Delegasi UniMAP bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (depan, dua dari kanan), Ramlah (depan, tiga dari kanan) merakam gambar kenangan di pekarangan Muzium Balla Lampoa di Makassar, Indonesia.
KOTA Makassar yang juga dikenali sebagai Ujung Pandang merupakan salah sebuah kota tertua di Indonesia yang sarat dengan sejarah institusi rajanya.
Justeru, peluang mengikuti delegasi Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) November lalu, membuka peluang untuk penulis mempelajari sejarah kesultanan di kota tersebut. Kebetulan, kota itu juga meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-410.
Kunjungan delegasi UniMAP ke Kota Makassar ialah bagi menjayakan penganjuran Seminar Institusi Raja : Kesultanan Alam Melayu, yang turut dihadiri oleh tiga orang Raja di wilayah Sulawesi Selatan iaitu Raja Gowa, Raja Galelong dan Sultan Demak.
Kami rasa bertuah kerana Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan bercemar duli mengetuai sesi wisata sejarah Kesultanan Gowa ke tiga lokasi utama iaitu Muzium Balla Lampoa, Makam Sultan Hassanuddin dan Masjid Tertua Katangka.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti UniMAP, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, Pengarah Unit Komunikasi Korporat UniMAP, Mustaffa Ismail dan Ketua Lembaga Penelitian dan Pengabadian Masyarakat Universiti Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar, Prof. Dr. Muhammad Salleh Tajuddin.
Penulis difahamkan, Kesultanan Raja Gowa merupakan antara kerajaan terbesar dan paling dikenali di daerah Sulawesi Selatan. Rakyat kerajaan ini berasal daripada suku Makassar dan memiliki raja yang paling terkenal iaitu Sultan Hassanuddin.
Kayu ulin
Destinasi pertama kami ialah Muzium Balla Lampoa yang didirikan oleh pemerintahan Raja Gowa ke-31 pada tahun 1936. Seni bina bangunan ini berbentuk rumah khas orang Bugis iaitu rumah panggung yang diperbuat daripada kayu ulin atau kayu besi dan didirikan di atas kawasan seluas satu hektar yang dibatasi oleh pagar tembok yang tinggi.
Menerusi pembacaan, Balla Lampoa ini membawa erti rumah kebesaran atau rumah besar. Ia jelas digambarkan menerusi struktur binaan utama bangunan yang terdiri dari dua bahagian iaitu ruang utama seluas 60 x 40 meter persegi dan ruang teras atau ruang penerimaan tetamu dengan keluasan 40 x 4.5 meter persegi.
Muzium ini menjadi lokasi penyimpanan koleksi barang-barang berharga Kerajaan Kesultanan Gowa yang dapat diselamatkan sebelum penjajahan. Antaranya termasuklah mahkota, gelang, kancing, kalung, keris dan perhiasan lain yang diperbuat dari emas.
Di ruang utama menempatkan kamar peribadi raja, tempat penyimpanan barang-barang bersejarah serta bilik kerajaan. Satu keunikan rekaan bangunan ini ialah ia dilengkapi tingkap atau jendela yang banyak yang dicirikan sebagai rumah Bugis.
Turut mengisi ruang utama ialah salasilah keluarga Kerajaan Gowa bermula dengan Raja Gowa I, Tomanurunga pada abad ke-13 hinggalah Raja Gowa terakhir, Sultan Moch Abdulkadir Aididdin (1947-1957). Ia juga menempatkan singgahsana yang terletak di bahagian tengah ruang utama dengan hiasan alat-alat perang seperti tombak dan meriam kuno, serta sebuah payung lalong sipue yang digunakan oleh Raja Gowa semasa istiadat pertabalan.
Delegasi kemudiannya dibawa ke Makam Pahlawan Nasional Sultan Hassanuddin yang terletak di kompleks pemakaman raja-raja Gowa di Katangka, Somba Opu, Gowa. Selain Sultan Hassanuddin, ia turut menempatkan makam Sultan Alauddin iaitu sultan yang mengembangkan agama Islam pertama pada kerajaan Gowa.
Di kompleks makam, terdapat satu struktur binaan utama yang dikenali sebagai lokasi pelantikan Raja Gowa yang dinamakan Batu Pelantikan. Bahagian utama kompleks ini turut menempatkan patung besar Sultan Hassanuddin lengkap dengan pakaian kebesarannya.
Makam Sultan Hassanuddin terletak di bahagian tengah kompleks dengan sebuah patung ayam ditempatkan di atas makamnya. Penulis dimaklumkan patung ayam itu menggambarkan nama jolokan Sultan Hassanuddin iaitu Ayam Jantan dari Timur sebagai menghormati keberanian dan kegigihannya menentang penjajahan Belanda.
Secara keseluruhannya, kompleks makam ini mirip bangunan candi atas pengaruh agama Hindu yang kuat pada ketika itu. Landskap kawasan ini cukup cantik dengan pepohon yang tidak begitu rendang tetapi meneduhkan serta rumput yang kemas.
Struktur
Destinasi terakhir kami ialah di Masjid Tertua Katangka yang terletak di Jalan Sheikh Yussof tidak jauh dari makam Sultan Hassanuddin. Difahamkan masjid yang berusia melebihi 400 tahun itu seringkali menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Indonesia.
Uniknya binaan masjid ini ialah ia didirikan di Benteng Kale Gowa serta memiliki tembok yang sama binaannya dengan Benteng Kale Gowa. Ia merupakan benteng terkuat kerajaan Gowa pada zaman tersebut selain rekaan binaannya yang merupakan gabungan budaya Jawa, Eropah dan China.
Meskipun dikatakan masjid tertua, namun struktur bangunannya yang dibina pada tahun 1603 itu masih kukuh dengan reka bentuk asli yang tidak diubah. Hiasan dan rekaan dalamannya juga masih mengekalkan artifak sebelumnya seperti tingkap, mimbar, mihrab dan tiang masjid.
Masjid Katangka yang didirikan di kawasan seluas 150 meter persegi mempunyai ciri khas binaan yang diperhalusi dengan maksud tertentu seperti memiliki satu kubah yang menggambarkan syiar agama Islam.
Selain itu, dua lapisan atapnya pula membawa maksud dua kalimah syahadah, empat tiang masjid yang berbentuk bulat dan memiliki ukuran besar di bahagian tengah membawa maksud empat sahabat Nabi. Masjid ini memiliki enam tingkap serta lima pintu yang masing-masing membawa maksud enam rukun iman dan lima rukun Islam.
Selain meninjau sejarah, delegasi UniMAP berpeluang menunaikan solat Zuhur berjemaah bersama penduduk setempat. Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM1,000 atas kapasiti baginda selaku Yang Dipertua MAIPs.
Meskipun hanya separuh hari diperuntukkan untuk wisata sejarah ini, namun penulis dan rakan-rakan lain memperoleh pelbagai ilmu baharu.
Selain dapat meningkatkan kefahaman mengenai sejarah dan warisan sebagai satu ilmu yang amat penting bagi membina jati diri bangsa, ia juga dapat mengukuhkan hubungan serumpun antara Malaysia dan Indonesia. (Kosmo!)
No comments:
Post a Comment