SEPERTI yang kita maklum dan paham dan perlu difahami, Islam bukan sahaja agama atau religion seperti yang difahami oleh orang yang bukan Islam, Islam adalah sempurna dan lengkap.
Isu rasuah ini bukan sahaja perkara politik pentadbiran, termasuk dalam perkara agama. Disebut dalam Quran, disebut dalam Hadis-hadis Nabi S.A.W, bukan sahaja secara hukum, bahkan mendedahkan umat yang dilaknat oleh Allah orang Yahudi Bani Israil, diantaranya penyakit rasuah.
Menangani rasuah
Dalam menangani masalah rasuah ini, Islam berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia. Kerana hukum Islam itu melibatkan undang-undang yang zahir termasuk undang-undang yang bersifat spiritual. Bukan sahaja salah dari segi undang-undang, termasuk berkait dengan dosa yang akan dikira pada hari akhirat.
Seorang yang tak dihukum di dunia kerana bijak dia melarikan daripada rasuah, tak lepas di akhirat. Ini perbezaan antara Islam dan bukan Islam. Dengan sebab itu pemerintah Islam di zaman awal berjaya menangani rasuah dan membersihkan kerajaannya daripada rasuah dengan kesempurnaan aspek ini yang berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia.
Adapun laporan media asing, kita mesti menerima secara positif. Yang pertama kita terima kasih kepada media asing kerana mungkin mereka menyenaraikan tindakan-tindakan yang banyak diambil oleh kerajaan. Ataupun mereka melaporkan rasuah secara berita, sepatutnya mereka beritahu secara detail supaya kerajaan boleh bertindak.
Tidak dinafikan dalam dunia ini ada negara yang banyak rasuah, tapi disembunyikan, disembunyikan, bukan sahaja media asing termasuk media dalam negeri. Dengan sebab itu kita mengalu-alukan sebarang laporan tentang rasuah sama ada laporan tindakan yang banyak diambil ataupun melaporkan perlunya kalangan bertindak, tetapi mesti dilaporkan dengan betul. Jadi kita terima secara positif dan negatif.
Jangan menghukum sebelum dibuktikan
Mengikut ingatan saya rasuah ini berlaku sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Bukan sahaja zaman sekarang. Zaman peristiwa yang berantai, yang sambung-menyambung.
Malangnya dalam tahun 80-an, banyak pendedahan rasuah ini berhenti di tengah jalan, tak diambil tindakan. Yang berkait dengan BMF, berkait dengan KWSP, berkait dengan Tabung Haji, berkait dengan macam-macam lagi, Skyhawk dan lain-lain. Dan kita harap isu 1MDB ini kerajaan bertindak, bertindak dengan cara yang adil dan telus. Dan kepada kita, kita tidak mahu tuduhan sahaja, mesti kena ada bukti yang terang dan nyata.
Pihak masyarakat, pihak media jangan menghukum sebelum dibuktikan. Kerana mengikut kaedah Islam, kaedah Islam, orang yang dituduh dianggap tidak bersalah selagi tidak ada bukti. Jadi masalah kitanya kita tidak tunjukkan bukti-bukti. Dengan sebab itu mesti ada bukti dan ada tindakan yang adil dan telus mesti diambil. Kita berharap kerajaan yang ada ini tidak mengulangi kerajaan yang sebelumnya yang terhenti di tengah jalan.
Di zaman Tunku Abdul Rahman, saya masih ingat ada Menteri yang dipecat, ada Menteri yang diturunkan, tak perlu disebut namalah, takut aib keluarga dia. Tapi zaman selepas itu kita melihat apabila timbul isu tak ada Menteri yang diberhenti, tak ada Menteri yang diambil tindakan, tak ada. Yang adanya ialah ikan-ikan bilis yang kecil (diambil tindakan). Jerung yang besar tak ada (diambil tindakan).
Laksana secara praktikal
Yang pertama dalam menangani masalah rasuah ini kita bukan sahaja cakap, kita laksanakan secara praktikal. PAS pernah memerintah kerajaan negeri, Kelantan, Terengganu tahun 1959 sehingga tahun 1979 di Kelantan, tahun 1990 kita perintah balik sehingga hari ini. Dan kita pernah memerintah Terengganu satu penggal tahun 1999 - 2004. Kita pernah memimpin kerajaan Negeri Kedah, dan kita pernah terlibat dalam kerajaan campuran. Dan tak ada laporan tentang pemimpin kita yang terlibat dengan rasuah. Itu secara praktikal, secara amali.
Yang kedua secara ucapan boleh dirujuk kepada ucapan-ucapan di Parlimen dan ucapan Dewan Negeri, tiap-tiap penggal pemimpin kita membuat ucapan dan menegur tentang rasuah. Tetapi tidak mendapat liputan daripada media. Kita tak penting liputan media ini, apa yang penting ialah kita menjalankan tugas kita dan kita tak berhenti dalam masalah ini. Begitu juga termasuk guru-guru ugama kita, pensyarah kita dalam ucapannya selalu sebut masalah rasuah ini.
Pendidikan
Untuk menangani rasuah ini bukan sahaja melalui tindakan undang-undang, termasuklah juga melalui pendidikan, tarbiyah dan pelajaran. Apa yang berlaku menunjukkan kegagalan pendidikan dan tarbiyah kita dalam menjiwai rakyat supaya menganggap rasuah ini suatu perkara yang haram. Bukan sekadar salah dari segi undang-undang sahaja.
Tindakan mendidik hanya salah dari segi undang-undang sahaja tak ada aspek agama dalam pendidikan ini menyebabkan lemahnya roh, aspek rohani dalam diri, dalam keluarga, ini menimbulkan ruang-ruang untuk dilakukan rasuah itu berlaku.
Sama ada melalui secara langsung pemimpin, keluarga pemimpin, mereka yang ada hubungan dengan pemimpin. Ini dilaporkan oleh al-Quranul Karim, al-Quran menyebut kisah-kisah yang banyak bagaimana rasuah ini berlaku bukan sahaja melalui tokoh, termasuklah isteri, termasuklah keluarga tokoh diriwayatkan ulama-ulama tafsir.
Di sini menunjukkan bahawa perlunya tarbiyah secara umum, secara menyeluruh. Kita melihat bagaimana Nabi kita Muhammad S.A.W yang mengharamkan keluarga dia menerima zakat, boleh terima sedekah sahaja. Bila seorang cucu dia makan buah tamar daripada zakat, terus dibuang daripada mulutnya. Cucu dia sendiri itu sebiji buah tamar sahaja, itu aspek pendidikan kepada anak-anak yang ditunjuk oleh Nabi S.A.W.
Dan termasuk dalam satu kisah bila seorang Sahabat yang ditugaskan untuk memungut hasil di satu daerah, lalu pulang ke Madinah. Sahabat itu mengatakan wahai Rasulullah, yang ini (hasil) tugas saya, yang (hasil satu lagi) ini orang bagi kepada saya.
Lalu Nabi menegur dan Nabi sebut dalam ucapan, tak sebut nama yang buat itu, Nabi kata ada orang kalangan kita ini dia pulang telah ditugaskan untuk memungut hasil, yang ini adalah (hasil) tugas saya, yang (hasil satu lagi) ini untuk saya. Adakah sekiranya dia tidak memegang jawatan ini, dia akan diberi hadiah ini? Barangsiapa yang mengambil secara haram, dia ambil itu adalah perkara yang diharamkan. Itulah lebih kurang maksud Hadis. Itu Nabi mendidik Sahabat-sahabat dia, bukan hanya mendidik dari segi undang-undang, termasuk mendidik dari segi agama, ada perhitungan dosa dan pahala.
Kita diajar dalam Islam, bukan sahaja adanya penguatkuasa, termasuklah adanya malaikat yang menjaga, yang mencatit amalan kita, bukan sahaja amalan ibadat, termasuk amalan mentadbir, mengurus negara. Semua akan dihisab di hadapan Allah Taala.
Jadi aspek mendidik secara iman, ini perlu, penting, bukan secara budiman, kena ada iman. Bukan secara akhlak, tetapi kena ada akidah, percaya kepada Allah dan hari akhirat. Percaya kepada perkara yang ghaib. Aspek ini tak ada dalam idealogi, tak ada dalam undang-undang ciptaan manusia.
Baiah
Yang pertama saya bersyukur kepada Allah Taala yang telah menyelamatkan pimpinan PAS yang diberi amanah untuk memerintah negara daripada disiasat. Yang kedua saya ucap terima kasih kepada Menteri yang berkenaan kerana memberi jawapan yang terbuka. Kita tak mahu berbangga diri. Apa yang perlu ialah supaya pihak lain berkongsi kefahaman dalam masalah ini.
Yang terpenting kita menganggap bahawa Islam adalah sempurna, semua perkara dalam kehidupan kita ada kait dengan agama, ada kait dengan dosa dan pahala, bukan perkara ibadat sahaja, termasuklah yang berkait dengan politik.
Di sinilah tiap-tiap orang wakil rakyat PAS dan tiap-tiap petugas PAS dibaiahkan, dibaiah. Dibaiah yakni diikat setiakan perjanjian dengan nama Allah supaya menunaikan tanggungjawab di atas nama agama, patuh kepada perintah agama, tidak khianat. Bukan sahaja dalam aspek-aspek yang sempit, termasuklah dalam ruang yang luas, dalam menjalankan tugas-tugas mereka bila diberi amanah untuk memerintah negara.
Di mana tiap-tiap orang kalangan kita bila dilantik jadi wakil rakyat, dilantik jadi pemimpin menganggap ini perkara agama. Dan dia tidak melakukan kesalahan sama ada di hadapan mata manusia ataupun tak ada manusia. Kerana kita menganggap ini perkara yang berkait dengan Allah Taala, berkait dengan hari akhirat, berkait dengan percaya kepada yang ghaib.
Saya sebut sebagai satu contoh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, biar saya dedahkan di sini pernah menceritakan kepada saya, ketika beliau baru jadi Menteri Besar Negeri Kelantan, ada orang datang berjumpa dengannya nak bagi duit dengan jumlah yang begitu besar, begitu besar antara Tok Guru dengan orang itu sahaja, orang itu sahaja. Maknanya orang tak tahu. SPRM tak ada.
Tok Guru menunjukkan muka yang masam dan marah, geram. Dia cerita kepada saya, celakalah orang ini. Dia ingat aku ini siapa. Tok Guru ingat pada Allah Taala, Allah Taala. Ini satu contoh. Itu orang yang sudah mati, kita kena ambil pengajaran, yang hidup ini kena ikut dialah. Jadi kita ambil contoh daripada orang yang sudah mati meninggal dunia. Itu satu contoh.
Dan dengan berkat ini kita boleh memerintah Kelantan sampai 27 tahun, masuk 28. Walaupun dalam keadaan kewangan yang begitu disekat, begitu ditahan, tetapi ada berkatnya. Berkat Kelantan boleh hidup. Begitulah negeri yang kita perintah, kita jatuh bukan dengan sebab rasuah. Jatuh dengan sebab hal-hal yang salah laku pihak yang lain terhadap kita.
Hisbah
Hisbah adalah satu institusi yang ditubuh oleh kerajaan Islam untuk melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar. Bukan sahaja melibatkan rakyat, termasuk melibatkan pemimpin kerajaan dan semua jentera kerajaan yang diberi bidang kuasa perundangan, dilindungi oleh undang-undang. Sehingga boleh bertindak terhadap ketua negara, boleh bertindak terhadap ketua pentadbiran, boleh bertindak terhadap siapa.
Menerima pengaduan kerajaan yang menghadapi masalah-masalah kerenah rakyat dan menerima pengaduan rakyat yang menghadapi kerenah-kerenah kerajaan. Ini luasnya bidang kuasa hisbah,ombudsman kalau tak silap saya. Ha ombudsman.
Di mana bidang ini tak ada dalam pentadbiran negara sekular. Ini wujud dalam Islam. Bila kita memerintah Terengganu, oleh kerana Terengganu itu dia punya bidang kuasa politik dan kedudukannya agak lebih terbuka daripada negeri yang lain, kita cuba menubuhkan hisbah dilantik Exco hisbah, Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara dilantik menjadi Exco yang jaga hisbah, dan beliau telah membentuk badan yang khusus dilantik daripada kalangan kehakiman, kalangan polis yang bersara duduk dalam badan ini untuk meneliti segala tingkah laku kerajaan.
Tetapi malangnya tidak ada kuasa polis, tak ada kuasa kehakiman, kerana banyak peruntukannya di bawah kuasa Kerajaan Pusat. Menyebabkan kita tak boleh melaksanakan dengan cara yang sepenuhnya.
Alangkah baiknya kalau kita dapat di peringkat Pusat, dapat melaksanakan sistem ini yang boleh diubah. Ini termasuk dalam perkara ijtihad. Perkara ijtihad yang boleh kita ubah mengikut keadaan-keadaan semasa, realiti dan situasi masyarakat mengikut keadaan yang berubah.
Pemerintahan Islam
Kepada umat Islam, penganut Islam, menjadi kewajipan kepada mereka untuk menghidupkan dan menyedarkan kembali pemerintahan Islam yang disebut oleh Quran, dan dilaksanakan oleh Nabi S.A.W. Kita hidup ini jadi kewajipan kepada orang Islam.
Yang kedua kepada kalangan bukan Islam, jangan takut kepada Islam. Islam-lah adil dan rahmat kepada semua, seluruh manusia sebagaimana Islam tidak memaksa dalam perkara agama, Islam juga tak memaksa orang bukan Islam ikut undang-undang yang ada pada ugama mereka. Di sana perkara yang luas, perkara yang terperinci mengikut agama masing-masing. Dengan sebab itu beri peluang kepada Islam untuk memerintah dan mentadbir.
Selama kita memerintah Kelantan, yang paling lama, kita mendapat respon yang sangat positif dari kalangan orang yang bukan Islam, sehingga menyebabkan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS. Ini respon orang bukan Islam terhadap kejayaan kita di Negeri Kelantan khusus yang kita memerintah dalam masa begitu panjang.
Yang kedua, rakyat Kelantan terus memberi kepercayaan kepada PAS, dua kali. Kali yang pertama 1959 hingga 1979. Dan tak boleh dijatuhkan Kelantan melainkan secara khusus diisytiharkan darurat oleh Kerajaan Pusat, secara pintu belakang.
Kemudian kita ambil balik tahun 1990 dan kita berjaya memerintah Kelantan dalam keadaan menghadapi kepungan pentadbiran, kepungan yang tidak menghormati konsep Federalisma. Tapi kita berjaya memerintah Kelantan dengan semangat umat Islam Kelantan yang dididik dengan agama.
Dengan sebab itu negeri-negeri lain jangan takut, jangan takut untuk memberi ruang kepada kita. Insyaa Allah sekiranya kita mendapat kuasa yang lebih, banyak lagi boleh kita buktikan Islam adalah terbaik.
(Teks transkrip dan suntingan dari jawapan Presiden PAS di Live Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semalam yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR) - HARAKAHDAILY 23/3/2018
Lihat juga..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
No comments:
Post a Comment