Sunday, December 17, 2017

Qur’an, Sunnah, Ijma’ &Qias, Wajib Sokong...



Isu DAP Jadi PM : Kenyataan Tegas Presiden PAS Wajar Disokong – Dr Kamarul

HANGAT nampaknya dibincangkan isu kemungkinan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah ia ditimbulkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 9 Disember lalu.

Hari ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga mengulas perkara yang sama di dalam akhbar Berita Harian dengan menekankan betapa PAS, sebagai sebuah parti politik Islam, menolak pemimpin bukan Islam sebagai Perdana Menteri kerana ia “bercanggah dengan realiti di Malaysia yang mana konsep negara Islam mestilah Islam itu berkuasa”.
Tidak seperti pemimpin AMANAH seumpama Pengerusi Biro Undang-Undangnya, Mohamed Hanipa Maidin, yang secara terbuka mendedahkan impian untuk melihat Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri, jelas sekali pendirian PAS dalam perkara ini adalah sangat konsisten.
Malah, dua bekas pemimpin tertinggi PAS yang sering diwarwarkan oleh pemimpin AMANAH sebagai idola mereka, iaitu Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga berulangkali direkod menyatakan perkara sama, contohnya ialah kenyataan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz pada 26 Mei 2012 yang menyebut “negeri Islam maka orang Islamlah pegang”.
Pendirian PAS ini bukanlah satu perkara yang pelik kerana, sebagai sebuah parti politik Islam, PAS meletakkan al-Qur’an, al-Sunnah, ijma’ dan qias sebagai sumber kekuasaannya, dan larangan mengambil bukan Islam sebagai ketua jelas tertera umpamanya di dalam Ayat 139 Surah al-Nisa’, Ayat 118 Surah al-‘Imran dan Ayat 1 Surah al-Mumtahanah.
Di pihak DAP pula, walaupun pemimpin seperti Lim Kit Siang pernah beberapa kali menafikan berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri, mereka pada masa yang sama berulangkali menyebut mengenai peluang untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, contohnya ialah kenyataan Teo Nie Ching pada 24 Januari 2017 yang menyebut “satu hari nanti kita akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu”.
Malah, jika diteliti kepada tema ucapan para pemimpin DAP, termasuk yang termuat di dalam buku Lim Kit Siang bertajuk “Time Bombs in Malaysia”, satu perkara yang konsisten adalah hasrat mereka mahukan kawasan pilihan raya di negara ini disempadankan dengan menggunakan prinsip “satu orang satu undi” (“one man one vote”) yang tentunya akan menggandakan jumlah kerusi bandar.
Saya sendiri mempunyai dokumen sahih yang membuktikan perancangan DAP pada tahun 2013 untuk mengusulkan persempadanan semula kawasan pilihan raya menggunakan prinsip ini, dengan mencadangkan pertambahan 222 kerusi Parlimen sekarang menjadi 262 kerusi, yang merangkumi 143 kerusi bandar berbanding 119 kerusi luar bandar dan kerusi separa bandar.
Dengan jumlah kerusi bandar, yang rata-ratanya dimenangi oleh DAP, jauh mengatasi kerusi luar bandar dan kerusi separa bandar, kita tidak perlu menjadi seorang saintis roket untuk meneka dengan tepat parti manakah yang akan menguasai kerajaan, sama ada dengan menjadi Perdana Menteri de jure (mengikut undang-undang) atau Perdana Menteri de facto (di balik tabir), jika persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan oleh DAP ini menjadi kenyataan.
Tegasnya, hasrat dan kemampuan para pemimpin DAP berpolitik tidaklah sesekali boleh diperkecilkan. Pada masa yang sama, ketegasan Datuk Seri Abdul Hadi mempertahankan pendirian teguh PAS dalam perkara ini sangatlah perlu disokong.
Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Lihat sebelum ini..

1 comment:

  1. Bagi PAN kalau disuruh pilih DAP atau Imam Ghazali maka DAP akan menjadi pilihan walaupun DAP anti Islam

    JEFF HULU BERNAM
    PROGRESIV PEDULI DAN FAHAM

    ReplyDelete