Monday, December 04, 2017

Mengembara Ke 30 Negara, Mula Bersama Jamaah Tabligh..

 SHEIKH Lokman Shazly sewaktu kembara ke Jepun sambil berdakwah. FOTO Ihsan pembaca.


Kuala Lumpur: Mengembara sambil melakukan aktiviti ekstrem bukan sesuatu yang pelik namun apabila disulami bacaan al-Quran sudah pasti pengembaraan itu bertambah unik.
Itulah keistimewaan Sheikh Lokman Shazly Azlanii Zaharin, 46, pengembara yang gemar melakukan aktiviti lasak dan ekstrem seperti memanjat gunung, menyelam di dasar laut dan luncur udara.
Uniknya dia menyampaikan syiar Islam dengan cara tersendiri apabila membudayakan bacaan al-Quran sepanjang penjelajahannya ke 30 negara antaranya Thailand, Sri Lanka, Jepun, Filipina, China, Taiwan, Korea Selatan, India, Pakistan, Nepal, Australia, Yaman, Turki, Arab Saudi, Qatar, Afrika Selatan, Greece, Itali dan United Kingdom.
Menurut Sheikh Lokman Shazly, aktiviti kembara sambil beramal itu bermula sejak usianya 18 tahun ketika mengikuti satu kumpulan jemaah tabligh melakukan kembara menyebarkan syiar Islam ke India dan Pakistan.

"Sejak di bangku sekolah menengah lagi saya suka mengembara dan melakukan aktiviti lasak. Misalnya semasa tingkatan tiga saya menjelajah seluruh Kelantan dengan basikal saja dan pada usia 16 tahun saya sudah berjaya menawan puncak Gunung Tahan, Pahang.
“Selepas tamat tingkatan lima, berbekalkan bantuan kewangan dan dorongan ahli keluarga, buat kali pertamanya saya melakukan pengembaraan ke India dan Pakistan bersama sekumpulan jemaah tabligh selama empat bulan sebelum akhirnya menyambung pengajian di sebuah madrasah di Pakistan selepas itu.
“Sepanjang pengembaraan itu, saya menggunakan masa terluang dalam kereta api sambil membaca dan menghafal al-Quran serta pernah membaca sepuluh juzuk al-Quran dalam solat sunat dalam kereta api yang bergerak 30 jam,” katanya.



Menurutnya, sejak itu dia mula mengembara secara solo dan pernah mencipta rekod peribadi khatam al-Quran sepanjang penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Turki pada 2014 serta dua tahun lalu dari Kuala Lumpur ke Afrika Selatan.
“Menjelajah dunia melihat keindahan tempat orang sambil membaca al-Quran adalah impian saya sejak dulu lagi kerana saya percaya kata ilmuan apabila kita membaca sambil mengembara, insya-Allah muka bumi, lautan dan langit tempat kita perdengarkan ayat suci itu akan mendoakan kita dan menjadi saksi di akhirat nanti.
“Jika boleh, saya mahu mengembara seberapa banyak negara dengan sasaran 100 negara dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Selain itu, sepanjang penjelajahan saya tidak akan lepaskan peluang memanjat gunung, diving (menyelam di dasar laut) dan paragliding (luncur udara),” katanya.
Katanya, banyak pengalaman baru ditimba sepanjang dia mengembara ke merata dunia antaranya menjadi duta kecil mengenai Islam kepada orang bukan Islam di negara persinggahannya.
“Saya buat begini (mengembara sambil beramal) bukan mahu diiktiraf mahupun menunjuk-nunjuk, tetapi menggambarkan bahawa Islam itu mudah dan tidak jumud.
“Kadang-kadang saya berkenalan dengan rakan bukan Islam yang bertanya pasal Islam dan peluang itu saya gunakan bagi menerangkan serba sedikit apa yang termampu.
“Saya juga banyak mempelajari bahasa asing, selain penguasaan bahasa Inggeris saya juga fasih berbahasa Arab, Urdu dan Poshto yang bagi saya banyak membantu sepanjang pengembaraan serta menimbulkan kemesraan apabila boleh bertutur dalam bahasa mereka,” katanya.

 SHEIKH Lokman Shazly merakam kenangan bersama jerung paus di Oslob di perairan Cebu, Filipina. FOTO 

Bapa kepada lapan anak yang juga pengasas Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia berkata, dia mengembara dua bulan sekali sama ada secara solo mahupun berkumpulan bersama rakan, keluarga serta pelajarnya.

“Biasanya saya akan mengembara secara solo ala backpacker kerana kosnya lebih murah dan mudah untuk bergerak. Saya juga melakukan rujukan terlebih dulu sebelum mengunjungi negara yang hendak dilawati bagi memudahkan perjalanan,” katanya.
“Susulan itu, pada 2013 saya mewujudkan Program al-Quran Bergerak dalam usaha memperkenalkan kalam Allah itu di merata dunia dan sejak itu membuka peluang kepada keluarga, kenalan dan pelajar mengikuti pengembaraan saya.
“Saya harap pengalaman saya ini akan membakar semangat orang lain terutama keluarga dan pelajar saya supaya ada visi sama,” katanya yang bakal memulakan misi sama ke negara Asia Tengah dan Russia, Mac tahun depan. (myMetro)


Lihat sebelum ini..



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails