Monday, April 09, 2018

Isu Ijok : Apa Muslihat Runding Tepi?


Isu skandal tanah di mukim Ijok telah menimbulkan pelbagai misteri. Paling ketara munculnya istilah runding tepi.
AIDC menemuai ADUN Dengkil, YB Shahrum Mohd Sharif untuk memahami dan merungkai isu tersebut.
Ikutilah wawancara AIDC bersama YB Shahrum berkaitan dengan isu yang sedang hangat diperkatakan ini.
AIDC : Difahamkan Isu Ijok turut dibangkitkan dalam sidang DUN Selangor minggu lepas ? Boleh YB ulas lanjut.
YB Shahrum : Assalamualaikum w.b..t, saya ingin mengulas semula apa yang berlaku semasa sidang dewan baru-baru ini di mana dalam perbahasan titah ucapan tuanku itu hanya dibenarkan seorang sahaja wakil parti untuk berucap dan berbahas.
Kebetulan pada ketika itu banyak isu-isu yang kita nak bangkitkan untuk dijawab oleh kerajaan negeri, namun hanya seorang sahaja wakil daripada UMNO, BN iaitu Y.B. Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, itupun diberikan tempoh 20 minit untuk sahaja.
Dalam sidang DUN tempoh 3 hari, termasuklah ucapan titah tuanku pada hari Isnin, 2 hari untuk perbahasan, kita mendengar Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengulas isu Ijok dan cuba menerangkan hujah-hujah di sebelah pihak semata-mata.
Dengan kata lain, ‘he is trying to explain his side of the story’, padahal kita sendiri tidak dibenarkan untuk berbahas, disebabkan kekangan masa.
Jadi, pada masa proses penggulungan YAB Menteri Besar, beliau berkata isu Ijok sudah lama, bermula sejak dari zaman BN, iaitu pada zaman Tan Sri Abu Hassan Omar pada tahun 2000.
Ketika itu, tanah milik peneroka di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah membuat tawaran yang disetujui peneroka, bahawa tanah itu akan dimajukan oleh dua syarikat.
Peneroka akan mendapat sejumlah pampasan berbentuk wang dan berbentuk nilai sebuah rumah disediakan, RM180 000 duit tunai dan RM180 00 harga nilai rumah.
Tanah ini dianugerahkan kepada dua syarikat , Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd, namun kedua-dua syarikat itu tidak dapat deliver.
Pada tahun 2005, semasa zaman BN lagi, beberapa tindakan sudah diambil membawa perkara ini ke mahkamah, untuk memastikan dua syarikat ini, mengotakan janji sebagaimana di dalam perjanjian mereka dengan peneroka.
Pada tahun 2008, kerajaan negeri bertukar tangan. Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga ADUN Ijok, meneruskan langkah yang pernah dibuat oleh BN iaitu membawa kes ini ke mahkamah.
Adakah YB sempat bertanya soalan kepada Menteri Besar berkaitan isu Ijok ini ?
Ya. Misalnya saya tanya, mengapa proses mahkamah dihentikan padahal sudah sampai ke tahap sudah menang di peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan dan sudah semestinya kerajaan negeri mempunyai peluang yang cukup besar untuk menang di peringkat mahkamah persekutuan.
Saya juga tanya mengapa tanah yang bernilai, RM1.18 bilion, tanah yang dikatakan milik kedua-dua syarikat itu yang diperuntukkan kepada taman, lebih kurang 1000 ekar yang dipanggil Alam Perdana, mengapa ia telah dijual kepada syarikat berwibawa, pada harga di bawah pasaran, iaitu lebih kurang RM12/kaki per segi.
Kalau diukur panjang, RM1.18 bilion, untuk tanah seluas 1000 ekar, Alam Perdana itu, ianya jatuh kepada RM12 sekaki persegi, padahal nilai tanah di kawasan berkenaan sudah mencecah 35-60 Ringgit kaki per segi. Kenapa dijual di bawah harga pasaran.
Sepatutnya kerajaan negeri mengamalkan tender terbuka, seperti mana yang dilaung-laungkan selama ini.
Adakah YAB Menteri Besar menjawab pertanyaan itu ?
Beliau menjawab tetapi dengan nada sinis. Beliau kata, soalan saya itu akan ditertawakan oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Beliau memberi alasan tanah itu tidak boleh dijual secara tender terbuka kerana hanya satu alam sahaja yang dimiliki oleh kerajaan negeri, sedangkan dua alam lagi bukan milik kerajaan negeri.
Alasan yang saya kira seolah-olah mahu menepis segala permasalahan yang ada.
Selaku Yang Amat Berhormat Menteri Besar, beliau sudah tentu arif tentang pengurusan hal ehwal tanah.
Walaupun saya baru berkhidmat 5 tahun sebagai wakil rakyat tetapi saya sedikit sebanyak tahu bahawa urusan yang berkaitan dengan tanah merupakan urusan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri yang mempunyai hak sepenuhnya ke atas tanah-tanah yang ada di dalam Negeri Selangor di bawah akta kanun tanah negara ini seperti mana yang telah dilakukan oleh Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim.
Apabila dua syarikat ini tidak perform, memungkiri janji kepada peneroka, projek perumahan itu dikategorikan sebagai perumahan terbengkalai sedangkan ramai pembeli-pembeli sudah pun mendapat pinjaman daripada bank, dan terpaksa membayar pinjaman kepada bank, maka Tan Seri Abdul Khalid telah merampas tanah 1000 ekar yang diperuntukkan untuk Alam Perdana.
Rampasan adalah bahasa akta kanun tanah. Kalau bahasa lembut ia dipanggail pengambil alihan. Kerajaan negeri berhak merampas balik tanah-tanah yang dimilik oleh pihak-pihak yang tertentu, dengan cara pampasan, membayar semula dan sebagainya.
YAB Menteri Besar kata, kita tak paham tentang isu ini. Dia kata tanah itu ada tiga Alam iaitu Alam Utama, Alam Perdana dan Alam Mutiara.
Jadi apabila Tan Seri Abdul Khalid mahu merampas dua lagi tanah, Alam Utama dan Alam Mutiara, ketika proses itu sedang berjalan, namun pada 2016, ia telah ditarik balik oleh kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.
Maksudnya, Tan Seri Abdul Khalid sahaja telah merampas tanah di Alam Perdana, tetapi beliau juga berusaha untuk merampas Alam Utama dan Alam Mutiara, cuma kes kedua-dua Alam itu tidak masuk mahkamah kerana telah ditarik balik oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.
Satu kes (Alam Perdana) sudah masuk mahkamah, sudah menang di peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan tetapi apabila di peringkat mahkamah persekutuan, Menteri Besar Azmin Ali telah menarik balik kes dengan perjanjian secara runding tepi.
Maknanya Azmin mahu selesaikan di peringkat luar mahkamah.
Satu perkara lagi, Tan Seri Abdul Khalid menangguhkan rampasan terhadap Alam Utama dan Alam Mutiara kerana kedua-dua tanah itu masih lagi belum dibangunkan oleh syarikat.
Tetapi Tan Seri Abdul Khalid telah bawa kes Alam Perdana ke mahkamah sebab sudah ada pembeli, sedikit sebanyak kemudahan asas, infrastruktur, telah dibuat oleh syarikat untuk membangunkan Alam Perdana itu.
Jadi, pelbagai pertanyaan boleh kita lontarkan semula kepada kerajaan negeri, khususnya YAB Menteri Besar, kerana kalau dikira dari segi ‘Legal precedent’ (kes terdahulu) untuk Alam Perdana, yang telah menang di peringkat mahkamah tinggi dan rayuan dan insya allah akan menang di peringkat mahkamah persekutuan, maka kes Alam Utama dan Alam Mutiara juga akan menyusul sekiranya apa yang dirancangkan oleh Tan Seri Abdul Khalid pada ketika itu berjaya.
Jika berjaya, kesemua tiga-tiga alam ini bakal menjadi milik kerajaan negeri semula, maknanya 3200 ekar bakal menjadi milik kerajaan negeri. Apabila kerajaan negeri dapat balik tanah-tanah ini, maka sudah tentu nilaiannya bukannya 12 Ringgit kaki per segi, jika kerajaan negeri boleh buat tender terbuka, saya kira boleh mencapai 35 Ringgit kaki persegi.
Kalau 3000 ekar pembangunan ia menghasilkan pendapatan melebihi 9 atau 10 bilion, dan mungkin lebih lagi. Kalau itu berlaku maknanya kita sudah menyelamatkan harta kerajaan negeri, dan boleh memulangkan semula hak untuk peneroka, dan mungkin bukan lagi pada nilaian yang sama pada tahun 2000.
YB ada sebut tadi berkenaan runding tepi. Ada dakwaan mengatakan runding tepi itu bersyarat dengan diuruskan oleh satu syarikat guaman tertentu. Adakah perkara ini benar?
Saya pun difahamkan perkara yang sama. Saya rasa syarikat guaman itu disebut sebagai Daim and Gamany yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen PKR Subang, Sivarasa Rasiah.
Tetapi apa yang saya nak bangkitkan di sini, mengapa terdapat percanggahan keterangan di antara syarikat dengan Menteri Besar Selangor.
Peguam Sivarasa begitahu, kalau kerajaan negeri merampas ketiga-tiga Alam tadi, jumlah yang kena bayar kepada dua syarikat, Mujur Zaman dan LBCN ialah sebanyak 2.7 bilion.
Alam Perdana sahaja dia kata kena bayar 860 juta sebab kena bayar ikut nilaian komersial dan bayar balik kos infrastruktur yang telah dibuat oleh syarikat tersebut.
Tetapi dalam nota penjelasan kepada wartawan, Menteri Besar menyatakan, kalau kerajaan negeri ambil balik tanah ini, kerajaan negeri kena bayar pampasan kepada syarikat sebanyak 4.4 bilion.
Jadi, yang mana satu yang betul, yang peguam Sivarasa beritahu iaitu 2.7 bilion kah ataupun yang Menteri Besar maklumkan iaitu 4.4 bilion.
Persoalannya jika dua syarikat itu tahu bahawa mereka boleh mendapat pampasan sebanyak 4.4 bilion jika ketiga-tiga alam itu dirampas, mengapa pula mereka bersetuju dengan rundingan hanya berharga 1.18 bilion?
Dari segi logik, lebih baik kedua syarikat itu menunggu tanah mereka dirampas untuk membolehkan mereka lawan di mahkamah.
Jadi, pada saya, ini adalah momokan yang sengaja dibuat oleh kerajaan negeri, nilaian pun bercanggah, 2.7 billion dengan 4.4 bilion.
Hakikatnya, Tan Seri Abdul Khalid telah mengambil Alam Perdana dengan membayar pampasan sebanyak RM160 juta.
Harga pampasan itu dianggap munasabah untuk syarikat berkenaan kerana syarikat itu belum lagi membayar premium dan juga cukai penukaran status.
Ini berbeza dengan apa yang diterangkan oleh Menteri Besar di dalam sidang DUN, di mana Menteri Besar berkata kerajaan negeri kena bayar 700 juta untuk infrastruktur dan kena bayar mengikut nilai komersial padahal kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk lawan di mahkam bahawa syarikat itu masih lagi belum membayar premium.
Oleh kerana syarikat itu belum lagi membayar premium maka pampasan yang dikenakan perlulah mengikut nilai pertanian.
Saya sebutkan tadi, bila bertukar Menteri Besar, akhirnya cara penyelesaian bertukar, tetapi yang rugi adalah kerajaan negeri dan rakyat Selangor sendiri.
Kalau saya kira, jika diteruskan dengan urusan mahkamah untuk ketiga-tiga Alam ini, saya yakin 3200 ekar ini boleh menjadi milik kerajaan negeri boleh menjadi milik rakyat negeri Selangor. Tetapi perkara ini tidak dilakukan.
Menteri Besar kata kerajaan negeri tidak perlu membayar satu sen pun untuk runding tepi tetapi telah mendapat 1000 ekar.
Saya nak jelaskan di sini, konsep runding tepi sepatutnya kerajaan negeri mendapat 3200 ekar dan bukannya hanya 1000 ekar.
Pampasan ataupun risiko daripada runding tepi ini adalah 2200 ekar terpaksa diserahkan kepada pemaju wibawa dengan nilaian yang rendah.
Jadi tidak benar jika Menteri Besar beritahu tidak ada satu sen pun keluar daripada kantung kerajaan negeri untuk membayar pampasan kepada dua syarikat itu, tetapi saya nyatakan di sini kerajaan negeri telah hilang 2200 ekar daripada 3200 ekar yang sepatutnya diperolehi.
Hanya dapat 1000 ekar yang telah pun dimiliki sebelum ini pada zaman Tan Seri Abdul Khalid, tetapi 2200 ekar telah masuk ke kantung kontraktor ataupun pemaju wibawa dan ini yang saya sebutkan tadi bahawa soal runding tepi ini sebenarnya merugikan rakyat dan merugikan Negeri Selangor.
Maksudnya, konsep runding tepi itu seolah-olah kerajaan negeri berpihak kepada syarikat pemaju dan bukannya kepada peneroka ?
Itulah, di dalam dewan, Menteri Besar begitu bersungguh-sungguh mengatakan bahawa inilah penyelesaian global, beliau tidak mengutamakan pemaju malah beliau memberikan sepenuh keutamaan kepada peneroka.
Tetapi pada hakikatnya bila kita lihat soal runding tepi, kita dapat melihat dua pemaju yang sudah gagal 18 tahun ini diberikan semula nafas baru oleh kerajaan negeri.
Maknanya dengan menjual 1.18 bilion dan 360 juta diberikan kepada peneroka, mana pergi yang bakinya dan sekarang ia telah menjadi kes SPRM.
Saya rasa pemaju-pemaju yang terlibat, LBCN dan Mujur Zaman juga akhirnya mendapat durian runtuh walaupun mereka gagal selama tempoh 18 tahun.
Sepatutnya ia dihukum dengan membawa mereka ini ke mahkamah, tetapi disebabkan kerajaan negeri, YAB Menteri Besar Dato Seri Azmin Ali memikirkan juga nasib syarikat-syarikat berkenaan, akhirnya terpaksa tunduk kepada mereka.
Jadi saya harap bukan peneroka sahaja yang diberikan keutamaan, kalau nak selesaikan masalah peneroka, 18 tahun mereka dah tunggu, kalau nak selesaikan cepat, kerajaan negeri boleh gunakan dulu reserve daripada duit kerajaan negeri sendiri yang berjumlah 4 bilion. Itupun kalau nak selesai cepat.
Tetapi dalam hal ini, kerajaan negeri mahu menyelamatkan dua syarikat berkenaan, tetapi menggunakan alasan bahawa peneroka sudah menunggu lama, nak bayar peneroka itu secepat yang boleh.
Dalam sidang dewan baru-baru ini kelihatan Azmin membawa peta, dan ‘menikam-nikam’ peta tersebut, adakah tindakan itu merungkai kes Ijok ?
Berkenaan dengan isu peta ini, seolah-olah Yang Amat Berhormat Menteri Besar, cuba meyakinkan kami di dewan dan juga masyarakat di luar sana.
Seolah-olah nak memberi syarahan atau dalam bahasa lainnya, nak menyekolahkan kami ADUN-ADUN BN dan pihak yang membangkitkan isu Ijok tersebut.
Padahal apa yang kita tahu adalah sebaliknya. Menteri Besar boleh menerangkan hujah-hujah tetapi banyak persoalan-persoalan yang belum dijawab termasuklah persoalan-persoalan; mengapa dijual di bawah harga pasaran, mengapa tidak meneruskan lagi tindakan mahkamah kepada dua Alam dan mengapa tidak dibuka tender terbuka untuk pemaju wibawa yang dipilih.
Walaupun Dato Menteri Besar cuba menerangkan dengan emosi tetapi lebih banyak persoalan yang timbul.
Pembentangan dan syarahan daripada Menteri Besar itu sendiri, menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Khabarnya orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad adalah dalang di sebalik dua syarikat pemaju itu. Adakah faktor ini menyebabkan Menteri Besar mengambil keputusan yang berpihak kepada kedua syarikat berkenaan ?
Itu saya nak lontarkan semula kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar.
Kita sedia maklum di belakang syarikat ini ialah Datuk Khairuddin Abu Hassan yang pada ketika dulu merupakan orang kuat penyokong tegar UMNO dan BN.
Pada masa beliau dikurniakan tanah ini kerajaan negeri ditadbir BN dengan mengambil kira segala pengorbanan beliau, segala jasa yang telah dicurahkan untuk membantu rakyat khususnya di Selangor dan mengambil kira beliau mungkin mempunyai kapasiti untuk membina projek perumahan di Ijok.
Namun, akhirnya ia tidak menjadi kenyataan dan berita ini timbul semula selepas YAB Menteri Besar Datuk Seri Azmin mengambil alih tampuk pentadbiran Negeri Selangor.
Kebetulan pula kita lihat seperti Datuk Khairuddin bersama-sama dengan Datuk Seri Azmi yang bertanggungjawab membawa Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pakatan Harapan. Ini persepsi yang orang ramai nampak.
Persepsi itu masih meluas dan turut dikaitkan dengan perjanjian runding tepi dalam isu tanah Ijok.
Ini persepsi yang sedang berlegar yang perlu dinafikan kerajaan negeri. Persepsi rakyat mengatakan kerajaan negeri mahu menyelamatkan kroni-kroni mereka, yang dulu bukan dianggap kroni tetapi musuh.
Sekarang ini musuh sudah dianggap sebagai kroni, sudah dianggap sebagai sahabat rapat, lebih-lebih lagi bila pada masa menghadapi pilihan raya.
Saya tak tuduh tetapi persepsi orang ramai kata bahawa kerajaan negeri sekarang ini cuba untuk mengkayakan kroni-kroni mereka dan cuba untuk mencari dana untuk menghadapi pilihan raya.
Ini persepsi orang ramai. Ini bukan tuduhan saya. Jadi saya minta Menteri Besar jawablah isu ini. Apa peranan Datuk Khairudin ? Apa peranan Sivarasa?. Apa peranan firma guaman Daim and Gamany dalam isu ini.
Semua isu ini harus diperjelaskan kerana ia tidak dijelaskan di dalam sidang dewan baru-baru ini.
Ada Menteri Besar Selangor sebut, beliau kata UMNO mempergunakan SPRM untuk menjatuhkannya dalam isu Ijok. Apa pandangan YB ?
Menteri Besar ada memaklumkan di dalam dewan bahawa UMNO menggunakan SPRM untuk menjatuhkan beliau dalam isu Ijok ini, tetapi pada hakikatnya SPRM menjalankan tugas di bawah bidang kuasa yang diberikan.
SPRM di bawah Yang di-Pertuan Agung, mengapa pula dikaitkan dengan UMNO.
Yang membuat laporan awal tentang isu Ijok bukannya dari kalangan orang UMNO, tetapi dari kalangan bekas aktivis PKR sendiri, CheguBard.
Beliau, yakni CheguBard adalah individu paling awal membuat laporan kepada SPRM, kemudian diikuti dengan NGO-NGO lain.
Mengapa Menteri Besar mengaitkan dengan UMNO padahal SPRM menjalankan tugas mereka berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima daripada pengadu-pengadu yang kebanyakannya bukan terdiri daripada kalangan orang UMNO.
Sebenarnya tuduhan seperti itu tidak patut keluar daripada mulut seorang Menteri Besar.
Saya cukup yakin dengan konsep ‘you are considered innocent unless proven guilty’ dan kita juga yakin dengan konsep ‘may the truth prevail’.
Jangan risau, jika tidak bersalah, ‘there’s nothing to hide. So, let the court’ membuktikan sama ada bersalah ataupun tidak .
Sebagai penutup, ada apa-apa pesanan terakhir daripada YB ?
Okay, alhamdulillah. Kita sebenarnya sudah hendak sampai ke D-Day. Bila-bila masa sahaja PRU14 ini akan berlansung.
Suka saya nak mengingatkan di sini, selama 5 tahun kita sudah memainkan perananan sebagai check and balance, semak dan imbang apabila kita lihat banyak kelemahan-kelemahan yang dilakukan kerajaan negeri.
Jika kita diberi mandat oleh rakyat untuk mengambil balik kerajaan negeri, kita akan buat dengan lebih baik, kita akan baiki segala kelemahan-kelemahan, yang baik kita akan tambah menjadi lebih baik.
Umpamanya, dalam isu berkenaan belia dan sukan, hari ini tiada lagi jalan penyelesaian dengan Red Giant, pasukan bola sepak Selangor.
Red Giant itu adalah ikon peminat bola sepak Selangor tetapi tidak dibenarkan untuk bermain di stadium Shah Alam.
Seperti yang telah dimaklumkan oleh Tan Seri Noh Omar, bila BN menang di Selangor, Red Giant akan diberikan hak di stadium Shah Alam.
Kerajaan negeri menyalahkan kerajaan persekutuan kerana tidak dapat menangani masalah kos sara hidup yang tinggi di kalangan rakyat, tetapi dalam masa sama, kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa untuk menangani masalah tersebut.
Misalnya membiarkan harga rumah melambung naik, kata nak beri pendidikan percuma, tetapi tidak buat, di peringkat sekolah rendah agama, terpaksa juga membayar buku teks dan yuran yang tinggi.
Insya Allah jika BN menang, sekolah rendah agama akan diberi pendidikan percuma dan harga rumah juga akan dikawal.
Kerajaan negeri hari ini tidak mengendahkan untuk membina rumah mampu milik, PKNS sudah lari dari tanggungjawab, hanya 10% bina rumah mampu milik di Selangor, selebihnya dijual pada harga bebas.
Kita juga mahu kembalikan peranan PKNS, kita nak lihat nanti kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berganding bahu, bergerak seiring demi untuk kebaikan rakyat.
Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

Post a Comment