Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Keharmonian dan keberuntungan merupakan aspek kehidupan yang begitu diambil perhatian oleh masyarakat kaum Cina. Ia hakikatnya adalah fitrah keinsanan yang ada pada semua makhluk ciptaan Tuhan Pencipta Alam ini. Islam sebagai agama yang diredhaiNya telah lengkap sempurna memenuhi keperluan tersebut serta menunjukkan panduan kehidupan di atas muka bumi. Natijahnya jika diikuti, pasti terwujudnya hubungan, kasih sayang, keprihatinan, saling membantu, kebertanggungjawaban yakni keselamatan dan kesejahteraan di dunia juga di akhirat.
Islam telah menetapkan asas bahawa semua manusia di atas muka bumi ini sejak penciptaannya dari dahulu, sekarang dan hingga kiamat, merupakan satu keluarga walaupun berbagai bangsa, kaum, keturunan, warna kulit, bahasa dan agama. Ia disebut dalam kitab agung untuk manusia akhir zaman iaitu al-Quran:
- “Wahai manusia, Kami jadikan kamu asalnya daripada (seorang ayah dan ibu) Adam dan Hawa), kemudian dilahirkan berbagai-bagai bangsa dan kaum, supaya kamu saling berkenalan antara satu sama lain.” (al-Hujurat: 13)
Dalam konteks kita di Malaysia, masing-masing kaum yang ada; Cina, India, Iban, Dayak, Kadazan, Siam, Orang Asal, Melayu dan lain-lain tidak boleh hidup bersendirian. Mesti hidup saling berhubungan antara satu sama lain. Kerana realitinya juga, setiap bangsa hidup dengan kecenderungan sosioekonomi tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Keadaan ini mewujudkan perhubungan dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Setiap perbezaan kehidupan, budaya dan kepercayaan, tidak seharusnya mengasingkan kita kerana rasa hormat dan meraikan akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan sesama sendiri, lalu membawa kepada bertolong-tolongan dalam banyak perkara kebaikan dengan menjauhi juga keburukan.
Kesatuan dari kepelbagaian inilah yang perlu diperkukuhkan kita pelbagai bangsa di negara ini. Agar dengannya terbina kekuatan di mana ia boleh mengawal kita dari aspek-aspek yang menjejaskan kehidupan seperti penyelewengan, penindasan dan kezaliman. Sebaliknya, diangkat kecintaan, kejujuran, kesetiaan dan segala nilai-nilai sistem hidup yang lebih baik lagi membahagiakan.
Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat negara ini khususnya kaum Tionghua dan mudah-mudahan terbina kekuatan kesatuan kita untuk membawa Malaysia yang lebih maju dan makmur.
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
28 Rabiul Akhir 1438H / 27 Januari 2017M - HARAKAHDAILY 27/1/2017