SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri "sementara" jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan.
Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula akan hanya dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir apabila gabungan itu mengusahakan pembebasan beliau, kata Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.
Anwar dijangka dibebaskan dari penjara pada 8 Jun depan, selepas menjalani hukuman lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.
Bagaimanapun untuk dilantik terus menjadi Perdana Menteri sebaik saja keluar penjara, Anwar perlu mendapat pengampunan Yang diPertuan Agong.
Justeru sifir politik PH berkemungkinan menyaksikan Dr Mahathir hanya menjadi perdana menteri untuk tempoh singkat jika pengampunan Di-Raja itu diperolehi cepat, dengan syarat PH memenangi PRU 14.
PRU14 harus diadakan menjelang Ogos ini.
Saifuddin memberitahu Konvensyen PH bahawa segala usaha akan dibuat untuk "menabal" Anwar sebagai perdana menteri menerusi pengampunan diraja.
"Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan PH dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas PH akan mengambil alih pentadbiran negara, agar datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam kerajaan persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri Ke-8," kata Saifuddin.
Beberapa pihak sebelum ini membidas PH kerana mahu menggunakan pihak Istana untuk mencapai agenda politik menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.
Mereka berpendapat pihak Istana tidak harus diheret dalam percaturan sedemikian kerana ia melibatkan kewibawaan institusi diraja itu sendiri. (http://antarapos.com)
No comments:
Post a Comment