dinafikan Arab Saudi, namun bacaan percaturan politik semasa tidak menguntungkan buat Ikhwan Muslimin sekiranya benar Riyadh menjalinkan kerjasama tidak rasmi dengan Israel terutama sekali dalam hal ehwal perisikan, persenjataan, dan pencegahan.

10. Israel tentunya masih mengingati apa yang mampu dilakukan Ikhwan Muslimin terhadap penguasaan mereka ke atas bumi Palestin dan Baitulmaqdis sewaktu Presiden Morsi memimpin Mesir dalam tempoh yang singkat 2012-2013 yang lalu. 

Hamas iaitu cabang Ikhwan Muslimin di Palestin yang berjuang menentang Israel bukan sahaja mendapat sokongan yang kuat, bahkan berjaya melindungi Gaza sewaktu Morsi berkuasa. Maka pastinya Israel akan cuba untuk memanipulasi permusuhan Arab Saudi-Ikhwan Muslimin demi kepentingan mereka.

11. Perkembangan semasa perdamaian Fatah-Hamas juga perlu diawasi secara terperinci dari segi impaknya kepada kepentingan jangka panjang Ikhwan Muslimin.  Hal ini demikian kerana broker perdamaian tersebut iaitu Mohammed Dahlan adalah individu yang direstui UAE, iaitu sekutu kuat Arab Saudi. 

Secara mudahnya, kerajaan campuran Palestin antara Hamas-Fatah kelak pastinya akan lebih cenderung kepada pengaruh Arab Saudi dan bukannya Ikhwan Muslimin sekiranya pelan pembentukan kerajaan campuran Palestin ini tidak dinilai secara mendalam.

12. Turki di bawah kepimpinan Erdogan juga adalah merupakan antara kuasa yang selesa dengan Ikhwan Muslimin.  Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan kerjasama Turki-Iran-Rusia dalam menstabilkan Syria selepas menewaskan Daesh di sana, serta kejayaan Erdogan mengukuhkan kuasa beliau selaku Presiden Turki beberapa bulan lalu, Ankara akan berterusan berhadapan masalah dalaman bukan sahaja daripada isu Kurdish, tetapi juga saki-baki gerakan Fethullah Gulen. 

Malah para pemberontak Daesh juga masih menghadirkan ancaman ke atas kestabilan Turki dalam jangka masa panjang.  

13. Serangan peluru berpandu berterusan puak Houthi ke Riyadh, Arab Saudi juga menggugat keupayaan Ikhwan Muslimin untuk menguatkan pengaruh mereka dalam kalangan warga Arab Saudi dan juga di negara-negara sekutunya seperti UAE, Bahrain, dan Kuwait. 

Hal ini demikian kerana serangan berkenaan dilihat sebagai ancaman yang didukung Iran – iaitu kuasa Parsi yang majoriti daripada lebih 80 juta populasinya menganut fahaman Syiah dan sekian lama dianggap mencabar dominasi Islam versi Sunni. 

Hasilnya, Arab Saudi dan negara sekutunya akan dilihat sebagai wira pelindung kepada Islam versi Sunni dalam menghadapi ancaman Iran yang Syiah, apatah lagi dalam keadaan dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah yang kini berada dalam naungan Arab Saudi.

Kesimpulannya, gabungan lapan perkembangan geopolitik semasa yang telah dikupas ini tidak kondusif sama sekali buat gerakan Ikhwan Muslimin.

*ABDUL MUEIN ABADI, 
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Lihat sebelum ini..


1 comment:

Anonymous said...

Pemimpin-pemimpin Arab ternakan rejim Israel dan Amerika adalah lembu dedak yang dicucuk hidung. Pemimpin Zionis menggunakan barua-barua ini untuk menindas pejuang-pejuang Islam Arab yang menentang kezaliman dan kejahatan rejim Zionis Yahudi. Kitab Talmud Yahudi melabelkan manusia bukan Yahudi sebagai Goyim (haiwan ternakan). Malangnya terdapat Goyim dungu di Msia berusaha merayakan Jubilee Israhell !

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails