Friday, March 16, 2018

Usul Pulangkan RM430J 1MDB Tewas Di Parlimen Swiss



Parlimen Switzerland hari ini menentang usul mengembalikan dana berkaitan 1MDB yang diperolehi secara salah kepada negara asalnya. Usul itu dibentangkan oleh anggota parlimen daripada Parti Sosial Demokrat (SP) Carlo Sommaruga.

Sejumlah 138 anggota parlimen mengundi menentang usul itu dan hanya 53 menyokong. Tiada yang berkecuali.
Rampasan CHF104 million (RM430 juta) yang dikaitkan dengan 1MDB yang dirampas kerajaan Switzerland disebut dalam usul itu.

"Perjuangan ke arah keadilan dan solidariti serta melawan korupsi dan aliran kewangan haram akan diteruskan," kata Setiausaha Antarabangsa SP Peter Hug menerusi emel kepada Malaysiakini.

Ketika perbahasan, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland Ignazio Cassis berkata usul tersebut "terlalu umum".
Cassis adalah anggota Majlis Persekutuan, iaitu cabang eksekutif kerajaan negara itu.

"Usul ini...terlalu umum, kerana ia meminta Majlis Persekutuan masuk campur melangkaui apa yang mampu dilakukannya, ekoran pemisahan kuasa dan kebebasan kehakiman," katanya.
Cassis berkata keputusan untuk memulangkan dana haram perlu bergantung kepada keputusan sebarang prosiding jenayah.

"Majlis Persekutuan telah memainkan peranan penting dalam membantu pemulangan dana...dalam beberapa kas rasuah yang besar dan kompleks.
"Namun pemulangan seumpama itu sentiasa berdasarkan keputusan dan atas permintaan kehakiman," katanya.

Sebelum ini, SP menjelaskan dana haram yang dirampas di Switzerland tidak akan dipulangkan kepada kerajaan negara asal tetapi kepada rakyat.
Artikel 17 Akta Aset Luar Haram Switzerland (FIAA) menyatakan pemulangan aset perlu dibuat sama ada untuk menambahbaik kehidupan penduduk negara asal atau mengukuhkan kedaulatan undang-undang negara itu.

Artikel 18 akta sama pula menggariskan jika tiada persetujuan dengan negara asal, pengembalian aset akan dibuat melalui pertubuhan dalam negara itu atau antarabangsa, termasuk NGO.

Anggota parlimen pembangkang dan NGO di Malaysia melobi agar wang tersebut dipulangkan kepada "mereka yang berhak", iaitu rakyat Malaysia.
Kerajaan Switzerland merampas dana daripada tiga bank - Bank BSI, Coutts & Co dan Bank Falcon - selepas terbabit mencuci wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Ketiga-tiga bank kini membuat rayuan berhubung rampasan itu di Mahkamah Pentadbiran Persekutuan.

Menteri Kewangan Switzerland Ueli Maurer sebelum ini berkata dana tersebut disalurkan kepada perbendaharaan negara kerana tiada pihak yang menuntutnya. (Indah.com)

Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails