Wednesday, January 10, 2018

Kes Bertudung Di Hotel: Masih Jauh Dari Penyelesaian -Dr Rafidah Hanim



MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 22 November 2017 berkata, orang Islam yang bekerja sebagai kakitangan hotel berhak memakai tudung. 

Beliau menyalahkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) atas kenyataan ‘tidak bertanggungjawab’ dan ‘anti-Islam’ mengenai larangan bertudung dan menolak tuntutan mereka bahawa amalan itu konsisten dalam kalangan pengusaha hotel sedunia. Kementerian ini turut disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), yang telah berjanji untuk terus memantau situasi berkenaan. 

Ramai yang menganggap isu ini telah selesai, tetapi diskriminasi agama terhadap wanita Islam masih berlaku hingga ke hari ini. Dalam pertemuan kami dengan tiga daripada 12 orang pekerja, yang mengadu tidak dibenarkan memakai tudung sewaktu bekerja di sebuah hotel 5 bintang di tengah-tengah Kuala Lumpur (nama hotel tidak disediakan untuk melindungi pekerja dari tindakan disiplin oleh pihak majikan)..

..kami mendapati bahawa larangan tudung ini bukan hanya untuk kakitangan barisan hadapan, tetapi turut melibatkan semua jabatan di mana sifat pekerjaan itu mesti melibatkan kakitangan yang perlu berinteraksi dengan pelanggan hotel. Tudung tidak dibenarkan dipakai di hotel berkenaan termasuk mereka yang bekerja sebagai juruwang, pengurus acara, kakitangan jamuan, pembersih bilik bahkan mereka yang bekerja di dapur. 

Permintaan kakitangan hotel untuk memakai tudung telah ditolak berkali-kali oleh pihak pengurusan hotel. Antara sebab yang diberikan oleh pihak pengurusan ialah mereka menunggu arahan lanjut dari MAH. Para pekerja juga telah membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja, di mana seorang pegawai telah datang sebulan yang lalu dan melawat hotel, tetapi memilih untuk menerima alasan yang sama diberikan oleh pihak pengurusan. 

Para pekerja tidak lagi mendengar perkembangan darinya sejak itu. Ini menunjukkan bahawa isu berkenaan masih jauh untuk diselesaikan jika keputusan hanya terletak di tangan persatuan hotel tersebut. Dalam satu kenyataan akhbar, UNI Malaysia Labour Center (UNI-MLC) telah menyatakan kekecewaan mereka bahawa MAH telah gagal hadir dalam mesyuarat yang dijadualkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarahnya Disember lalu. 

Mesyuarat ini dihadiri oleh UNI-MLC, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), MOTAC, KPWKM, Kementerian Perumahan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelesaikan perkara ini secara baik. 

Kami bersetuju dengan UNI-MLC bahawa MAH telah menunjukkan sikap tidak hormat kepada kerajaan hari ini dan langsung tidak menunjukkan sebarang minat bagi memberi hak wanita Islam dalam mematuhi kewajipan beragama mereka. Penolakan MAH untuk mengambil sebarang tindakan kukuh dalam perkara ini jelas melanggar Perkara 8 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa.. 

..‘tidak ada diskriminasi terhadap rakyat atas sebab agama, bangsa, keturunan atau tempat kelahiran dalam mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan pengambilalihan, pemilikan atau pelupusan harta atau menubuhkan atau menjalankan mana-mana perdagangan, perniagaan, profesion, atau pekerjaan. 

Walaupun sebagai entiti perniagaan swasta, Perkara 7 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) memberi jaminan bahawa setiap orang berhak tanpa sebarang diskriminasi untuk dilindungi bawah undang-undang yang sama. 

Kami telah mengulangi sebelum ini, bahawa sementara dasar pekerjaan antarabangsa menuntut agar syarikat mematuhi piawaian tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diterbitkan untuk mengambil kira impak dari aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar di dalam negara, ia juga perlu memastikan ketelusan dan layanan yang adil bagi pekerja. 

Oleh itu, adalah tidak wajar untuk mendakwa bahawa wanita yang memakai hijab tidak boleh memasuki kontrak pekerjaan hotel hanya kerana ia merupakan dasar antarabangsa dan telah diamalkan di seluruh dunia sedari awal. Apabila terdapat konvensyen yang mengikat mengenai perlindungan hak-hak wanita, ‘polisi antarabangsa mengenai larangan hijab’ boleh dibahaskan. Sekiranya ia benar-benar suatu undang-undang, maka dasar atau amalan yang menindas ini jelas merupakan satu bentuk diskriminasi agama kepada wanita Islam yang hanya menuntut untuk melaksanakan kewajipan ketika mencari sumber pendapatan. 

Kami juga bersetuju dengan kedudukan yang diambil oleh Alliance Society of Civil Society Organizations dalam Proses Semula Berkala Sejagat (MACSA), bahawa dasar oleh MAH jelas merupakan suatu prasangka peribadi dan intoleransi terhadap budaya dan bukannya satu amalan perniagaan yang baik, bahkan tidak dilakukan mengikut undang-undang. Oleh itu, ia boleh diubah, dan perlu ditukar.

UNI-MLC juga menekankan bahawa bilangan hotel yang melarang pemakaian tudung meningkat dari 20 hingga 28 pada hari sidang akhbar yang dijalankan pada 8 Disember 2017. Temu bual kami dengan pekerja hotel menunjukkan bahawa tiada perubahan yang berlaku sejak perkara itu dibawa ke perhatian media dan pihak berkuasa.

Tiga kakitangan hotel yang kami temui masing-masing telah bekerja sebagai juruwang, tukang urut spa dan pengurus jamuan selama lebih daripada 27, 15 dan 10 tahun. Seseorang akan berfikir bahawa pengalaman, kemahiran dan kesetiaan mereka yang tinggi dapat menjadi aset paling berharga kepada syarikat. Malangnya, itu tidak benar dan malu dikatakan pada hari ini, rangkaian hotel di bawah MAH memilih untuk berpegang pada konsep pekerja tanpa hijab, yang tidak masuk akal sebagai elemen penting untuk menarik pelanggan. 

Dengan sikap sedemikian, mereka telah menafikan peluang untuk beribu-ribu wanita muda Islam untuk menyertai karier perhotelan. Kami menggesa supaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengambil tindakan tegas terhadap MAH sekiranya mereka gagal dalam menangani isu diskriminasi agama dan membatalkan lesen hotel jika perlu. 

Kerajaan harus melatih dan memperkasa pegawainya dari Jabatan Tenaga Kerja untuk menyiasat mana-mana aduan daripada kakitangan hotel dengan teliti tanpa ada rasa takut kepada majikan. Kami juga berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat memantau aduan-aduan berikut dengan teliti dengan mewujudkan mekanisme yang berkesan untuk memastikan respon diberi.

Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)
Boleh hubungi WAFIQ di  wafiq3108@gmail.com




Lihat ini bukti, mengapa dalam PAS tiada rasuah?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails