Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) – Hala tuju negara bersama PAS
Islam adalah penyelesaian yang perlu dikemukakan, setelah melihat kegagalan ideologi atau teori ciptaan manusia yang diperjuangkan oleh semua pihak yang hanya mengenali apa yang ditinggalkan oleh penjajah masing-masing.
Islam adalah petunjuk Allah, pencipta alam semesta termasuk makhluk manusia. Petunjuknya adalah sempurna memenuhi naluri atau fitrah manusia yang tidak mampu dipenuhi oleh semua agama dan ideologi lain daripada Islam yang menjadi punca atau sebab kegagalannya.
Firman Allah:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١) قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ (٤٢﴾
[الروم: 41-42]
- “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (41) Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik". (42)” (ar-Rum: 41-42)
Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman. Ini dapat disaksikan kebenarannya terkini apabila seluruh dunia dan manusia menghadapi krisis nilai dan masyarakat, sehingga mencetuskan krisis politik, ekonomi, pentadbiran, moral dan alam sekitar. Puncanya kerana syirik. Bukan sahaja syirik dalam ibadat, namun termasuk juga dalam mencipta penyelesaian sendiri di luar kemampuan sehingga meninggalkan petunjuk Allah yang Maha Rahmat dan Adil terhadap makhluknya.
Firman Allah:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٢١﴾
[الشورى: 21]
- “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang lain daripada Allah) yang mencipta untuk mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (as-Syura: 21)
WINS adalah berpandukan acuan Allah daripada petunjuk al-Quran. Firman-Nya:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ(٤١﴾
[الحج: 41]
- “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat (sembahyang), serta memberi zakat (sumbangan harta atau ekonomi), dan mereka melaksanakan amar maaruf (berkebajikan), serta nahi mungkar (melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar). Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (al-Hajj: 41)
Ayat ini mengandungi di dalamnya 4 ciri terpenting dalam aspek menegakkan negara sejahtera berkonsepkan ibadah kepada Allah di dalam solat agar manusia memimpin dengan jati dirinya berhubung dengan Allah dan peranan manusia bermasyarakat madani melalui ibadat, khilafah dan amanah untuk melaksanakan syariat:
1.Mendirikan solat
Mentarbiyah pemimpin supaya sentiasa memohon hidayah Allah setiap waktu yang wajib dan sunat, bagi melaksanakan seluruh kehidupannya bersama hidayah tersebut. Bukan sekadar ilmu dan pengalamannya sahaja dan bukan juga mendirikan masjid tanpa mendirikan solat, tetapi memakmurkan masyarakat yang menghubungkan urusan negara dengan Islam yang sempurna.
Meneguhkan keimanan, bukan sahaja sokongan rakyat melalui pilihan raya yang terdedah kepada kejahilan dan penipuan, tetapi juga beriman kepada kewajipan daripada Allah yang ada perhitungan dosa dan pahala.
Ini sangat berbeza dengan ideologi yang dipisahkan daripada urusan agama yang bukan maksudnya daripada kalimah al-Din dan juga berlainan dengan agama-agama dan ideologi yang tidak sempurna tanpa politik, ekonomi dan urusan kemasyarakatan.
Menafsirkan perkataan Islam sebagai agama persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan perkataan al-Din mengikut istilah yang merdeka daripada penjajah kerana Islam adalah sempurna dan merangkumi urusan agama dan ideologi.
Maka negara sejahtera bercirikan ayat al-Quran yang disebutkan di atas dan menghubungkan politik kepada iman atau aqidah yang diikat dengan sentiasa beribadat kepada Allah melalui ikatan solat yang diucapkan dengan bacaan:
الحمد لله رب العالمين
- “Segala pujian itu bagi Allah Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam semesta”
Mewajibkan patuh kepada syariat Allah dengan ikhlas dalam segala urusannya, termasuk juga mentadbir negara selepas bersolat. Dilafazkan di dalam solat itu:
إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين
- “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku semata-mata kerana Allah Pencipta dan Mentadbir Alam”
Setiap calon PAS diwajibkan baiah yang menjadi sebahagian daripada rukun politik Islam. Politik yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan perintah Allah daripada Al-Quran. Para ulama’ dan ilmuan Islam yang setia dan beramanah mewarisi cara pelaksanaan Rasulullah S.A.W, menetapkan ketaatan (kepatuhan) dan wala’ (kesetiaan) mutlak kepada Allah dan Rasul yang menjadi aqidah perjuangannya sehingga ketaatan rakyat terhadap pemimpinnya bersyaratkan tidak menderhakai perintah Allah dan Rasul.
Ini berbeza dengan kalangan yang memperkecilkan baiah sehingga boleh melakukan apa sahaja. Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ (١﴾
[المائدة: 1]
- “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian (termasuk perjanjian syahadah dan baiah)”. (al-Maidah: 1)
Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا(١٠﴾
[الفتح: 10]
- “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan baiah (memberi pengakuan taat dan wala’ (setia) kepadamu (wahai Muhammad S.A.W), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya, maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar” (al-Fath: 10)
Selain itu, dikaitkan baiah dengan iman atau aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat supaya melaksanakan konsep adil terhadap masyakat majmuk yang berbilang bangsa, agama dan sikap terhadap kerajaan. Tegasnya, adil terhadap seluruh rakyat tanpa mengira penyokong kerajaan atau pembangkang, kerana semuanya adalah sebahagian daripada negara.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (٨﴾
[المائدة: 8]
- “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (al-Maidah: 8)
Rasulullah S.A.W melakukan baiah apabila memerintah negara, dan dikuti oleh pemerintah Islam dan parti Islam yang menyambung perjuangannya.
Setiap calon PAS yang beragama Islam sebelum berbaiah, hendaklah lebih dahulu diluluskan oleh Majlis Syura Ulama secara jamaie selepas diketahui peribadinya secara terperinci daripada semua sumber maklumat sekadar kemampuan.
Kenyataan pihak kerajaan di Parlimen menyebut bahawa kerajaan PAS khususnya di Kelantan yang paling lama memerintah, bersih daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini menunjukkan kejayaan aspek tarbiah dan baiah dalam membina jati diri dan syakhsiah pemimpin kerajaannya.
2.Konsep ekonomi yang adil (zakat)
Ekonomi menyumbang kepada negara dan masyarakat. Salah satu ciri terpenting yang menjadi rukun negara sejahtera adalah melaksanakan konsep ekonomi yang adil dan mewajibkan zakat kepada penganut Islam sahaja yang merupakan ibadat harta daripada mereka yang berada dan berkemampuan.
Konsep ini menjadi petunjuk dalam aspek percukaian yang diwajibkan ke atas mereka yang mampu sahaja. Tidak menyekat kekayaan seperti teori sosialis dan komunis dan tidak bebas sehingga berlakunya kekayaan yang berpusing di kalangan orang yang tertentu sahaja yang menjadi penyakit teori liberal kapitalis.
3.Negara Berkebajikan (amar maaruf)
Amar Makruf adalah konsep Negara Berkebajikan yang berbeza dengan konsep Negara Kebajikan (Welfare State). Berkebajikan itu merangkumi seluruh kehidupan manusia yang berhubung dengan Allah, diri, keluarga dan masyarakat sehingga melibatkan kerajaan dan rakyat menunaikan tanggungjawab dalam seluruh kegiatan kerajaan dan masyarakatnya yang melibatkan jasad, roh, ilmu dan akhlak.
Dalam bidang ekonominya berpandukan firman Allah:
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (٧﴾
[الحشر: 7]
- “(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (al-Hasyr: 7)
Contohnya GST adalah cukai darurat ekonomi apabila berada dalam keadaan darurat. Adakah ekonomi kita dalam keadaan darurat? Sebelum itu, hendaklah mengurus hasil tanpa cukai dengan baik, zakat dan cukai dikenakan kepada yang melibatkan kalangan yang berkemampuan terlebih dahulu, serta tidak berlakunya ketirisan atau salah laku tanpa membebankan rakyat termiskin, kerana kesan GST berlakunya inflasi.
4.Kehaibatan undang-undang tarbiyah (Nahi Mungkar)
Konsep Nahi Mungkar dengan maksud yang luas, bukan sahaja melaksanakan undang-undang yang punya kehaibatan mendidik masyarakat dan bukan sekadar menghukum sekeras-kerasnya seperti Hudud, Qisas dan Takzir, tetapi dengan syarat-syarat yang sukar bagi menjatuhkan hukuman dengan memilih bertaubat atau hukuman Takzir yang ringan lebih digalakkan.
Namun undang-undangnya memberi kesan rohani kepada penjenayah atau bakal penjenayah. Hanya kalangan yang mengambil hasil haram daripada penjenayah juga menentangnya.
Nahi Mungkar juga adalah kebebasan bersuara oleh semua pihak terhadap kerajaan dan jenteranya, bukan sahaja oleh kalangan yang dinamakan pembangkang, tetapi pihak dalam kerajaan sendiri boleh membangkang dan juga rakyat umum.
Ditegaskan dengan penubuhan badan yang dinamakan hisbah di bawah kuasa perundangan untuk melakukan muhasabah terhadap pemimpin kerajaan, jentera kerajaan dan kegiatan rakyat dalam segala lapangan.
Ditegaskan dengan penubuhan badan yang dinamakan hisbah di bawah kuasa perundangan untuk melakukan muhasabah terhadap pemimpin kerajaan, jentera kerajaan dan kegiatan rakyat dalam segala lapangan.
5. Akhirnya Wawasan Sejahtera (ولله عاقبة الأمور)
Berkeyakinan bahawa penyelesaian Islam itu pasti memberi kemenangan dan kejayaan dalam kehidupan dunia sehingga menerima ganjaran di Hari Akhirat yang kekal abadi berpandukan firman Allah:
فَآتَاهُمُ اللَّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الْآخِرَةِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ(١٤٨﴾
[آل عمران: 148]
- “Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (ali-Imran: 148)
Firman Allah:
يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١٢) وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (١٣﴾
[الصف: 12-13]
- “(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. (12) Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di alam dunia). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (13)” (as-Saff: 12-13)
Mewajibkan keyakinan kepada Wawasan Sejahtera bersama Islam yang jauh dan luas kerana lapangannya daripada dunia sehingga akhirat, menggantikan Wawasan 2020 di Malaysia atau Wawasan 2030 di negara arab yang diperkenalkan kini, yang pasti gagal di dunia sebelum akhirat kerana salah kiblat politik walaupun betul kiblat solatnya, yang diakibatkan daripada ideologi kanan dan kiri walaupun diubah kepada pragmatik.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Jamadil Akhir 1439 / 15 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 15/3/2018
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Jamadil Akhir 1439 / 15 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 15/3/2018
Lihat juga..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
No comments:
Post a Comment