Friday, March 30, 2018

Mukhriz &Proton Punca Dendam Mahathir -Eric See-To.




Pendedahan dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri minggu lalu mengenai Tun Dr Mahathir yang menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kerana didorong dendam ekoran permintaan peribadinya ditolak Najib, seharusnya diberikan perhatian serius.
Antaranya, Ismail menyebut Najib menolak permintaan Mahathir untuk menswastakan MAS kepada seorang rakannya, lesen judi sukan rakan Mahathir diberi kelulusan dan berbilion diberikan sebagai bantuan kepada Proton.
Mari kita lihat satu lagi kejadian yang kemudiannya disusuli dengan pengumuman popular pada Ogos 2014 di mana Mahathir tidak lagi mahu menyokong Najib.
Saya yakin apa yang berlaku dalam tempoh 10 bulan sangat kritikal untuk mendorong Mahathir menentang Najib walau apa sekalipun, yang kemudiannya mencetus kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi.
Pada September 2013, anak Mahathir, Mukhriz mengenepikan saranan untuk mengekalkan status quo bagi jawatan tiga naib presiden UMNO, sebaliknya memilih untuk bertanding sama, biarpun sebelum itu Mukhriz tewas teruk bagi pertandingan jawatan ketua Pemuda Umno pada 2008.
Seperti dijangkakan, Mukhriz kalah sekali lagi bagi jawatan naib presiden ketika keputusan diumumkan pada 21 Oktober 2013.
Mahathir sangat ketara, berang dengan kekalahan anaknya dan menyalahkan Najib kerana tidak menyokong Mukhriz dan menuduh Najib menyokong sepupunya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menewaskan Mukhriz bagi jawatan terakhir naib presiden.
Sebuah media asing turut memetik kemarahan Mahathir:
“Kami diberitahu mereka telah menghapuskan politik wang ketika pemilihan Umno baru-baru ini, namun saya tidak yakin,” kata Mahathir dalam satu sidang media di Putrajaya.
Biarpun beliau tidak menyebut nama Najib secara spesifik, beliau berkata: “Saya rasa terdapat banyak penglibatan wang, melibatkan jutaan ringgit, dan ramai yang tidak sepatutnya menerima undi memperolehinya kerana wang yang dibelanjakan.”
Biarpun Mukhriz secara terbuka menyatakan dia mahu dilantik oleh presiden sebagai salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, namanya tidak disenaraikan pada pengumuman 30 November 2013.
Najib yakin Mukhriz yang baharu sahaja diberikan jawatan menteri besar Kedah memerlukan lebih banyak pengalaman dan membuktikan dirinya sebelum mendaki tangga kepimpinan parti. Lagipun, Mukhriz akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi berikutan jawatan menteri besar disandangnya, oleh itu, dia tidak memerlukan jawatan yang sama melalui lantikan.
Saya yakin Mahathir tidak akan gembira dengan apa yang berlaku di mana beliau menyatakan berulangkali “mereka terhutang budi kepada saya” dan yakin bahawa beliau adalah individu yang menaikkan Najib sebagai presiden kerana Najib adalah anak kepada Tun Abdul Razak, dan ‘budi’ yang sama perlu dikembalikan kepada Mukhriz.
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan ketika hari pertama Perhimpunan Agung UMNO pada 2 Disember 2013, Mahathir membuat pengumuman bahawa beliau meletak jawatan sebagai Penasihat Petronas.
Beliau memberi alasan usia 88 tahun adalah terlalu uzur dan doktor turut menasihatkannya untuk mengundur diri atas faktor kesihatan.
Berikutan apa yang berlaku dan bila ia berlaku, ramai yang tidak mudah diperbodohkan dengan cubaan secara terbuka Mahathir untuk menunjukkan rasa tidak puashati terhadap Najib atas kekalahan anaknya, Mukhriz. Agensi berita antarabangsa, Reuters melaporkan perletakan jawatan Mahathir sebagai penasihat Petronas:
“Perletakan jawatan Mahathir, bagaimanapun, hadir ekoran hubungan dengan Perdana Menteri, Najib Razak semakin tegang beberapa bulan lalu, lebih-lebih lagi dengan keengganan Najib untuk memberi sokongan kepada anak Mahathir bagi jawatan penting dalam UMNO. Lembaga Pengarah Petronas melapor terus kepada perdana menteri.”
Di sebalik alasan kurang sihat dan faktor usia untuk menjadi penasihat Petronas, Mahathir kemudiannya mengambil jawatan pengerusi Proton Berhad, lima bulan selepas itu pada Mei 2014.
Ramai yang tahu, Mahathir menganggap Proton bagai anaknya sendiri.
Proton sudah mengalami kerugian sejak DRB-Hicom, yang dimiliki rakan lamanya, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih syarikat itu dua tahun lalu. Berikutan ambil alih itu, Proton tidak lagi milik kerajaan dan menjadi milik 100 peratus syarikat persendirian.
Proton berdepan masalah dan ia turut menjadi beban kepada kumpulan DRB-Hicom. Beberapa tahun sebelum Mahathir dilantik sebagai pengerusi, kerajaan telah menolak beberapa permohonan dari Proton berjumlah berbilion ringgit sebagai bantuan kerana ia adalah sebuah syarikat persendirian.
Adalah menjadi pengetahuan umum, perlantikan Mahathir sebagai pengerusi Proton adalah sebagai memberi tekanan kepada kerajaan untuk menyalurkan bantuan berbentuk geran percuma RM3 bilion kepada Proton sebagai bantuan.
“Dengan Dr M di Proton, Putrajaya tidak boleh katakan tidak untuk wang yang diminta,” kata satu laporan.
“Perlantikan Dr Mahathir berusia 88 tahun itu sebagai pengerusi Proton akan memperkukuhkan kedudukan Proton terhadap kerajaan. Menurut beberapa individu, Mahathir kecewa ekoran keengganan Petroliam Nasional Berhad dan kerajaan untuk memberi dana RM3 bilion bagi pelan transformasi Proton dan ini menyebabkan beliau memilih untuk memainkan peranan dalam syarikat pembuat kereta nasional itu,” kata laporan The Edge ketika itu.
Mahathir sendiri berulangkali berkata Proton berhak menerima geran berkenaan dari kerajaan kerana ‘Proton memang berhak.’
Bagaimanapun, kerajaan masih menolak permohonan itu yang turut menyebabkan Mahathir menulis mengenai keputusannya untuk tidak lagi menyokong Najib melalui satu tulisan pada 18 Ogos 2014.
Alasan diberikan ialah rasa tidak puashatinya terhadap keputusan kerajaan untuk memansuhkan ISA, menyalurkan BR1M, melaksanakan gaji minimum dan menuduh Najib mengutamakan produk import berbanding barangan tempatan yang dipercayai merujuk kepada Proton.
Tiada langsung disebut mengenai RM2.6 bilion atau 1MDB ketika pengumuman itu ditulis.
Ironinya, sebagaimana manifesto Pakatan bagi Pilihanraya Umum ke-14, Mahathir kini membuat pusingan-U bagi kebanyakan rasa tidak puashatinya dengan menyatakan BR1M akan diteruskan dan menaikkan gaji minimum sebanyak 50 peratus kepada RM1,500 sebulan.
Sebelum ini, Mahathir telah menulis bahawa kerajaan yang melaksanakan gaji minimum RM900 sebulan pada tahun 2011 akan menyebabkan inflasi teruk, perniagaan akan lingkup dan mengurangkan daya saing Malaysia. Tetapi kini, manifesto diumumkan beliau mahu menaikkan kadar itu kepada RM1,500 sebulan.
Secara ringkasnya, Mahathir sudah tentu merasa sangat kecewa dan egonya terluka akibat layanan diberikan terhadap dua anaknya, Mukhriz dan Proton sepanjang 10 bulan itu.
Mahathir sudah tentu menyalahkan Najib dan kekecewaan ini diterjemahkan melalui kemarahan dan keinginan untuk membalas dendam.
Pada awalnya, Mahathir mengorak langkah dan cuba untuk mengguling Najib melalui pengaruh dalam parti namun gagal. Ini termasuk menggunakan isu RM2.6 bilion dan siasatan 1MDB.
Dua bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri, Muhyiddin memberitahu ahli Majlis Tertinggi UMNO bahawa sememangnya wujud konspirasi untuk menggulingkan Najib tetapi beliau mendakwa tidak terlibat.
Muhyiddin turut merujuk kepada RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib dan berkata beliau tidak mempunyai masalah terhadap dana berkenaan kerana ia sememangnya adalah amalan dari dahulu lagi di mana wujud satu akaun khas bagi presiden UMNO.
Sehingga kini, Muhyiddin enggan mengesahkan atau menafikan apa yang dikatakan itu biarpun wujud satu rakaman audio pengakuannya yang sudah disebarkan dua tahun lalu.
Selepas berusaha lebih dua tahun dan masih gagal menggulingkan Najib ketika Mahathir masih lagi dalam UMNO, Mahathir kemudian meninggalkan UMNO untuk bekerjasama dengan Pakatan termasuk musuh utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Ramai pemimpin DAP berulangkali menyatakan mereka hanya menggunakan Mahathir dan Mahathir tidak kisah dipergunakan asalkan matlamat utamanya tercapai, iaitu membalas dendam.
Anda juga mungkin terfikir apakah konsesi yang diberikan Mahathir kepada DAP serta PKR untuk menyatakan persetujuan bekerjasama.
Ini juga menjelaskan mengapa Mahathir membuat banyak pusingan-U terhadap prinsip yang dilaungkan sebelum ini termasuk mengenai Anwar, ISA, gaji minimum, GST, DAP, mengawal media dan sebagainya.
Beliau hanya menggunakan apa sahaja cara yang boleh, bercakap apa dikehendakinya serta sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai hasrat untuk membalas dendam.
Dan ini sangat ketata ketika pelancaran manifesto Pakatan bagi PRU14, di mana 45 minit dihabiskan Mahathir untuk menyebut nama Najib beratus kali dan hanya beberapa kali sahaja menyebut tentang manifesto berkenaan.
Sebagai peneraju Pakatan Harapan dan calon perdana menteri, Mahathir sepatutnya memberi penjelasan kepada rakyat betapa hebatnya manifesto mereka, apa manifesto mereka yang boleh selesaikan, bagaimana rakyat mendapat manfaat dan apa visinya untuk negara ini.
Sebaliknya, beliau menggunakan platform itu untuk menyerang secara peribadi terhadap Najib ekoran dendam menggunungnya.
Apapun, saya tidak tahu sama ada Mahathir sedar apa yang termaktub dalam manifesto mereka. Bukannya beliau tidak peduli tetapi dendam kesumatnya melangkaui segala-galanya, termasuk masa depan negaranya.
*ERIC SEE-TO adalah timbalan pengarah, Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC).


Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

1 comment:

peminat ibnu hasyim said...

RAKYAT SEDANG DIASAK KE DINDING UNTUK AKUR DENGAN KEMENANGAN NAJIB DAN BN....

Hakikat bahawa persempadanan baru kawasan pilihanraya dan akta berita palsu adalah senjata baru bagi Najib Razak untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang semakin tidak dapat disangkal lagi.

Kedua-duanya terus diusulkan di Parlimen, meskipun bantahan kelihatan nyata dan memuncak di mana-mana.

Usul persempadanan baru kawasan pilihanraya hanya dibahaskan dalam tempoh kira-kira 4 jam sebelum diluluskan di mana 5 Ahli Parlimen pembangkang sekadar diberi masa selama 10 minit untuk berhujah dan membahaskannya.

Ini mungkin merupakan rang undang-undang paling pantas sekali pernah diluluskan oleh Parlimen.

Ia berbeza dengan rang undang-undang lain, malah keistimewaannya melebihi RUU 355 untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang telah tertangguh sejak beberapa sessi Parlimen yang lalu.

Dalam hal ini, di manakah sebenarnya perjuangan mahu meningkatkan martabat Islam di mata pemimpin UMNO dan BN?

Bahkan hakikat ini semakin mengesahkan bahawa RUU 355 itu tidak lebih hanya untuk membuai perasaan pemimpin-pemimpin Pas untuk terus mendekat dan berbaik-baik dengan UMNO bagi kepentingan kuasa Najib yang semakin longgar dan hampir terkulai.

Begitu juga dengan akta berita palsu, setelah bacaan kali kedua dilakukan semalam, sudah pasti ia akan diluluskan pada minggu depan apabila sidang Parlimen disambung pada Isnin.

Kedua-dua rang undang-undang ini sengaja dibentang dan diluluskan untuk kepentingan Najib, UMNO dan BN mengekalkan kuasanya.

Pada kebiasaannya, persempadanan baru kawasan pilihanraya diadakan setiap 10 tahun sekali. Kali terakhir persempadanan baru diadakan ialah pada 2003.

Meskipun BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga sejak 2008 untuk membolehkannya menambah kawasan-kawasan pilihanraya baru, lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya ini sepatutnya diadakan sebelum PRU 2013 lalu iaitu 10 tahun selepas kali terakhir ia dilakukan pada 2003.

Kenapakah  SPR tidak melakukannya sebelum PRU 2013 yang lalu?

Kenapa hanya menjelang PRU 14 di mana sokongan rakyat terhadap Najib begitu merosot dan beliau sendiri terpalit dengan skandal mega 1MDB, maka baru lakaran baru kawasan pilihanraya mahu dilakukan?

Hal yang sama juga berkaitan akta berita palsu, kenapa hanya setelah Najib, UMNO dan BN terlihat kalah dalam perang media sosial dan rakyat semakin berani menunjuklan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinannya, barulah akta berita palsu mahu diwujudkan?

Apakah tidak cukup lagi undang-undang jenayah, akta hasutan serta akta komunikasi dan multimedia untuk membendung berita-berita yang dianggap palsu itu?

Selepas akta berita palsu dikuatkuasakan nanti, siapakah yang mahu menangkap dan mendakwa Najib jika dalam ucapan dalam kempen-kempen pilihanrayanya, beliau terus menyatakan kepalsuan seperti Pakatan Harapan dikuasai DAP, perjuangan Tun Mahathir ialah untuk menaikkan anaknya Mukhriz sebagai Perdana Menteri dan segala bantuan kerajaan akan dihentikan apabila gabungan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara?

Ternyata akta berita palsu ini adalah untuk kegunaan sewaktu kempen pilihanraya dengan kerajaan yang masih dikuasai BN, ia dengan mudah akan mengkategorikan semua berita yang tidak memihak kepada BN sebagai berita palsu yang membolehkan penyebarnya dihukum sehingga penjara 6 tahun dan denda RM500 ribu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails