KUALA LUMPUR – Dakwaan kerugian AS$39.6 bilion (US$1= RM4.07) antara 2013 dan 2015 sebenarnya adalah jumlah yang mencerminkan penurunan dalam rizab antarabangsa akibat aliran keluar dana asing dan bukan kerugian disebabkan dagangan pertukaran wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, ini bertentangan dengan tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu siaran video di laman web video popular.
“Aliran keluar ini disebabkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang lemah, jangkaan dasar normalisasi monetari Amerika Syarikat dan penurunan mendadak harga minyak global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua faktor luaran ini telah mendorong pelabur asing untuk mencairkan pelaburan mereka di pasaran saham dan bon Malaysia, yang membawa kepada permintaan yang lebih besar terhadap dolar AS berbanding ringgit apabila pelabur asing menukarkan dana sedemikian ke dalam dolar AS dan menghantar semula jumlah yang sama ke negara masing-masing.
“Sepanjang tempoh ini, BNM menyediakan kecairan dolar AS kepada pelabur asing sebagai pertukaran kepada ringgit dan ini tentunya berbeza dengan aktiviti perdagangan pertukaran wang asing yang dilakukan pada awal 1990-an,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh ini, aliran keluar modal bukan sahaja unik kepada Malaysia tetapi juga menjejaskan pasaran baru muncul seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, India, China, Korea Selatan, dan Taiwan.
Sambil memuji sistem pengurusan rizab semasa oleh BNM, Johari berkata, pada pandangannya, ia telah berjalan dengan baik dan pasaran kewangan teratur dan stabil walaupun aliran keluar modal yang besar.
“Berikutan asas ekonomi kita yang kukuh, penurunan rizab dalam tempoh 2013-2015 tidak memberi kesan penting terhadap fungsi ekonomi Malaysia serta kedudukan kewangan bank pusat,” katanya.
Johari berkata, BNM sebenarnya terus mencatat keuntungan bersih yang sihat sepanjang tempoh itu, tidak seperti pada 1993 apabila kerugian operasi bersih dicatatkan disebabkan aktiviti perdagangan pertukaran wang asing spekulatif.
“Saya perlu menekankan bahawa rizab antarabangsa kekal sebagai penampan penting terhadap kejutan luar dan penting dalam mengekalkan persekitaran operasi yang stabil dalam ekonomi domestik. Sejak itu, rizab antarabangsa Malaysia telah meningkat,” katanya.
Beliau berkata, pada akhir November 2017, rizab antarabangsa negara berjumlah AS$101.9 bilion dan mencukupi untuk menyokong 7.5 bulan import tertangguh.
“Jumlah rizab semasa adalah lima kali lebih besar daripada US$21.7 bilion yang dicatatkan pada 1997 yang hanya boleh menyokong 3.4 bulan import tertangguh,”katanya.
Johari juga mengutuk sindiran yang dibuat dalam video tersebut bahawa BNM telah lalai dalam menguruskan rizab antarabangsa semasa tempoh 2013-2015, menggambarkannya sebagai bukan sahaja melulu tetapi juga cubaan untuk melemahkan mandat institusinya untuk menjaga kestabilan ekonomi dan kewangan negara dengan mewujudkan keraguan dan salah tanggapan di kalangan masyarakat umum.
“Muslihat seperti itu berpotensi untuk terus memecah-belahkan kita. Demi kepentingan semua rakyat Malaysia, adalah lebih baik kita bekerjasama untuk menghasilkan ekonomi yang mantap dan mampan bagi kepentingan generasi masa depan kita,” tambahnya. – BERNAMA
Lihat sebelum ini..
- Rumah Siapa Ini? Rumah MB?
- Dia Yang Duduk Di Kerusi Buruk Ini, Diiktiraf Peng...
- Ini, Penerima Rasuah RM90J? Lihat Rumahnya Sedang ...
- Mengapa Dengan Lebai Tua Yang Kononnya Tidak Profe...
No comments:
Post a Comment