SERI KEMBANGAN: Kenyataan media asing mendakwa imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma yang ditembak mati di Setapak, pagi semalam, sebagai pakar pembuat roket dan dron, adalah tidak benar.
Sebaliknya, Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, berkata Allahyarham Fadi adalah seorang pakar dalam bidang sumber tenaga boleh diperbaharui yang arif berkaitan kejuruteraan jana kuasa.
"Sejak berita kematian arwah tersebar, pelbagai berita sensasi dikeluarkan mengenainya termasuk dakwaan Fadi adalah pakar pembuat roket dan dron yang dilaporkan media asing.
"Kenyataan itu sama sekali tidak benar. Allahyarham Fadi adalah seorang yang cintakan keamanan dan mana mungkin dia akan merisikokan dirinya serta warga Palestin lain yang berada di Malaysia dengan membabitkan diri membuat senjata api seperti didakwa kerana tindakan itu menjadikan dia sebagai sasaran musuh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, Fadi yang juga pensyarah di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKL BMI) ditembak mati dua lelaki menaiki motosikal ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh berhampiran kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.
Hafidzi berkata, Allahyarham Fadi mempunyai rekod pencapaian akademik dan profesional cemerlang dalam bidang sumber tenaga boleh diperbaharui dan berhasrat menyumbang kepada pembangunan pada tanah airnya.
"Kami tidak menolak kemungkinan kebolehan dan sumbangan sama ada secara akademik mahupun bantuan kemanusiaan kepada umat Islam menyebabkan dia menjadi sasaran Zionis Israel berdasarkan modus operandi pembunuhannya yang mungkin dirancang ejen atau operatif Mossad Israel.
"Malah, sebelum ini, dia pernah menyuarakan kebimbangan apabila diserang helikopter Apache, selain peristiwa pembunuhan 18 ahli keluarganya di Gaza pada 2009, sekali gus menguatkan teori berkenaan," katanya.
Beliau turut menyeru kerajaan menyelesaikan kes itu dengan segera dan memastikan kejadian terbabit tidak berulang termasuk dalam aspek keselamatan pihak yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
"Warga Palestin di Malaysia menganggap negara ini seperti negara sendiri yang terjamin dari segi keselamatan dan tidak diganggu gugat musuh luar.
"Kami percaya polis dengan segala kemampuan dan pengalaman sedia ada akan berjaya membongkar episod pembunuhan ini hingga ke dasar," katanya. (BH)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa disebut 'As-Syahid' pada Dr Fadi M R Albatsh Fatma yang ditembak mati di Setapak, pagi semalam... kerana beliau adalah seorang Islam yang mati dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Apalagi bila disebutkan, 'dia menjadi sasaran Zionis Israel berdasarkan modus operandi pembunuhannya yang mungkin dirancang ejen atau operatif Mossad Israel. Malah, sebelum ini, dia pernah menyuarakan kebimbangan apabila diserang helikopter Apache, selain peristiwa pembunuhan 18 ahli keluarganya di Gaza pada 2009, sekali gus menguatkan teori berkenaan.'
No comments:
Post a Comment