Thursday, March 29, 2018

Kit Siang Perlu Pujuk Guan Eng




KUALA LUMPUR  – Sebagai seorang ahli politik veteran yang gemar menayangkan dirinya sebagai antirasuah dan menyokong ke­telusan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak seharusnya memperlekeh dakwaan Timbalan Pre­siden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berhubung skandal terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.
Sebaliknya, ahli politik berusia 77 tahun itu seharusnya ‘memujuk’ anak lelakinya, Lim Guan Eng supaya tampil mempertahankan diri mengenai pendedahan itu dan tidak semata-mata menafikannya tanpa sebarang penjelasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan, pengiraan kerugian RM20.5 bilion yang dilakukan oleh Ka Siong dalam pendedahannya itu adalah bersandarkan fakta dan bukannya ‘cakap kosong’.
“Rakyat Malaysia masih lagi terkejut dan mahu penjelasan mengenai ke mana RM22 juta dibayar dan kewujudan dua individu dalam usaha menghentikan siasatan penyelewengan terhadap projek berkenaan. Ia me­nuntut persoalan, jika RM22 juta sudah dibayar untuk menutup rasuah, apakah pula skala ra­suah yang terlibat hingga memerlukan ia ditutup?” soalnya dalam kenya­taan di sini, hari ini.
Abdul Rahman menjelaskan, beliau berkesempatan menonton video yang dimuat turunkan oleh Ka Siong dalam laman sosial dan kenyataannya mengenai skandal terowong dasar laut itu adalah berdasarkan fakta dan masuk akal.
“Skandal terowong ini bukan perkara remeh kerana ia melibatkan berbilion wang dan aset rakyat Pulau Pinang selain enam individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” tambahnya.
Tindakan Kit Siang yang memperlekehkan Ka Siong dan menggelarnya dengan pelbagai gelaran seperti kaki kucing dan pembunuh ninja katanya, bukan sahaja tidak menggambarkan ciri-ciri seorang pemimpin politik malah amat mengecewakan.
Tambah beliau, semalam, Kit Siang membawa dirinya ke tahap paling rendah apabila mencabar Ka Siong untuk bertanding di Pulau Pinang dan dengan ang­kuhnya mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu akan kehilangan deposit jika berbuat demikian.
“Saya memahami keperluan Kit Siang bagi mempertahankan anaknya dalam skandal ini, namun Kit Siang tidak sepatutnya menggalakkan ahli politik DAP untuk menyalahgunakan sokongan rakyat kepada DAP semata-mata untuk menutup penyelewengan itu,” ujarnya.
Katanya, Ka Siong telah mengambil langkah berani de­ngan menganjurkan satu forum mengenai skandal terowong itu di kawasan pilihan raya Guan Eng pada Jumaat ini.
“Jika Guan Eng tidak berani untuk hadir forum ini, saya cadangkan Kit Siang hadir dan menjawab dakwaan-dakwaan serius terhadap anaknya dan kerajaan Pulau Pinang yang dite­rajui mereka.
“Kit Siang tidak seharus­nya menyalahgunakan sistem demokrasi dan sokongan rakyat. Sebaliknya, Kit Siang patut me­lakukan apa yang dilaungkannya,” tambahnya.-Utusan
Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails