Saturday, June 24, 2017

Selamat Hari Raya.. Sampaikan.. walau 1 ayat

Imej yang berkaitan
Hasil carian imej untuk selamat hari raya aidil fitri
Selamat Hari Raya..
Sampaikan.. walau 1 ayat.
Maaf zahir batin.
dari Ibnu Hasyim.

Panduan Hari Raya Menurut Mufti Wilayah..

Hasil carian imej untuk mufti Wilayah
BAYAN LINNAS: ADAB BERHARI RAYA DAN KESILAPANNYA
Mukaddimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertamanya, kami ingin mengucapkan selamat Berhari Raya, dan semoga Allah menatijahkan kita dengan taqwa dan seterusnya kita dapat menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat hidayah yang Allah kurniakan kepada kita sehingga ketika nafas kita masih lagi diberi peluang untuk hidup.
Bersempena dengan hari raya ini, kami kemukakan Bayan Linnas yang bertajuk Adab Berhari Raya dan Kesilapan untuk sama-sama memimpin dan memandu perjalanan kita agar sentiasa diberkati dan diredhai Allah sekalipun dalam masa kita seronok dan bergembira dengan hari raya.
Adab Hari Raya
Antara adab-adab pada hari raya ialah:
• Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
• Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
• Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
• Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.”
Riwayat al-Bukhari (943)

• Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda:  (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
• Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”
Riwayat al-Bukhari (945)
Kesilapan Adab Pada Hari Raya
Kami sengaja menyebut beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara adab tersebut ialah:
• Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
• Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
• Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
• Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
• Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
• Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
• Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
• Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
• Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.
• Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
• Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
• Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
• Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
• Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
• Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
Bergembira Pada Hari Raya

Menjadi kelaziman seluruh dunia umat Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat.
Persoalannya di sini, apakah hukum bergembira dan cara yang sepatutnya dilakukan?
Ulama telah membahaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan hiburan dan permainan yang diharuskan oleh syarak. Bermain dan berhibur dengan hiburan yang disyarakkan adalah diharuskan bahkan digalakkan khasnya pada hari raya.
Secara umumnya, selagi mana sesuatu permainan itu tidak melalaikan dari kewajipan tugas yang perlu dilaksanakan ianya diharuskan. Ini adalah syarat umum yang mesti dipatuhi ketika bermain sesuatu permainan atau berhibur.
Syarat yang lain, permainan itu hendaklah tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan.
Jikalau permainan atau hiburan itu tidak menepati syarat-syarat yang dikemukakan, maka hukumnya menjadi haram walaupun asal permainan atau hiburan tersebut hukumnya harus. Pada zaman Nabi SAW, masyarakat pada ketika itu bermain, memukul gendang, menyanyi serta menyambut sesuatu perayaan.
Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan:
“Orang Habsyah bermain di sisi Nabi SAW ketika hari raya. Maka aku pun muncul dari atas bahunya dan melihat mereka sedang bermain sehingga aku merasa puas dan kemudian beredar (dari situ).”
Riwayat Ahmad
Dalam riwayat yang lain Saidatina Aisyah R.Anha berkata: “Abu Bakar telah masuk kepada kami pada hari raya dan ketika itu kami bersama dengan dua orang hamba perempuan yang menyebut tentang hari Bu’ath iaitu hari berlakunya peperangan antara kaum Aus dan Khazraj.”
Lantas Abu Bakar berkata: “Wahai hamba Allah! Mengapakah ada Mizmar Syaitan ini (iaitu alat muzik yang menyerupai seruling)”. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.
Kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum ada hari raya masing-masing dan hari ini hari raya kita.”
Riwayat Ibn Hibban
Dalam riwayat al-Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk kepada kami dan berbaring dengan memalingkan wajahnya, sedangkan di sana ada dua orang hamba perempuan sedang menyanyi sempena hari Bu’ath. Maka ketika itu Abu Bakar masuk dan berkata: “Mengapakah ada mizmar syaitan di sisi Rasulullah?”
Sabda Nabi SAW: “Tinggalkanlah (biarkan) mereka wahai Abu Bakar.”
Pada suatu ketika orang Sudan sedang bermain-main dan Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah: “Kamu ingin tengok?”
Aku (Aisyah) berkata: “Ya.”
Lalu Baginda mengangkatku ke belakangnya dengan pipiku bersentuh dengan pipinya, sehinggalah Baginda bersabda: “Sudah cukup.”
Maka Aku berkata: “Ya.”
Sabda Nabi SAW: “(Kalau begitu) Beredarlah.”
Pada hari raya itu, Rasulullah SAW bersabda: “Ini supaya golongan Yahudi mengetahui bahawa agama kita ada kelulusan (keringanan)dan sesungguhnya aku diutuskan dengan penuh toleransi dan keringanan.”
Riwayat al-Bukhari
Oleh itu, marilah kita menyambut hari raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang diperintahkan oleh Islam. Janganlah di hari raya dipenuhi dengan pembaziran dan hiburan yang melampau. Sebenarnya sebarang hiburan adalah dibolehkan tetapi mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Islam.
Ibn Rajab al-Hanbali menyebut di dalam kitabnya Lataif al-Minan: “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”
Kenyataan Mufti Wilayah
Kami dahulukan kenyataan ini dengan doa 'Semoga amalan yang kita lakukan diterima Allah'. Dalam negara ini, kami hanya nyatakan beberapa perkara, sebagai pelengkap pada adab-adab berhari raya. Antaranya:
• Tunaikanlah zakat fitrah dan pastikannya dilakukan pada malam hari raya ataupun pagi hari raya sebelum solat raya. Inilah sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Zakat fitrah hukumnya adalah wajib.
• Bersihkan hati kita dahulu dari sebarang akhlak dan sifat mazmumah seperti dendam kesumat, hasad dengki dan lain-lain.
• Hiasilah dengan akhlak mahmudah seperti ikhlas, jujur, warak, amanah, rendah diri dan sentiasa berharap kepada-Nya.
• Dengan terbenamnya matahari dan masuknya 1 Syawal, maka mulalah dengan doa, munajat kepada-Nya.
• Begitu juga hiasilah pada malam tersebut dengan gemaan takbir kerana patuh kepada perintah Ilahi.
• Zahirkan rasa syukur atas pelbagai nikmat kurniaan Ilahi sehingga mukhayyam tarbawi yang kita lalui dapat dilaksanakan dengan jayanya.
• Sebelum meminta maaf, maafkanlah semua orang agar kemaafan yang kita pinta dari hati yang benar-benar bersih.
• Hidupkanlah malam hari raya dan paginya dengan zikrullah dan juga acara ibadat untuk menambahkan lagi pahala kita.
• Gunakanlah kesempatan yang ada semasa di kampung atau desa untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dan hubungan ukhuwwah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.
Saya mengambil kesempatan di sini ingin memohon kemaafan daripada semua pihak dan saya dengan seikhlas hati memaafkan kesilapan terhadap saya. Semoga Allah jernihkan hati kita dan tumbuhan dengan ketekunan dan keikhlasan serta mahabbah kasih sayang sesama kita. Amin.
Akhir kalam, saya berpesan pada diri ini dan juga rakan-rakan supaya kita menyantuni anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, orang-orang sakit dan golongan mustad‘afin agar mereka semua dapat pembelaan dan prihatin daripada kita yang dikurniakan Allah dengan sedikit kelebihan.
Penutup
Berdasarkan kepada syariat Islamiah melalui sunnah Nabawiah, jelas menunjukkan kepada kita betapa umat Islam pada saat kegembiraan dan kemenangan selepas melepasi acara ibadat puasa dan amalan sunat pada bulan Ramadan dengan jayanya. Setelah sebulan segala mujahadah dan kesungguhan ibadah dipamerkan, maka kurniaan Tuhan kepada kita dengan kedatangan Syawal sebagai petanda kemenangan yang benar-benar iltizam dan istiqamah dengan ibadat. Walaupun begitu, kemenangan dan kejayaan hendaklah diisi dengan penuh kesyukuran dan acaranya dengan bertakbir memuji memuja Ilahi di samping mempereratkan tali silaturrahim dengan meneguhkan ukhuwwah Islamiah.
Dalam hal ini, kita diajar untuk melaksanakan dua jalinan yang kukuh iaitu hablum min Allah dan hablum min annas. Apabila tautan ini kukuh, sudah pasti banyak natijah yang baik dan keharmonian masyarakat pasti dapat dikecapi. Natijahnya, dosa para hamba terampun, keluarga menjadi bahagia sehingga layak ditabalkan baiti jannati, masyarakat menjadi harmoni, dan hubungan sesama mereka utuh tanpa sebarang wasangka. Lebih besar daripada itu, negara atau negeri yang didiami layak ditabalkan sebagai Baldatun Toyyibatun wa Robbun Ghafur.
Selamat Hari Raya,
Minal ‘aidin wal faizin,
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan
1 Syawal 1436H


Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-97: Siri Amalan Ibadah. Buat Sikit-sikit Dulu..

E-Buku IH-97: Siri Amalan Ibadah. Buat Sikit-sikit Dulu..

Hun Sen &Syiar Islam Di Kemboja


Pada hari ke-20 Ramadan baru-baru ini, Olvy Othsman, seorang anak muda dari Kemboja, dengan rakan-rakannya begitu sibuk mengatur jemputan untuk tetamu-tetamu dari dalam negeri dan seberang laut yang menghadiri Majlis Iftar Komuniti Islam di Phnom Penh, Kemboja.
Dengan memakai sut dan bersongkok, mereka menguruskan jemputan kepada orang Islam yang berada di luar Phnom Penh yang berpusu-pusu datang ke ibu kota negara itu untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Ramadan.
Olvy yang merupakan Pengerusi Perikatan Pemuda Islam Kemboja adalah antara pemimpin muda komuniti Islam yang dihormati di negara itu.
Iftar Komuniti Islam di Phnom Penh yang diadakan secara besar-besaran itu amat istimewa kepada Olvy kerana ia adalah simbolik betapa Islam telah diterima sebagai sebahagian daripada karakter unik negara Kemboja.
Acara iftar rasmi itu pula dianjurkan oleh kerajaan Kemboja dengan tetamu kehormat ialah Perdana Menteri Hun Sen dan isterinya, Bun Rany. Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Kemboja.
Tahun ini masuk kali keempat berturut-turut Hun Sen menghadiri majlis berbuka puasa tersebut dalam dewan yang berkumandang dengan bacaan ayat suci al-Quran, azan Maghrib, solat berjemaah, doa-doa, lagu-lagu nasyid dan semangat ukhwah.
Dewan Pusat Konvensyen Diamond Island yang terletak di tebing Sungai Mekong di tengah-tengah Phnom Penh itu boleh menempatkan maksimum 4,700 orang tetamu, dan itulah jumlah orang Islam Kemboja yang berada bersama Hun Sen dalam majlis berbuka puasa itu untuk memeriahkan sambutan Ramadan.
Dalam ucapannya, Hun Sen mengakui dewan itu sudah terlalu kecil untuk meraikan acara besar iftar tersebut.
Harmoni


OTHSMAN (bersongkok) mengiringi Hun Sen (kanan) pada majlis iftar di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini.



Ketika Hun Sen yang beragama Buddha memulakan program berbuka puasa besar-besaran itu pada tahun 2014, jumlah tetamu cuma 1,300 orang pada tahun pertama.
Ia kemudian meningkat kepada 4,000 orang pada tahun kedua, 4,500 orang pada tahun ketiga dan 4,700 orang pada tahun ini.
Jumlah umat Islam Kemboja sekarang dianggarkan sekitar 600,000 daripada 16 juta penduduk Kemboja, iaitu cuma 3.75 peratus daripada keseluruhan populasi.
Secara perbandingan, jumlah orang Islam di Kemboja lebih kecil daripada Singapura yang mempunyai sekitar 800,000 rakyat yang beragama Islam.
Perbezaan agama dan budaya di Kemboja, menurut Hun Sen, bukan halangan untuk membangunkan negara.
“Memperkukuhkan keharmonian dan solidariti penting untuk kemajuan Kemboja,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri oleh diplomat negara-negara Islam dan ASEAN, termasuk Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek.
Pada iftar itu Hun Sen mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja kini membayar gaji kira-kira 1,500 guru-guru sekolah agama Islam di negara itu dan membenarkan wanita Islam menggunakan gambar bertudung dalam pasport dan dokumen perjalanan.
Para pelajar wanita pula, menurut Perdana Menteri Kemboja yang telah berkuasa selama 32 tahun itu, dibenarkan bertudung ke sekolah serta boleh menutup rambut mereka ketika memasuki pejabat-pejabat kerajaan.
Kemboja juga tidak menghalang pemuda-pemudi Islam menerima pendidikan Islam di seberang laut, dan beliau melahirkan rasa gembiranya kerana bilangan orang Islam yang mengerjakan haji di Mekah, Arab Saudi telah meningkat kepada beribu-ribu orang setiap tahun.
Beliau percaya koordinasi kerajaan melalui agama, termasuk agama Islam, akan mewujudkan keamanan, orde sosial, mengangkat moraliti etnik dan juga menggalakkan rakyat untuk membina situasi menang-menang dalam memajukan negara.
Kabinet Hun Sen kini mempunyai dua orang menteri Islam iaitu Datuk Othsman Hassan yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Zakaria Adam yang membantu Perdana Menteri dalam isu-isu agama Islam.
Kemboja juga mempunyai Mufti iaitu Sos Komri yang mempunyai jawatan rasmi lain sebagai Pengarah Jawatankuasa Tinggi Islam Kemboja dan Yayasan Pembangunan Islam Kemboja.
Membalas budi
Komuniti Islam di Kemboja sebenarnya memahami kedudukan mereka yang rapuh, dan mereka percaya bahawa hanya melalui kerjasama strategik dengan pemerintah, baru nasib orang Islam terbela.
Atas faktor itulah pengundi Islam merupakan antara penyokong paling kuat Hun Sen dan partinya, Parti Rakyat Kemboja, dalam pilihan raya tempatan pada 4 Jun 2017 baru-baru ini.
Dalam pilihan raya pada hari kesembilan Ramadan itu, di setiap lokasi di mana orang Islam tinggal, mereka mengundi Parti Rakyat Kemboja pimpinan Hun Sen dan memberikan sokongan padu.
Dalam pilihan raya itu, Parti Rakyat Kemboja memenangi 71 peratus perwakilan dalam majlis tempatan, walaupun berkurang daripada pencapaian 97 peratus yang diraih dalam pilihan raya tempatan penggal sebelumnya.
Othsman Hassan, menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam di Kemboja, dalam ucapannya pada majlis iftar itu menegaskan bahawa “Islam mengajar umatnya supaya sentiasa membalas budi orang yang mengasihani kita.”
Menurut beliau, jika dibandingkan zaman-zaman perkembangan komuniti Islam di Kemboja, di bawah Hun Sen, Islam di negara itu mendapat segala-galanya untuk berkembang.
Islam di Indocina bertapak kerana migrasi orang Melayu Champa yang menganut agama Islam kira-kira 600 tahun lalu, tetapi pada era kolonialisasi Perancis orang Islam tidak mendapat hak sebagai warganegara, dihukum dan menjadi pelarian.
Orang Islam diberi identifikasi sebagai “Khmer Islam” pada tahun 1954 oleh Raja Kemboja ketika itu, Raja Norodom Sihanouk, iaitu bapa kepada Raja Kemboja sekarang, Raja Norodom Sihamoni.
Dalam konflik perang saudara Kemboja antara tahun 1970 dan 1979, orang Islam paling terseksa. Mereka tidak terkecuali diperlakukan dengan kejam, dan bersama-sama rakyat Kemboja yang lain, berjuta-juta orang dibunuh oleh regim Pol Pot.
Hun Sen, 65, ialah bekas pejuang gerila yang partinya berkuasa selepas perang saudara tamat pada tahun 1979. Bermula sebagai Menteri Luar Kemboja, Hun Sen kemudian menjadi Perdana Menteri pada tahun 1985.
Othsman berkata, di bawah Hun Sen, Islam diberikan perlindungan untuk wujud secara harmoni dengan agama-agama lain.
Hun Sen sebenarnya dilahirkan di Kampung Cham pada tahun 1952, sebuah wilayah di tengah Kemboja yang menjadi tempat tumpuan penduduk Islam. Interaksi dengan masyarakat Islam bukan asing kepadanya.
Populariti


REMAJA Islam berebut-rebut untuk bergambar bersama Perdana Menteri Kemboja dalam majlis iftar pada 15 Jun lalu.



Pada tahun 2015, beliau menghadiri majlis berbuka puasa secara tidak formal di Masjid Besar Al-Serkal di tengah Phnom Penh dan pada tahun lalu, beliau berbuka puasa di Kampung Prek Tapov, Takmao di wilayah Kandal.
Masjid Besar Al-Serkal yang tersergam dengan senibina Ottoman dibina di atas tapak masjid lama hasil derma seorang hartawan Emiriyah Arab Bersatu bernama Eisa Nasser Al-Serkal. Majlis perasmian masjid itu dilakukan sendiri oleh Hun Sen.
Di seluruh Kemboja kini terdapat 593 buah masjid dan surau.
Pada tahun ini, selepas iftar rasmi kerajaan pada 15 Jun lalu, Hun Sen juga berbuka puasa secara informal dengan orang Islam yang tinggal di pedalaman.
Dalam perutusannya, Perdana Menteri itu berulang kali menyatakan bahawa apa yang terbina di Kemboja tidak seperti diskriminasi agama dan ras yang terjadi di sesetengah negara, termasuk negara yang mempunyai kumpulan penduduk minoriti di Asia Barat.
Seorang ahli perniagaan Islam di Kemboja, Mohammat Younes yang merupakan Presiden Rangkaian Bisnes Champa mengakui bahawa Hun Sen seorang pemimpin yang popular dalam kalangan komuniti Islam.
“Untuk generasi muda Islam, mereka memang mengecapi keamanan sekarang, tetapi untuk masa depan, mereka perlu pandai merebut peluang bisnes dan ekonomi. Saya fikir mereka juga memerlukan sokongan institusi, khususnya institusi kewangan Islam,’’ kata Younes.
Olvy pula, yang merupakan anak kepada Othsman Hassan, percaya komuniti Islam di negara itu bertuah kerana hidup di sebuah negara yang berjaya melalui transformasi hubungan kaum dan agama yang harmoni, yang telah jauh meninggalkan sejarah pahit masa silam Kemboja.
“Dia adil. Walaupun Perdana Menteri Hun Sen seorang pemimpin yang beragama Buddha, tetapi kami merasakan dia jaga dan lindungi kami semua,” kata Olvy. (Kosmo!)
Lihat juga artikel ini...
Presiden PAS Wajar Jadi PM M'sia.




Imej yang berkaitan

Pihak kami sanggup pergi ke Sabah &Sarawak memberi maklumat lengkap mengenainya.

3 Kumpulan Menyerang Di Masjidil Haram Digagalkan..




MAKKAH: Pasukan keselamatan Arab Saudi pada Jumaat menggagalkan plot pengganas yang mensasarkan Masjidil Haram di Makkah, kata jurucakap keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Mejar Jeneral Mansour Al-Turki.
Beliau berkata operasi itu dirancang tiga kumpulan pengganas, dua yang berpangkalan di Makkah satu di Jeddah.
Serangan itu disasarkan terhadap jemaah di Masjidil Haram, kata Agensi Berita Saudi.
Serangan pertama di daerah, Aseelah, Makkah manakala yang cubaan kedua yang disasarkan di kawasan Ajyad Al-Masafi masing-masing berjaya digagalkan.
Seorang pengebom berani mati yang bersembunyi di bangunan tiga tingkat di Ajyad melepaskan tembakan rambang ke arah pasukan keselamatan selepas enggan menyerah diri.
Dia kemudiannya meletupkan diri selepas pasukan keselamatan mengepung kawasan tersebut.
Bangunan itu runtuh akibat letupan tersebut.
Enam ekspatriat cedera dalam kemalangan itu dan dikejarkan ke hosputal.
Lima anggota keselamatan turut cedera ringan dalam insiden itu.
Pasukan keselamatan berjaya menahan lima suspek termasuk seorang wanita yang sedang disoal siasat.
Identiti suspek bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana siasatan masih dijalankan. (mStar)
Lihat juga artikel ini...
Presiden PAS Wajar Jadi PM M'sia.

Imej yang berkaitan
Pihak kami sanggup pergi ke Sabah &Sarawak memberi maklumat lengkap mengenainya.

Daesh Ugut Bunuh Pegawai Kanan Polis M'sia


KUALA LUMPUR – Kumpulan militan Daesh telah mengeluarkan ancaman terbaharu terhadap Malaysia dan pasukan keselamatan di negara ini.

Sasaran utama mereka adalah Ketua Penolong Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Ayob Khan sendiri.

AYOB KHAN


Difahamkan kumpulan militan itu telah meminta rakan sel mereka di Malaysia untuk melancarkan serangan terhadap Ayob yang dilihat sebagai ancaman utama aktiviti penganas di rantau ini.
Mesej yang tular di media sosial berbunyi: “Di Malaysia negara yang udah di bawah Khilafah, ada satu nama polis AYOB KHAN. Dia kerja dengan pemerintah thogut… Dia juga orang yang tangkap askar khilafah di Malaysia.
“Semua ikhwan khilafah yang ada di Malaysia bangun sekarang dan habiskan AYOB KHAN orang yang mau lawan dengan KHALIFAH ABU BAKAR AL BAGHDADI.”
Sumber perisikan mendedahkan ancaman daripada kumpulan militan di Indonesia itu amat berbahaya.
“Ia amat serius kerana militan Daesh di Indonesia begitu komited dan mempunyai rangkaian luas di rantau ini dan juga secara global.
“Hubungan mereka dengan militan di Malaysia amat rapat dan militan Indonesia mempunyai kepakaran dalam menghasilkan peranti elektronik,” kata sumber kepadaThe Star pada Jumaat.
Ketika dihubungi Ayob berkata dia menyedari ancaman tersebut dan berkata: “Siasatan awal menunjukkan ancaman itu diedarkan menerusi media sosial sejak minggu lalu.
“Saya juga menerima banyak ancaman bunuh sejak beberapa tahun lalu tetapi ini kali pertama militan Indonesia mengeluarkan desakan kepada rakan militan di Indonesia, Malaysia dan negara lain untuk bunuh saya,” katanya.
Beliau berkata masa ancaman kebetulan pada bulan Ramadan di saat militan percaya mereka akan menerima lebih banyak keberkatan jika menyerangnya pada waktu itu.
“Ia kepercayaan mereka sendiri. Peluang kerjasama antara militan Indonesia dan Malaysia untuk membunuh saya amat tinggi mengambil kira hubungan rapat mereka.
“Di Syria, militan Malaysia dan Indonesia membentu skuad yang dipanggil Khatibah Nusantara serta beroperasi di Raqqa.
“Tambahan lagi, ada peningkatan militan Syria kembali ke Asia Tenggara memandangkan serangan terhadap kubu Daesh di Mosul, Iraq dan Raqqa, Syria,” katanya.
Ayob berkata ancaman daripada militan Indonesia itu lebih serius selepas beberapa anggota kumpulan itu ditahan di Slim River, Perak dan Sandakan, Sabah baru-baru ini.
“Suspek ditahan di Slim River pada 13 Jun merupakan pentabdir kumpulan aplikasi Telegram yang ada hampir 200 ahli militan dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Arab Saudi, Syria, Oman dan negara Eropah.
Katanya, suspek melabelkan perdana menteri sebagai pemimpin yang tidak mengamalkan undang-undang Islam manakala polis dan tentera sebagai ‘anjing’ kerajaan sekular.
Suspek sama turut menggesa serangan dilancarkan terhadap kasino di Genting Highlands, Pahang dan Batu Caves, Selangor.
Di sebalik ancaman itu, Ayob berkata, pihak polis komited untuk memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terjamin.
Sejak Februari 2013, bahagian itu telah menahan kira-kira 310 militan termasuk 21 daripada merupakan warga Indonesia.
Pada masa sama, bahagian itu turut berjaya menggagalkan 18 rancangan keganasan kecuali pengeboman di Movida tahun lalu. – mStar Online


Lihat juga artikel ini...
Presiden PAS Wajar Jadi PM M'sia.


Imej yang berkaitan
Pihak kami sanggup pergi ke Sabah &Sarawak memberi maklumat lengkap mengenainya.

Ini, Ingatan PAS Kepada Parti Politik M'sia.


Al-QURAN yang menjadi petunjuk mempamerkan ayat-ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran. Akhirnya selesai dengan selamat, kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga.
Dalam lipatan sejarah Tamadun Islam, kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol tertangguh beberapa abad apabila salah seorang pemimpinnya, Ibnu Abbad yang menentang cadangan menjemput campur tangan asing, dengan tegas beliau menyatakan:
“Bahawa saya lebih rela menjadi gembala unta kepada yang zalim kalangan kita daripada menjadi gembala babi kepada pihak bukan kita.”
Namun, Islam yang bertapak di Sepanyol selama lapan abad akhirnya kecundang apabila ada kalangan rajanya menjemput pihak asing supaya membantu memenangkannya dalam krisis dalaman. Akhirnya cahaya Islam dipadamkan di Sepanyol sehingga kini.
Dalam sejarah Alam Melayu pula, ada kalangan sejarawan kita melaporkan bahawa kejayaan penjajah menjatuhkan Kerajaan Melayu Islam Melaka apabila adanya sekelompok tertentu yang menjemput penjajah supaya menjatuhkan kerajaan atas sebab kemungkinan adanya kesalahan atau kezaliman, tetapi akibatnya selepas itu seluruh Rantau Nusantara dijajah dan dibahagikan buminya oleh penjajah selepas hilangnya kedaulatan Islam.
Begitulah juga, jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, Perwaja, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.
Apapun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.
Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita.
Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُواْ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓاْ إِلَى ٱلطَّٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوٓاْ أَن يَكۡفُرُواْ بِهِۦۖ وَيُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُضِلَّهُمۡ ضَلَٰلَۢا بَعِيدٗا ٦٠ وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ رَأَيۡتَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودٗا ٦١ فَكَيۡفَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةُۢ بِمَا قَدَّمَتۡ أَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ جَآءُوكَ يَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنۡ أَرَدۡنَآ إِلَّآ إِحۡسَٰنٗا وَتَوۡفِيقًا ٦٢ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمۡ فَأَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ وَعِظۡهُمۡ وَقُل لَّهُمۡ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَوۡلَۢا بَلِيغٗا ٦٣ النساء .
  • “Tidakkah Engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad S.A.W.) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut (diluar daripada Madinah), padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. (60) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (61) Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah). (62) Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka). (63) (Surah An-Nisa’: 60-63)

Sebab turunnya ayat ini kerana seorang yang mengaku Islam di kalangan Ansar bertelingkah dengan seorang Yahudi (bukan Islam) dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak memberi kemenangan kepadanya, lalu dia mengajak si Yahudi itu membawa perkara tersebut kepada pihak luar daripada Madinah.
Kesilapan kita kerana tidak menyelesaikan masalah dengan cara petunjuk Allah iaitu Islam. Bukan caranya menjemput pihak asing yang pasti tidak beriman dan budiman.
Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman.
Firman Allah:
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ٱزۡدَادُواْ كُفۡرٗا لَّمۡ يَكُنِ ٱللَّهُ لِيَغۡفِرَ لَهُمۡ وَلَا لِيَهۡدِيَهُمۡ سَبِيلَۢا ١٣٧ بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ النساء
  • “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kufur, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kufur sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar. (137) Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139) (Surah An-Nisa’: 137-139)

Kita adalah pendakwah mengajak manusia kepada Islam dan menyelamatkan seseorang Islam yang ada di dalam dirinya sifat munafiq dalam kawasan dan sempadan kita.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada seorang sahabatnya yang kuat beriman, tiba-tiba melakukan kesalahan yang besar kerana menghina rakannya:
يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ
سنن أبي داود للسجستاني (4 / 504)
  • “Wahai Abu Zar! Kamu ini seorang yang masih ada pada dirimu sifat jahiliyah”. Namun Abu Zar R.A. tetap dikira kalangan para sahabat yang terbilang.

Allah pernah menurunkan firman-Nya kepada seorang sahabat, Hatib bin Abi Baltaah R.A. yang bertaraf ahli Badar yang mulia kerana memberi maklumat kepada musuh dengan firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١ الممتحنة
  • “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (S.A.W.) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul” (Surah Al-Mumtahanah: 1)

Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia. Selain itu juga, wajib memahami batas-batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk disemua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara.
Sabda Rasulullah S.A.W. supaya mencegah kemungkaran secara bijaksana:
مَثَلُ القَائِمِ في حُدُودِ اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا ، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاها وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ ، فَقَالُوا : لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقاً وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا ، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعاً ، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعاً . رواه البخاري.
  • “Bandingan orang yang menjaga sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan mereka yang jatuh ke dalamnya (melakukan kemungkaran) laksana satu kaum yang berada di atas bahtera. Maka sebahagian daripada mereka berada ditingkat atas dan sebahagian lagi berada dipetak bawah. Mereka yang berada dipetak bawah apabila mahukan air terpaksa melalui mereka yang berada di atasnya. Lalu mereka berkata: “Kalau kita tebukkan kapal ini untuk mendapatkan air tanpa mengacau mereka yang berada di atas”. Maka kalau dibiarkan kapal itu ditebuk mengikut kemahuannya nescaya semuanya mati tenggelam, kalau dihalang tindakan itu nescaya semuanya selamat”.

Kalaulah yang berlaku itu kerana satu kemungkaran yang nyata, beginilah akibatnya. Kalau yang berlaku itu adalah fitnah, maka celakanya lebih parah.
PAS terus bersabar walaupun sudah berlalu zaman setengah abad dan seterusnya, menukar pemimpin yang telah meninggal dunia dengan beristiqamah dan mereka yang tidak beristiqamah meninggalkan PAS juga tidak sampai ke matlamat dunia pun. Kerana wawasan kita mencapai keredaan Allah sehingga ke liang lahad dan hari kebangkitan semula bertemakan firman Allah:
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٠٥ التوبة.
  • “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” (Surah At-Taubah: 105)

Kita tidak ditanya mengapa belum menang, tetapi kita ditanya adakah sudah beramal dan berjuang atau tidak untuk meraih janji-janji kemenangan bersyarat yang mampu mengisi erti kemenangan sebenar bukannya kemenangan kosong, atau kita berjuang untuk menggantikan kemungkaran dengan menegakkan kemungkaran juga?
Tugas kita adalah mengajak manusia sebanyak-banyaknya kepada Islam, bukan sekadar menjatuhkan pemimpin dan berebut jawatan. Bahkan mengajak kepada islah pemimpin dengan melahirkan pemimpin yang tegak bersama hidayah, bukannya bergantung kepada jibayah.
Sabda Rasulullah S.A.W. kepada menantunya Ali bin Abi Talib K.W.H:
فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ. متفقٌ عَلَيْهِ

  • “Demi sesengguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah lebih baik daripada mendapat kenderaan paling mahal harganya”.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Ramadan 1438H / 24 Jun 2017M - HARAKAHDAILY 24/6/2017

Lihat juga artikel ini...
Presiden PAS Wajar Jadi PM M'sia.


Imej yang berkaitan
Pihak kami sanggup pergi ke Sabah &Sarawak memberi maklumat lengkap mengenainya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails